Polis panggil Hannah Yeoh, bantu siasatan program ‘Jom Ziarah Gereja’

Polis panggil Hannah Yeoh, bantu siasatan program ‘Jom Ziarah Gereja’

Polis akan memanggil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya akan memanggil Hannah dalam masa terdekat.

“Kita juga akan merakam keterangan Chegubard (Badrul Hisham Shaharin), hari ini bagi membantu siasatan.

“Kita sudah merakam keterangan tiga individu, yang terdiri daripada pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, setakat ini, pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan isu berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, mengesahkan pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’.

Beliau berkata, walaupun program itu sudah dibatalkan, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung program berkenaan.

Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan, program ‘Jom Ziarah Gereja’, yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu, tidak membabitkan individu beragama Islam.

Beliau dilaporkan berkata, program itu juga bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.

Program itu adalah satu inisiatif bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia, iaitu NGO yang bernaung di bawah KBS.

Inisiatif program itu dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.

Program yang dijadualkan berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, bagaimanapun dibatalkan oleh pihak penganjur. BH

Polis panggil Hannah Yeoh, bantu siasatan program ‘Jom Ziarah Gereja’

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Donald Trump bakal ditangkap esok

Mahathir tuduh kerajaan Anwar diktator

Saingan naib presiden Umno, hanya beza 6,000 undi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker