Fasa pertama Ramadhan sangat penting

Fasa pertama Ramadhan sangat penting

oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Dengan tibanya Ramadan, maka bermulalah fasa ibadat puasa. Puasa Ramadan adalah satu kefarduan dan rukun Islam ketiga. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Memasuki hari-hari awal bulan Ramadan, menyaksikan pelbagai reaksi setiap orang yang berpuasa. Keadaan yang dialami oleh setiap orang yang berpuasa berbeza berdasarkan situasi secara peribadi dan persediaan yang dilakukan sebelum tibanya Ramadan. Ada orang yang sudah biasa dengan berpuasa. Mereka biasanya memulakan puasa sejak bulan Rejab atau Syaaban lagi. Apatah lagi bagi mereka yang istiqamah dengan puasa sunat seperti Isnin dan Khamis atau puasa tiga hari di pertengahan bulan pada setiap bulan (puasa hari putih). Membiasakan dengan berpuasa sunat ini menjadikan seseorang itu tidak mengalami perubahan ketara pada puasa Ramadan.

Adapun mereka yang sudah biasa berpuasa tetapi mungkin ada penyakit yang memerlukan penjagaan dan perhatian khusus. Maka, dalam keadaan berpuasa ini, kemungkinan ada keadaan yang tidak biasa berlaku, contohnya mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau sakit jantung yang memerlukan pemantauan serta perhatian khusus. Termasuk jugalah bagi penghidap gastrik. Maka, dalam keadaan tertentu, kemungkinan berpuasa secara berturut-turut setiap hari akan memberikan sedikit kesan. Namun, sekiranya persediaan telah dibuat terutamanya dari segi latihan berpuasa sebelum Ramadan atau persiapan ubat-ubatan yang perlu serta pengawasan atau pemantauan terhadap tatacara pengambilan ubat yang sesuai adalah sangat penting. Bagi kumpulan seperti ini, keadaan yang biasa mereka hadapi mungkin akan berubah dan memberi sedikit terkesan kepada kesihatan mereka.

Manakala, kumpulan yang ketiga biasanya adalah mereka yang jarang berpuasa dan tiba-tiba memasuki bulan Ramadan dalam keadaan yang tidak bersedia. Mereka memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan ibadat puasa terutamanya tidak makan dan tidak minum pada siang hari yang mungkin memberi kesan yang mengejut kepada tubuh badan dan kesihatan. Perkara ini sering berlaku terutamanya kepada mereka yang tiada persediaan langsung atau tidak berpuasa secara kerap akan menyebabkan kemungkinan mereka memerlukan masa hingga satu minggu atau lebih untuk tubuh badan membiasakan dengan rutin yang baharu iaitu berpuasa pada siang hari. Mereka akan menghadapi hari awal ini dengan penuh berhati-hati dan sentiasa memantau perubahan yang mungkin berlaku kepada keadaan tubuh badan dan kesihatan mereka.

Antara tumpuan utama para Muslim apabila tibanya Ramadan ialah mendapat keampunan Allah SWT dan selamat daripada api neraka. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Begitu juga makna daripada satu hadis: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan dosa-dosa terdahulu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan itu, setiap Muslim pastinya tidak akan melepaskan Ramadan ini kecuali berusaha untuk mendapatkan ganjaran sebagaimana dinyatakan dalam dua hadis di atas. Pemburuan ganjaran mestilah bermula dari awal atau fasa pertama Ramadan. Walaupun perkara ini agak remeh, tetapi sebenarnya ia memberi kesan kepada keseluruhan fasa yang akan dihadapi sepanjang Ramadan. Setiap Muslim mengimpikan untuk menghadapi Ramadan dengan penuh kejayaan dan mampu menunaikan ibadat dengan lancar dan sempurna. Kelebihan yang disediakan di dalam Ramadan tidak mahu terlepas walaupun sedikit. Oleh itu, bermula dari hari pertama Ramadan sepatutnya sudah memulakan langkah untuk mengharungi sepenuhnya Ramadan dengan konsisten. Bermula dari hari pertama sehinggalah hari terakhir hendaklah diisi dengan ibadat yang dijanjikan Allah SWT untuk digandakan pahala berlipat kali ganda berbanding bulan lain.

Dalam konteks pencarian atau pemburuan tawaran yang disediakan Allah SWT, pada fasa pertama ini sebenarnya adalah fasa yang sangat penting kerana permulaan yang baik itu akan menjadikan langkah seterusnya lebih mantap. Janganlah memandang bahawa permulaan ini adalah perkara biasa kerana gandaan pahala yang disediakan itu telah bermula sejak awal Ramadan. Janganlah hanya meletakkan sasaran untuk melipat gandakan usaha dan ibadat hanya pada hari-hari terakhir Ramadan. Walaupun gandaan pahalanya lebih besar, namun, permulaan akan mencorakkan pengakhiran kepada sesuatu usaha. Sekiranya permulaannya baik, maka kemungkinan besar kesudahannya juga baik atau lebih baik. Tetapi jika dari awal lagi sudah menunjukkan keadaan kurang baik, amat sukar untuk mencapai prestasi terbaik pada akhirnya.

Oleh itu, bagi setiap Muslim, peluang menggandakan ibadat agar mendapat gandaan pahala berlipat ganda ini mesti dimulakan dari awal. Maka, janganlah menjadikan fenomena pada permulaan Ramadan sahaja masjid dipenuhi jemaah Tarawih tetapi pada pertengahan dan akhir, masjid kosong dan Tarawih tidak mendapat sambutan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita memasuki Ramadan ini bermula dari hari pertama sebagai fasa permulaan dengan penuh semangat agar menjadi motivasi untuk meneruskan ibadat, bahkan menggandakan lagi usaha apabila menghampiri hari-hari seterusnya sehingga akhir Ramadan. Dalam satu hadis: “Adalah Rasulullah itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadan) melebihi ibadah Baginda pada hari-hari yang lain.” (Hadis Riwayat Muslim) HM

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Saya Bukan Punca Diana Fail Cerai Terhadap Farid – Ahirine

Jangan Biarkan Mereka Menjatuhkan Maruah Jawi – Puteri Sarah

Kalau bayar fidyah tak perlu ganti puasa ke?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker