Hassan Karim ingatkan Anwar jangan guna dana awam buat rumah terbuka Kerajaan Perpaduan
Tidak Salah Perdana Menteri mengadakan rumah terbuka hari raya di enam buah negeri, iaitu di Kedah, Trengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor jika perdana menteri gunakan wang parti sendiri iaitu wang PKR, wang Pakatan Harapan (PH) atau wang peribadi Perdana Menteri sendiri.
Bila pula ia menjadi kesalahan?
Ia menjadi salah, jika perdana menteri menggunakan wang kerajaan pusat ataupun menteri-menteri besar dari kalangan kerajaan negeri pimpinan PH menggunakan wang kerajaan negeri ataupun wang kerajaan tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan, PBT). Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuklah jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut.
Apa contoh kesalahan guna wang, harta kerajaan di peringkat dunia?
Satu ketika dahulu perdana menteri India, bernama Indira Gandhi pernah didapati bersalah oleh mahkamah India kerana menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen di dalam pilihan raya. Akibatnya Indira Gandhi disabitkan bersalah dan dia bersama-sama kerajaan Kongres pimpinannya tumbang.
Kita tentu tidak ingin melihat perdana menteri dan kerajaan madani pimpinannya tumbang gara-gara rumah terbuka hari raya.
Bolehkah wang kerajaan digunakan jika jumlahnya kecil?
Memang ada peruntukan perdana menteri untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hari raya. Memang kerajaan sediakan peruntukan wang untuk majlis seumpama itu. Tetapi di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya.
Tetapi mengadakan rumah terbuka raya semacam road show untuk perdana menteri dari sebuah negeri ke sebuah negeri hingga enam negeri adalah fenomena baru. Ini yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.
Mungkin jumlah wang kerajaan yang digunakan untuk perbelanjaan mengadakan majlis rasmi rumah terbuka hari raya peringkat nasional dan negeri menelan belanja tidak sampai juta-juta ringgit, tetapi perlu diingat setiap seringgit pun duit kerajaan adalah duit awam, bermakna duit rakyat yang perlu dibelanja secara berhemah dan tidak melanggar etika moral dan undang-undang.
Contohnya, berapalah sangat duit kerajaan India digunakan untuk menerbangkan sebuah helikopter kerajaan untuk Perdana Menteri India Indira Gandhi berkempen pilihan raya. Bukan quantum wang yang digunakan itu besar atau kecil. Yang menjadi isu pokok ialah telah berlaku penyalahgunaan kuasa.
Betulkah ramai yang membantah?
Saya melihat banyak pihak telah menyuarakan bantahan. Mereka tidak membantah perdana menteri mengadakan rumah terbuka di enam buah negeri yang terlibat.
Yang mereka bantah ialah anggapan yang ada sekarang ialah wang awam ataupun wang kerajaan akan digunakan untuk membiayai majlis rumah-rumah terbuka di enam buah negeri yang khusus sahaja yang kebetulannya akan mengadakan pilihanraya negeri masing-masing, mungkin pada bulan Julai akan datang.
Jadi apa Anwar kena buat?
Saya penyokong kuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak sebelum dia jadi Perdana Menteri hinggalah sekarang. Namun begitu saya ingin memberi pendapat secara jujur.
Saya berpendapat, sebelum terlambat, eloklah Anwar umumkan bahawa wang kerajaan tidak akan digunakan untuk membiayai road show rumah-rumah terbuka raya itu. Perdana Menteri kena umumkan bahawa PKR dan PH atau Anwar secara peribadi akan gunakan wang sendiri.
Dalam masa yang sama 84 orang ahli-ahli parlimen PH dan ratusan ahli-ahli dewan undangan negeri (Adun PH) di seluruh negara perlu dikerah supaya tampil ke hadapan membantu Perdana Menteri untuk menampung kos mengadakan rumah-rumah terbuka raya itu.
Kenapa tidak boleh guna duit kerajaan untuk rakyat?
Sebabnya mudah. Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar perlu berjimat. Seperti perdana menteri sebut di dalam Parlimen bahawa hutang negara sekarang sudah mencecah RM1.5 trillion iaitu 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Selain itu kerajaan sering memberitahu bahawa kerajaan sedang menanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM18.2 billion.
Kepimpinan melalui teladan: Jangan rosakkan imej baik Anwar
Dalam masa lima bulan sahaja Anwar telah memberikan beberapa contoh yang baik iaitu kepimpinan melalui teladan. Misalnya pertama, dia tidak mengambil gaji dan elaunnya sebagai perdana menteri dan juga menteri kewangan.
Inilah buat kali pertama dalam sejarah Malaysia bahawa perdana menterinya membuat kerja dan memikul tanggungjawab secara pro bono, iaitu tanpa bayaran.
Contoh kedua, Anwar juga membuat keputusan bahawa menteri-menteri kabinet juga mengalami pemotongan gaji dan elaun sebanyak 20 peratus.
Ini semua langkah terpuji. Ia bukan retorik atau lip service. Pengorbanan yang dilakukan oleh Anwar dan menteri-menteri dalam kabinetnya adalah perkara yang nyata dan real.
Adakah rumah terbuka Madani di enam negeri itu tidak berkaitan dengan PRN?
Sebagai ahli parlimen penyokong kerajaan Madani saya cuba memujuk diri saya sendiri supaya dapat yakin dan percaya bahawa program rumah terbuka road show di enam negeri itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Tetapi saya tidak boleh menipu diri saya sendiri. Saya juga percaya tidak ada siapa yang percaya bahawa rumah-rumah terbuka raya di enam buah negeri khusus terpilih itu tidak ada kena mengenai dengan pilihan raya negeri akan datang.
Kesimpulan
Buatlah rumah-rumah terbuka raya di mana-mana. Raya pun sebulan. Tidak jadi masalah. Bukan satu isu. Tetapi tolonglah jangan gunakan wang awam atau wang kerajaan.
HASSAN KARIM Ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Culik lelaki depan hotel, 3 lagi suspek ditahan
- Bakal pengantin berbogel di tengah jalan raya
- Baru pulang umrah pakai gaun nampak paha
- Mahathir puji kecanggihan dan perkhidmatan MRT
- Ira Kazar Beraya Di Rumah Mentua?
- ND Lala muncul di rumah Kazar (Video)
- Apa Bung buat dengan Zizie?
- Ira Kazar kena sindir di majlis hari raya, “you jangan buat hal la” (Video)
- Khairul Aming dah berpunya? (Video)
- Lambat dapat makanan, wanita mengamuk curah kuah kari
- Isu skandal seks Exco Melaka, ini pendirian dan komen Ketua Menteri
- Mahkamah perlu ‘blacklist’ scammer, Aaron Aziz maksudkan siapa?
- Enot buntu cari RM18,000 bedah lutut
- Penyondol boleh bau duit – Ahmoi
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.