Tiada kenaikan mendadak harga emas tahun depan

Harga emas dijangka tidak akan meningkat secara mendadak pada 2021 seperti yang berlaku tahun ini, berikutan unjuran pemulihan ekonomi di seluruh dunia.

Logam berharga itu kembali mencuri perhatian pelabur menuju ke penghujung 2020, selepas Donald Trump menandatangani pakej rangsangan COVID-19 bernilai AS$900 bilion (RM3.65 trilion).

Penganalisis pasaran, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pelan rangsangan Amerika Syarikat (AS) itu memberi petanda bahawa lebih banyak dolar akan disalurkan ke dalam negara berkenaan, yang akan menyebabkan nilai dolar kekal rendah.

Beliau berkata, ini akan memberi rangsangan kepada emas kerana ia adalah pelaburan alternatif kepada dolar.

“Jika nilai dolar meningkat, kebiasaannya harga emas akan menurun dan sebaliknya akan berlaku jika dolar menurun.

“Namun, jika ekonomi kembali pulih pada 2021 seperti jangkaan penganalisis global, mata wang dolar akan kembali mengukuh.

“Ia sekali gus akan menstabilkan harga emas dan tidak akan berlaku kenaikan ketara,” katanya kepada BH.

Ahmed Razman yang juga Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS) berkata, untuk jangka masa panjang, nilai emas bagaimanapun akan sentiasa berterusan meningkat disebabkan faktor wang fiat.

Sementara itu, Pengurus Besar Peruncitan Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud, berkata harga emas secara keseluruhannya tahun ini meningkat sebanyak 20 peratus sejak Januari lalu.

Katanya, terdapat banyak faktor menyumbang kepada kenaikan harga emas antaranya perang perdagangan China dan AS, selain ketidakpastian ekonomi yang menyebabkan kejatuhan pasaran saham.

“Sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, orang ramai berkunjung ke kedai emas untuk membeli dan menjual emas.

“Mereka sudah mula mengetahui kepentingan melabur emas dalam bentuk jongkong atau perhiasan kerana harganya yang sentiasa meningkat dan memberi pulangan yang menguntungkan.

“India dan China juga menerima permintaan emas yang tinggi dalam kalangan rakyat mereka,” katanya.

Mohd Zaruddin berkata, walaupun vaksin COVID-19 sudah tersedia, ekonomi global masih sukar pulih dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, ini kerana masih banyak negara yang menghadapi kesukaran untuk memulihkan keadaan ekonomi mereka.

“Penganalisis ekonomi menjangkakan harga emas akan melonjak naik antara AS$2,300 sehingga AS$2,500 seauns pada pertengahan 2021,” katanya. BH

Harga emas turun mendadak akibat penemuan vaksin Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker