Putaran roda nasib umat Islam di dunia

Putaran roda nasib umat Islam di dunia

Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Pergolakan dan krisis terbaharu di Sudan sebenarnya sekadar menambah lagi episod tragis yang sudah sedia ada dalam kalangan negara umat Islam seperti Palestin, Yaman, Iraq dan Syria.

Dalam menginsafi realiti umat Islam masa kini, kita wajib meyakini bahawa semua yang berlaku adalah atas perancangan Allah SWT dan hikmah-Nya.

Sekiranya kita mengamati lembaran sejarah umat Islam memang terdapat pasang surut atau naik turun yang terjadi ibarat putaran roda. Pelbagai fasa yang dilalui oleh umat Islam hakikatnya telah dikhabarkan oleh Nabi SAW.

Huzaifah bin al-Yaman RA meriwayatkan: “Orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan sedangkan aku bertanya kepada baginda tentang keburukan kerana aku khuatir akan menimpaku. Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, dahulu kami berada pada masa jahiliah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan (Islam) ini kepada kami, maka apakah setelah kebaikan ini akan datang keburukan?”

Baginda menjawab: ‘Ya’. Aku bertanya lagi: ‘Apakah setelah keburukan itu akan datang lagi kebaikan?’ Baginda menjawab: ‘Ya, namun terdapat padanya dakhan (kabus).’ Aku bertanya lagi: ‘Apa dakhannya itu?’ Baginda menjawab:’Iaitu suatu kaum yang memimpin tanpa mengikuti petunjukku, kamu kenal yang baik dan juga kamu ingkari yang buruk daripada mereka.’ Aku kembali bertanya: ‘Apakah setelah kebaikan itu akan datang lagi keburukan?’. Baginda menjawab: .Ya, iaitu para penyeru yang mengajak ke pintu neraka jahanam. Siapa yang menyahut seruan mereka maka mereka akan melemparkannya ke dalamnya.’ Aku kembali bertanya: ‘Wahai Rasulullah, berikanlah gambaran mereka itu kepada kami?’.

Baginda menjelaskan: ‘Mereka itu berasal daripada kulit bangsa kita dan juga berbicara dengan bahasa kita (yakni bangsa Arab).’ Aku bertanya: ‘Maka, apakah yang tuan perintahkan kepadaku jika aku menemui zaman itu?’. Baginda menjawab: ‘Kamu tetaplah bersama jemaah golongan Muslimin dan pemimpin mereka.’ Aku bertanya kembali: ‘Jika saat itu tiada jemaah golongan Muslimin dan tiada pemimpinnya?’.

Baginda menjawab: ‘Kamu tinggalkan semua kumpulan yang ada, sekalipun kamu perlu memakan akar pohon sehingga maut menjemputmu dan kamu tetap berada dalam keadaan demikian (berpegang kepada kebenaran).'” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Merujuk kepada syarah al-Hafiz ibn Hajar dalam Fath al-Bari, hadis ini termasuk perkara yang sudah berlalu zamannya. Menurut beliau, maksud keburukan pertama itu ialah fitnah pertama dalam Islam yang berlaku selepas pembunuhan Uthman RA.

Kemudian diikuti kebaikan iaitu perdamaian yang dimeterai antara Ali RA dan Muawiyah RA. Dakhan (kabus) pula ialah perkara yang berlaku pada zaman kedua-duanya yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin seperti Ziyad di Iraq dan pemberontakan golongan Khawarij.

Terakhir, diikuti keburukan dengan munculnya golongan penyeru yang mengajak ke pintu neraka jahanam, iaitu golongan Khawarij dan ahli bidaah lain yang bangkit memberontak untuk menuntut kekuasaan.

Bagaimanapun, terdapat sebuah hadis lain daripada Huzaifah RA yang menggambarkan situasi umat Islam secara lebih umum. Beliau meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Zaman kenabian itu berada di kalangan kamu sekalian selama mana yang Allah kehendaki kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia hendak mengangkatnya. Kemudian datang zaman khilafah yang mengikut jalan kenabian (minhaj an-nubuwwah), maka ia memerintah selama mana yang Allah kehendaki, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia hendak mengangkatnya.

Kemudian datang zaman pemerintahan yang menggigit (mulkan ‘addhan, iaitu sanggup menyakiti siapa sahaja yang menentang), maka ia memerintah selama mana yang Allah kehendaki kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia hendak mengangkatnya. Kemudian datang zaman pemerintahan yang takbur (mulkan jabriyyah), maka ia memerintah selama mana yang Allah kehendaki kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia hendak mengangkatnya.

Kemudian datang zaman khilafah yang mengikut jalan kenabian (minhaj an-nubuwwah). Kemudian baginda SAW diam.” (Riwayat Ahmad dan al-Bazzar. Hadis hasan)

Ramai ulama menyatakan, ‘khilafah yang mengikut jalan kenabian’ terakhir itu ialah zaman Imam al-Mahdi. Dua hadis ini menggambarkan fasa yang perlu dilalui umat Islam sama ada mereka mahu atau tidak. Ia adalah perkhabaran yang pasti terjadi dan bukannya ramalan.

Apa yang lebih penting, setiap Muslim perlu tahu apa peranan dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan walau berada pada mana-mana fasa berkenaan.

Pendidikan dan dakwah Islam perlu diteruskan dalam apa jua situasi. Justeru, meskipun berlaku pelbagai krisis di sebahagian negara Islam, namun di negara bukan Muslim pula seperti United Kingdom, Jerman, Korea Selatan dan Jepun, Islam semakin diterima serta mendapat sambutan menggalakkan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Putaran roda nasib umat Islam di dunia

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Allah Benci Isteri Sebegini – Syamsul Yusof

Jasmine tukar agama di India?

Peluk suami waktu zikir, Abby Abadi ditegur netizen

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker