Sebelum dia kudung saya dah suka dia
Sebelum dia kudung saya dah suka dia
Georgetown: “Saya sudah lama crush (terpikat) dengan suami jadi tiada masalah untuk terima keadaannya. Lagipun dia masih orang yang sama cuma hilang satu kaki, bukan kedua-duanya,” kata Puteri Nurul Jannah Ahmad Daud, 25.
Puteri Nurul Jannah dari Balik Pulau di sini mendirikan rumah tangga dengan Abdul Rahman Muhamad Rasidi yang menghidap barah tulang dan kudung kaki kiri pada Mac tahun lalu.
Menurut Puteri Nurul Jannah, dia sudah lama mengenali suaminya, malah sebelum lelaki itu ada penyakit dan berstatus orang kurang upaya (OKU) lagi.
Jadi, perubahan fizikal tidak akan menjadi punca dia tawar hati dan beralih arah dengan memilih lelaki lain sebagai pasangan hidup.
“Suami menepati ciri pasangan saya inginkan kerana ada persamaan dengan ayah, jadi tiada yang akan mengubah perasaan cinta saya terhadapnya sekalipun fizikalnya tidak seperti dulu.
“Lagipun, saya kenal dia sebelum kakinya dipotong. Saya pun bukan sempurna memandangkan ada skoliosis iaitu tulang belakang bengkok.
“Cuma luaran tidak nampak jadi jika suami boleh terima kekurangan saya, mengapa tidak saya pun begitu?” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Meskipun ada kekurangan, Puteri Jannah yang bekerja sebagai pegawai pengurusan program di sebuah kilang di sini berkata, dia tidak pernah berasa terbeban dalam menguruskan suaminya.
Baginya, menjaga dan menguruskan suami adalah sebahagian tanggungjawab perlu dijalankan sebagai isteri.
“Jujurnya, saya bukan wanita yang kuat, malah mudah menangis, tetapi nampak suami kuat jadi takkan saya jadi lemah?
“Walaupun ada kerja hakiki, saya tak berasa susah menjaga suami kerana dia bukan terlantar malah boleh gerak dan bangun sendiri.
“Lebih mencabar waktu kami tiada ikatan sah dulu kerana tak boleh ke rumahnya dan tahu sangat perkembangannya.
“Kini, suami pandai berdikari jadi tiada istilah terbeban. Lagipun, sebagai umat Islam kita ada Allah jadi kena mohon pertolongan-Nya,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman bersyukur kerana diterima baik isteri dan keluarga mentua walaupun dalam keadaan diri yang ada kekurangan.
“Memang ada rasa rendah diri dan anggap diri tak berguna selepas hilang sebelah kaki. Bagaimanapun, sebelum kahwin saya sudah berterus terang dengan isteri dan keluarga mentua mengenai keadaan diri.
“Alhamdulillah, mereka terima saya seadanya malah isteri tetap setia dan sokongan itu yang beri saya semangat untuk bertahan sehingga kini,” katanya.
Sebagai ketua keluarga, Abdul Rahman juga tidak menjadikan penyakitnya sebagai alasan untuk mencari rezeki walaupun pergerakannya terbatas.
“Sebaliknya, saya usaha juga mencari rezeki dan buat masa ini cari pendapatan dengan menjual kertas polaroid secara dalam talian,” katanya yang kini menggunakan kaki palsu sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
‘Kalau cinta kerana rupa, dah lama saya tinggalkan dia’
Batu Pahat: “Sayang itu daripada hati. Kalau kerana rupa, waktu hari pertama dia kemalangan, saya sudah tinggalkannya,” kata juruteknik, Muhammad Izhar Asrulnizam.
Muhammad Izhar, 23, mengikat tali pertunangan dengan Siti Nur Farhana Jamil, 25, pada Mei tahun lalu. Bagaimanapun tanggal 18 Ogos tahun lalu menjadi detik hitam buat Siti Nur Farhana apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalan pulang dari tempat kerja hingga patah kaki kanannya.
Di sebalik ujian itu, Muhammad Izhar masih setia dengan Siti Nur Farhana malah tetap mahu meneruskan majlis perkahwinan mereka yang dijangka berlangsung pada 5 Mei depan.
“Kami kenal tak lama kemudian sepakat untuk bertunang. Nak dijadikan cerita, tunang saya terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira tiga bulan kemudian.
“Sedih juga saya waktu terima panggilan itu dan mujurlah tunang saya selamat walaupun kaki kanannya patah.
“Saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian dalam tempoh kami bertunang dan keluarga juga rakan beri semangat kepada saya untuk menjaga tunang.
“Tunang ada nyatakan kebimbangan jika saya tinggalkannya namun tak pernah terlintas untuk begitu kerana rakan serta keluarga juga ada nasihat yang sama (jangan tinggalkan tunang),” katanya.
Selain bertanya khabar, Muhammad Izhar sanggup berulang alik dari rumahnya di Pontian, Johor untuk menjaga tunangnya yang ditahan di wad hospital di sini.
“Habis syif kerja malam, saya terus ke hospital (di Batu Pahat) untuk menjaganya di wad terutama jika ibunya tidak dapat teman kerana ada urusan.
“Saya ikhlas menjaganya dan niat saya adalah untuk beri sokongan supaya dia tidak lemah semangat.
“Jujurnya, saya tidak berasa terbeban sebaliknya puas kerana dapat berada di sisi tunang ketika dia sakit,” katanya.
Sementara itu, Siti Farhana berkata, sukar untuknya menerima keadaan dirinya selepas terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Mulanya dulu memang tak boleh terima hingga menangis setiap hari fikir negatif. Ada juga terfikir boleh ke tunang terima keadaan saya kerana sudah lain dan tak macam dulu.
“Mana tidaknya, saya pun tak kuat macam dulu, tak boleh lasak, berlari dan jalan pula bengkok. Lama kelamaan, saya kembali positif, itu pun dengan sokongan emak, ayah dan tunang,” katanya.
Menurut Siti Farhana, dia bersyukur kerana apa yang berlaku sedikit pun tidak menggugat kesetiaan tunangnya.
“Alhamdulillah, jodoh kami masih panjang dan diharap dapat menjaga satu sama lain sehingga akhir hayat,” katanya. HM
Sebelum dia kudung saya dah suka dia
Baca Artikel Menarik:
- Ini permintaan terakhir arwah Mael XPDC
- Buruh durjana ceroboh kuarters kerajaan rogol penjawat awam
- Membuka kisah rumah terbuka dan kekalutan PAS dan PN
- Kemana Sugu Pavithra Menghilang?
- Jangan nak buat muka sedih – Isteri Nd Lala
- Zara Zya dedah cerita sebenar Bubble Bee
- Ini Gaji Sebenar Imam Besar Masjidil Haram
- Zeti perlu dipertanggungjawabkan dalam skandal 1MDB
- Jalan kaki nak beraya dengan cucu kerana tiada duit tambang
- ND Lala beraya di mana? Syada Amzah kongsi keadaan sambut Aidilfitri penuh kesedihan
- Tol percuma ketika raya, rakyat Indonesia benar-benar terkejut sambil berkata untung jadi rakyat Malaysia
- Carikan pendakwah untuk saya – isteri Hafidz Roshdi
- David Teo beri ‘tazkirah’ isu buka tudung isteri Haqiem Rusli
- Meghan Trainor trauma sakit zakar suami terlalu besar
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.