Salah mendarat rupanya

Pesawat kargo Ethiopian Airlines tidak sengaja mendarat di lapangan terbang yang dalam pembinaan.

Entah apa yang berlaku hingga menyebabkan sebuah pesawat kargo Ethiopian Airlines secara tidak sengaja mendarat di lapangan terbang yang masih dalam pembinaan.

Pesawat terbabit dikatakan melakukan penerbangan dari Addis Ababa ke Zambia sebelum mendarat di lapangan terbang dalam pembinaan di utara wilayah Copperbelt itu, kata pihak berkuasa dan syarikat penerbangan.

Ketika ini, lapangan terbang yang beroperasi adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Mwansa Kapwepwe terletak kira-kira 15 kilometer dari situ.

Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Mischek Lungu, juruterbang itu tidak sengaja mendaratkan pesawat di lokasi terbabit.

“Ketika ingin mendarat, dia berkomunikasi dengan radar dan mereka memberitahu tidak melihatnya.

“Jadi dia hanya membuat keputusan untuk mendaratkan pesawat itu di lapangan yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Lungu berkata, insiden itu tidak menyebabkan sebarang laporan kerosakan dan penyiasat akan menyiapkan laporan menyeluruh mengenainya.

Juruterbang itu bagaimana pun melakukan penerbangan sekali lagi ke lapangan terbang sepatutnya.

Ethiopian Airlines yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan mereka sedang menyiasat kes terbabit dengan kerjasama pihak berkuasa Zambia.

Jurucakapnya berkata kepada AFP, juruterbang terbabit tidak diberitahu dengan pembinaan lapangan terbang baru itu yang mempunyai landasan sama seperti lapangan terbang sebelum ini.

“Tidak ada notis kepada pegawai penerbangan (NOTAM) dan kedudukan rapat antara dua lokasi lapangan terbang itu mungkin menjadi punca insiden ini,” katanya.

Pembukaan lapangan terbang baru yang dibina oleh China itu sepatutnya dijadualkan pada pertengahan tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Sebaik siap, kemudahan bernilai AS$397 juta (RM1.6 bilion) itu akan dilengkapi kapasiti lebih baik dengan landasan sejauh 3,500 meter.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker