Projek tambak laut PSI dikecilkan kepada hanya satu pulau

Projek tambak laut PSI dikecilkan kepada hanya satu pulau

Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran bagi membina tiga pulau buatan, kini dikecilkan kepada pembinaan sebuah pulau sahaja.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat atas desakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim susulan lawatannya, baru-baru ini yang meminta supaya kerajaan negeri mengkaji supaya skop PSI dikecilkan.

Dengan keputusan itu, hanya sebuah pulau sahaja iaitu Pulau Silikon atau Pulau A, yang berkeluasan 920 hektar akan dibina. Projek penambakan laut membabitkan Pulau B yang berkeluasan 560 hektar dan Pulau C seluas 320 hektar tidak diteruskan.

Chow memberitahu pemberita di George Town bahawa ini bermakna hanya 115 nelayan akan terjejas secara langsung berbanding 496 jika tiga pulau dibina.

Pengumuman ini dibuat selepas Anwar berkata Putrajaya akan membiayai projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang bercadang membiayai projek itu melalui penjualan hartanah di pulau-pulau yang ditebus guna itu.

Pengumuman Anwar itu dilihat sebagai kompromi antara keluhan beberapa kumpulan masyarakat dengan rancangan pembangunan kerajaan negeri.

Malah, anaknya yang juga bekas ahli parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar adalah penyokong lantang menentang projek tersebut.

Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini meluluskan projek itu, dengan 71 syarat.

Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meena Rahman berkata, menambah laut untuk mewujudkan sebuah pulau pun boleh mendatangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Selain itu, katanya, kini tiada keperluan mendesak untuk projek penambakan kerana pembinaan LRT akan dibiayai oleh Putrajaya.

“(Pulau A tunggal itu) masih sangat besar dan akan menjejaskan kawasan pembiakan ikan dan alam sekitar.

“Selain itu ia juga akan melibatkan jumlah pasir yang besar dari Pulau Pinang atau Perak, dan akan menyebabkan lebih banyak kemusnahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Meena menambah adalah tidak betul bagi Chow mendakwa bilangan nelayan yang lebih kecil akan terkesan kerana projek itu akan turut menjejaskan habitat marin dan penghijrahan udang.

“Jadi bukan sahaja nelayan di lokasi itu yang terjejas tetapi kesannya akan juga dirasakan oleh mereka di sepanjang perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perak,” katanya.

“Jadi batalkan sahaja projek itu. Bukan kecilkannya!”

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan Pulau Pinang bersetuju mengurangkan skala projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) sebanyak 49 peratus dengan tidak meneruskan pembinaan ‘Pulau B’ dan ‘Pulau C’.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar skop PSI diperkecilkan.

“Hanya Silicon Island (Pulau A) seluas 2,300 ekar (930.7) akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun bagi kerja-kerja tambakan, manakala Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar (566.5 hektar) dan Pulau C seluas 800 ekar ( 323.7 hektar) tidak diteruskan.

“Untuk makluman, Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui surat bertarikh 11 April lepas meliputi ketiga-tiga pulau seluas 4,500 ekar (1821.08 hektar),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Silicon Island akan kekal sebagai tapak depoh transit aliran ringan (LRT) dengan keluasan 24.4 hektar, manakala komponen taman perindustrian berteknologi tinggi Green Tech Park (GTP) dan pusat komersial Heart of the Island (HOTI) juga akan dikekalkan sebagai pemangkin ekonomi dan produk pelancongan baharu Pulau Pinang.

Chow berkata fasa pertama Silicon Island berkeluasan 526.09 hektar, termasuk tapak depoh LRT, dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan, dan hampir tidak akan memberi sebarang kesan kepada golongan nelayan yang keluar ke laut, manakala fasa kedua akan merangkumi keluasan 404.6 hektar.

Secara keseluruhan, katanya jangka masa pembangunan Silicon Island termasuk bahagian sisi atas adalah selama 20 tahun.

Menurutnya dengan pengurangan skala projek tersebut, hanya seramai 115 nelayan daripada unit Permatang Tepi Laut yang berhadapan dengan tapak tambakan Silicon Island akan terlibat secara langsung, berbanding 496 orang jika membabitkan pembinaan ketiga-tiga pulau seperti perancangan awal sebelum ini.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk golongan nelayan terlibat akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Nelayan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata perubahan kepada projek itu tidak akan mengakibatkan apa-apa kerugian kepada kerajaan negeri mahupun rakan kongsi penyampaian projek, SRS Consortium kerana kedua-dua pihak cuma memeterai perjanjian untuk Pulau A sahaja.

Dari segi kos tambakan dan kemudahan asas Silicon Island, Pengarah Projek SRS Consortium Szeto Wai Loong berkata ia dijangka mencecah RM8.5 bilion.

“Model yang kami gunakan ialah kami bangunkan tapak tanah untuk dilelong kepada pembida tertinggi, kemudian pembida yang berjaya akan membangunkan tanah mereka,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri dan SRS Consortium tidak akan terlibat dalam pembangunan tapak tanah, sebaliknya cuma mengawal dari segi pembangunan mengikut zon.

Pada 6 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana tambahan bagi membantu kerajaan Pulau Pinang menyegerakan projek pembinaan LRT George Town-Bayan Lepas.

“Difahamkan bahawa mesyuarat untuk membincangkan Projek LRT ini sudah dipanggil membabitkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan. Kerajaan negeri berharap kita akan turut terlibat dalam perbincangan teknikal ini,” katanya. Mk

Projek tambak laut PSI dikecilkan kepada hanya satu pulau

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

“Sarah Rasa Nak Matilah, Macam Malaikat Dah Duduk Sebelah”(Video)

Angel Dolla bercinta dengan Nadhir Nassar

Janna Nick nikahi Dini Schatzmann di Langkawi 10 Jun

Bapa sanggup putus hubungan – Mark Adam

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker