Isteri, rakan terlalu mesra

Isteri, rakan terlalu mesra

oleh Suriany Awaludin

Isteri saya sering bertugas di luar kawasan. Ada kalanya saya turut diajak untuk menemaninya terutama apabila dipanggil bertugas pada hujung minggu.

Bagaimanapun, saya berasa agak kesal kerana ketika bergaul dengan rakan pejabatnya, dia dilihat agak berlebihan seperti bebas bertepuk tampar dan bergaul mesra dengan pekerja lelaki.

Apabila ditegur, isteri pasti melawan dan mengatakan perbuatannya itu tidak menjadi satu kesalahan sehinggakan kami kerap bertengkar dan hampir hilang sabar untuk melafazkan cerai ke atasnya.

Bagaimanapun, saya masih lagi mampu bertahan dan cuba memujuk diri supaya tidak membuat keputusan sia-sia dalam keadaan terlalu marah.

Saya berasa tidak selesa dia berkelakuan begitu ketika saya bersamanya dan mula memikirkan perkara yang lebih buruk berlaku di belakang saya.

Saya menasihatinya supaya menjaga adab dan tingkah laku sebagai seorang isteri. Apakah cadangan puan supaya masalah in dapat diselesaikan dengan cara berhikmah kerana saya mahu dia menghormati saya sebagai suaminya.
Suami buntu, Johor Bahru

Islam amat menitik-beratkan batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pergaulan atau percampuran bebas antara lelaki dan wanita dapat memberi kesan kepada keruntuhan moral ummah.

Sering kita dengar istilah kawan, adik, kakak dan abang angkat atau apa saja istilah digunakan merujuk kepada hubungan sosial yang sebahagiannya menjurus kepada perbuatan mungkar.

Syariat Islam tidak melarang pergaulan antara lelaki dan wanita asalkan ia mengikut lunas dan prinsip ditetapkan syarak.

Malah, Islam menggalakkan pergaulan sihat dan membuahkan manfaat kepada mereka.

Pergaulan sihat itu mengambil kira batas mahram dan juga jenis aktiviti yang dijalankan.

Pergaulan itu ada dua jenis iaitu pergaulan sesama jenis dan pergaulan berlainan jenis.

Jenis kedua itu yang sering menimbulkan masalah. Islam mengharuskan penyertaan berlainan jantina atas asas menuntut ilmu pengetahuan dan melakukan aktiviti berfaedah dengan menjaga adab pergaulan yang tidak bertentangan dengan syariah.

Islam meletakkan peraturan antara lelaki dan wanita mestilah mengawal pandangan dan tidak bebas bergaul sesama mereka.

Sedangkan pandangan mata saja pun Islam sudah mengawal, inikan pula lebih daripada itu seperti berbual-bual, bermesra, keluar sama-sama, berpegangan tangan malah Islam tidak pernah merestui hubungan lelaki dan wanita bukan mahram dan belum berkahwin tanpa batasan.

Pendek kata, ia hanya meletakkan diri seseorang dalam keadaan berdosa serta menjerumuskan diri ke dalam perzinaan.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 30 bermaksud: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan’. Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya.”

Sebagai suami, selain wajib memberi nafkah kepada isteri, suami juga wajib mendidik isteri supaya menjaga batas pergaulan seperti yang diajarkan Islam.

Tindakan tuan menasihati isteri adalah salah satu cara mendidik isteri yang diajar dalam syarak.

Melihat kepada permasalahan tuan, saya percaya isteri perlu diberi didikan lebih khusus mengenai batas pergaulan bersama lelaki bukan mahram.

Allah SWT menyediakan kaedah terbaik untuk dilakukan suami jika menghadapi masalah isteri yang enggan mentaati dan mematuhi perintah suami khususnya apabila perintah suami itu dituntut syarak.

Ada juga isteri tidak suka mendengar nasihat atau dimarahi. Firman Allah dalam Surah an Nisa’, ayat 34 yang bermaksud: “Perempuan-perempuan yang kamu khuatirkan akan nusyuz hendaklah kamu beri nasihat kepada mereka, tinggalkan mereka di tempat tidurnya atau pukullah mereka. Tetapi jika mereka mentaati kamu maka janganlah mencari-cari alasan untuk menyusahkan mereka.”

Demikian yang diajar dalam Islam yang memang menitikberatkan soal pencegahan dan pengubatan.

Cadangan saya, tindakan pertama yang wajar diambil adalah menasihati isteri dengan cara lebih kreatif.

Boleh disampaikan sendiri atau dengan membawa isteri mendengar mana-mana ceramah agama berkisar batas pergaulan antara sesama rakan sekerja.

Beri ruang kepada isteri untuk memahami dengan baik apa yang dimahukan suami dan apa yang diajar Islam.

Mungkin cara suami menegur dilihat seolah-olah suami mencemburui isteri secara melulu.

Jika disampaikan dengan baik dan kreatif, saya percaya akan timbul kesedaran dalam diri isteri dan dia boleh menerima kehendak suami.

Menegur dan menasihati juga boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah. Bukan dalam bentuk serius atau tegang.

Buatlah dalam waktu santai dan penuh kasih sayang. Mudah-mudahan Allah SWT membuka pintu hati isteri dan berlapang dada menerima nasihat suaminya.

Jika kaedah pertama itu gagal mencapai matlamatnya, ikutilah cara kedua yang dinyatakan dalam Surah an-Nisa’.

Suami boleh memulaukan isteri dengan cara mengasingkan tempat tidur. Dalam situasi itu, suami boleh bertindak memulaukannya hingga ke tahap memukulnya tanpa mencederakannya.

Islam meletakkan kaedah memukul isteri pada kaedah terakhir selepas tiada jalan lagi untuk menyelesaikan konflik dalam rumah tangga.

Tujuan pukulan itu adalah untuk memberi kesedaran. Tempat yang hendak dipukul itu hendaklah yang dibenarkan bukannya di muka, tidak menyakitkan dan meninggalkan bekas.

Penulis ialah peguam syarie

Isteri, rakan terlalu mesra

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Qistina Raisah Mahu Puteri Balqis Cerita Hal Sebenar

Kami bukan ramas punggung pun – Aliff Syukri

Pengacara terkenal pilih untuk ‘Free-Hair’ sambut ulang tahun ke-39

Hanya kerana iPhone, wanita muda sanggup jadi pelacur online

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker