Harjit Singh Hullon, 45 tahun baca berita RTM

Harjit Singh Hullon, 45 tahun baca berita RTM

TERTARIK dengan suara-suara yang muncul daripada corong radio sejak bangku sekolah mendatangkan minat buat seorang legenda bidang penyiaran ini bergelar penyampai berita pada satu hari nanti.

Ketika di bangku sekolah rendah, zaman Datuk Harjit Singh Hullon tidak mempunyai televisyen menyebabkan figura ini lebih banyak menghabiskan masa mendengar radio.

Sejak itu, anak keempat daripada enam beradik ini mula menanam minat untuk menceburi bidang penyiaran dan bergelar penyampai berita.

Dikenali dengan kelebihan pertuturan diksi yang sempurna dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris, serta sebagai satu-satunya penyampai berita berbangsa Sikh di stesen televisyen, Harjit memulakan perkhidmatan di RTM pada 21 November 1971.

“Saya memang ingat tarikh-tarikh penting kerana minat mendalam terhadap bidang penyiaran. Saya mula baca berita radio dalam bahasa Melayu di RTM pada 1972.

“Selepas mempunyai keyakinan saya beralih arah pula dengan menyampaikan berita televisyen. Tarikh 3 Mac 1973 adalah hari pertama saya baca berita di televisyen,” katanya.

Menjadi penyampai berita paling muda sejak berusia 20 tahun dengan berjawatan tetap, membuatkan ramai menyangka Harjit hanya menjalankan tugas duduk di depan kamera semata-mata.

Sedangkan, katanya, beliau bermula sebagai seorang juruhebah radio pada sebelah pagi dan meneruskan tugas sebagai penyampai berita di sebelah malam.

“Penyampai berita adalah tugas sampingan dan bukan tugas utama ketika itu. Beberapa tahun selepas itu, saya bertugas sebagai pemberita yang perlu keluar ke lokasi mencari bahan berita dan masih menjalankan tugas menyampaikan berita.

“Walaupun bertukar tugas hakiki daripada penerbit radio, juruhebah radio, pemberita, penyunting berita televisyen dan menyelia beberapa meja berita, tugas sebagai penyampai berita tidak pernah putus dan tetap berjalan seperti biasa,” katanya.

Sepanjang 45 tahun berkhidmat di RTM, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, setiap kali duduk dan memandang kamera ketika membaca berita merupakan cabaran baharu buat dirinya walaupun sudah bertahun-tahun melaksanakan tugas itu.

“Sejak era analog, skrin hitam putih ketika itu hanya ada satu kamera sahaja sehingga zaman digital saya baca berita. Setiap kali baca saya anggap ia adalah cabaran baharu sebab itu penyampaian dan prestasi saya tidak pernah luntur.

“Jangan terlalu yakin sebab kalau kita anggap tidak akan buat kesilapan setiap kali ke udara, maka pasti kita akan buat kesalahan,” katanya.

DOKUMENTARI AGONG

Berkongsi pengalaman manis bergelar wartawan penyiaran, Harjit berkata, dia masih mengingati pengalaman ketika ditugaskan menghasilkan dokumentari mengenai kehidupan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1989.

Katanya, tugasan itu menyebabkan beliau perlu terbang ke England bagi menemu bual pensyarah yang pernah mengajar baginda serta mendapatkan pandangan mengenai peribadi kerabat diraja itu.

“Masa itu perlu aturkan janji temu untuk melaksanakan temu bual dan mujur pensyarah itu masih hidup lagi.

“Saya juga perlu menemu bual rakyat Malaysia di sana bagi mendapatkan pandangan tentang Sultan Azlan yang menaiki takhta sebagai Agong.Itu satu rancangan paling menarik pernah dihasilkan,” katanya.

Pengalaman kedua kata bapa dua anak ini adalah ketika ditugaskan membuat liputan mengenai insiden bangunan Highland Towers yang runtuh di Taman Hillview, Ulu Klang, 1993.

Kongsinya, dua minggu dia terpaksa berkampung di lokasi itu ekoran tragedi pertama yang terburuk menimpa negara.

“Saya perlu buat liputan secara langsung dan laporan terkini di lokasi setiap satu jam dengan penyampaian dalam bahasa Melayu dan Inggeris supaya orang ramai dapat mengetahui keadaan sebenar. Masa itu, pakar menjangka bangunan bersebelahan akan runtuh.

“Selama dua minggu keluar rumah pada pukul 6 pagi dan balik pukul 12 malam. Bagi saya ia adalah pengalaman berharga dan rasa bertuah kerana dapat menghasilkan berita mengenai insiden tergempar itu dan memberikan maklumat pada orang ramai di televisyen,” katanya.

Dedikasi pada tugas

Sejak berkecimpung dalam dunia penyiaran, bekas pelajar Victoria Institution ini menerapkan tiga elemen ketika bekerja iaitu disiplin, dedikasi pada tugas dan pengorbanan terhadap diri dan keluarga.

Bergelar wartawan, katanya, mereka perlu sanggup berkorban dengan mengutamakan tugas sekalipun sudah mempunyai keluarga.

“Walaupun keluar rumah dalam keadaan masih gelap dan pulang pun gelap, hidup sebagai seorang pemberita masih sentiasa cerah.

“Sebelum kahwin saya sudah beritahu isteri, kalau nak kahwin dengan saya terpaksa kahwin dengan tugas saya sekali.

“Keluarga ibaratnya perlu letak di tempat duduk belakang kereta sebab tugas kita perlu diutamakan dan boleh dipanggil pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam.

“Walaupun waktu kerja sudah habis, tetapi kalau kita dipanggil bertugas tetap perlu hadirkan diri. Situasi itu menyebabkan ahli keluarga sudah biasa dengan tugas saya.

“Jika kita berpegang pada disiplin, dedikasi dan pengorbanan, sudah tentu kita akan menemui kepuasan dalam bekerja,” katanya.

Harjit pernah melatih pramugara dan pramugari Malaysia Airlines membuat hebahan di dalam pesawat serta staf Malaysia Airports membuat pengumuman di lapangan terbang.

Pada 2011, beliau pernah menerima anugerah Penyampai Berita Televisyen Paling Lama Berkhidmat oleh The Malaysia Book of Records dan bersara pada tahun tersebut.

Sepatutnya jadi doktor

Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Jalan Pasar, Pudu, Kuala Lumpur dan Victoria Institution, beliau dan mendiang abangnya terbang ke India bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Namun, disebabkan masalah kesihatan, beliau terpaksa pulang ke Malaysia dan sejak itu bertitik-tolak kehidupannya dengan RTM.

“Apa yang menarik apabila anak sulung saya meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan sudah bergelar seorang doktor hari ini.

“Apa yang saya tidak dapat capai dahulu, dia sudah buktikan. Anak kedua pula bekerja sebagai akauntan,” katanya yang membesar di kuarters kerajaan, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, sejak kecil.

Bakal menjengah usia 70 tahun tahun ini, Harjit bersyukur kerana beliau tidak menghidap sebarang penyakit.

Katanya, berkat mengamalkan gaya hidup sihat sejak zaman muda membuatkan dirinya masih cergas sehingga sekarang.

“Setiap pagi saya akan keluar berjalan dalam tiga ke empat kilometer dan melakukan senaman ringan.

“Bila makin berumur kita tak boleh makan terlalu banyak, jadual makan pun perlu jaga dan jangan lewat makan,” kongsi Nya. Utusan

Harjit Singh Hullon, 45 tahun baca berita RTM

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kantoi Curang, Da’i Pukul & Maki Kekasih (Video)

Lelaki Paling Dayus – Pachara Dedah Betapa Kejamnya Afiq Muiz

Musa kena betulkan dirinya dulu – Elly Afizahwati

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker