PAS dan hujah falasi

PAS dan hujah falasi

Oleh Faisal Tehrani

Di universiti, salah satu subjek yang saya ajar untuk pelajar atau siswa pengajian tinggi khusus di peringkat sarjana atau doktorat adalah – falasi. Yang saya maksudkan falasi dalam berhujah. Atau memperdaya ketika berhujah. Atau menghelah ketika berhujah. Atau kelihatan benar tetapi sebetulnya salah dan terpesong ketika berhujah. Seperti kebiasaannya, kuliah ini paling senyap sunyi untuk siswa. Tak ada berminat untuk bertanya. Saya tidak tahu sebab apa. Barangkali sebab kita semua terbiasa berfalasi dalam berhujah.

Seperti dakwa Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kasim yang orang fanatik ini ialah orang baik. Teruknya hujah falasi ini ia boleh memutihkan yang hitam. Seperti contohnya kata-kata; ‘Dia seorang ahli sihir yang baik.’

Padahal sihir itu perbuatan jahat dan salah.

Maka menghujahkan fanatisme itu baik memang satu bentuk falasi.

PAS misalnya mendakwa mereka sayangkan negara ini, cintakan negara ini, dan berhasrat untuk memajukan negara ini. Akan tetapi lihat sahaja apa yang disebut oleh Hadi Awang pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur. Hadi mengatakan, “Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat.” Iaitu untuk kerajaan perpaduan akan tumbang.

Argumen orang PAS yang mereka sayangi Malaysia boleh dipertikaikan kerana, jikalau PAS betul sayang negara ini, presidennya tidak akan mengeluarkan kenyataan anti-demokrasi seperti di atas. Kenyataan itu menunjukkan ada gerakan untuk menggulingkan kerajaan di luar pilihan raya dan kenyataan seumpama itu amat meresahkan pelabur dan saudagar asing. Sedang kita tahu negara kita memerlukan kestabilan ekonomi untuk keluar dari kemurungan politik dan kewangan yang mencekik tatkala ini.

Poin Hadi di atas justeru falasi. Hujah falasi menjatuhkan kenyataan sebelum. Seperti seorang pedofil mengaku dia orang baik. Itu contoh falasi.

Hari ini, hujah falasi ini dilakukan oleh sekian ramai manusia, termasuk golongan terpelajar. Itu menjelaskan setiap kali kuliah Falasi Dalam Berhujah, siswa akan krik krik krik mungkin tidak bersetuju sebab hujah falasi itu sudah menjadi norma. Padahal ia tidak menurut konvensi akademik yang tepat.

Ada banyak jenis hujah falasi, dalam kuliah saya; sekurang-kurangnya 20 jenis hujah falasi saya turunkan sebagai pendedahan pelajar. Supaya mereka menghindar argumen bodoh, palsu, dan menyeleweng ketika menulis tesis. Supaya mereka menjadi cendekiawan.

Salah satu hujah falasi adalah apa yang saya namai sebagai ‘Permainan Gerun’. PAS memang cekap dengan falasi jenis ini. Falasi bentuk ini terjadi bila ada pemomokan atau permainan gerun kepada kita, dengan membayangkan masa depan yang menakutkan sedang berlaku prosesnya jika satu-satu cadangan itu diterima.

Untuk mewajarkan benak kita, ada eloknya kita memaksa akal kita bekerja sedikit. Jika tidak dibekalkan satu set bukti untuk rumusan gerun tersebut yang boleh meyakinkan kita kepada akibat buruk maka kita tahu ia hujah falasi.

Kita tidak wajar bersandar kepada argumen yang bertitik tolak dari sentimen, retorik, ancaman, atau penipuan. Ini biasa berlaku dalam politik. Misalnya argumen jika calon parti A menang, negara akan kucar-kacir. Permainan gerun kebiasaannya tiada kaitan langsung dengan kausaliti (apa yang kita panggil sebab dan akibat).

Hujah falasi ini biasanya melibatkan penipuan. Sebagai misalan, pemimpin PAS ada yang memberi amaran konon negara ini akan dikuasai golongan bukan Islam sekiranya orang Melayu tiada kesedaran politik. Pemomokan seperti ini tentulah falasi. Malaysia ada raja-raja Melayu dan kedudukan mereka termaktub dalam Perlembagaan. Keistimewaan Bumiputera juga tidak boleh digugat.

Ada pimpinan Pas memetik peratusan keluar mengundi pengundi Islam sebanyak 68% berbanding dengan peratusan keluar mengundi bukan Islam sebanyak 98%. Tentulah hujah ini hujah falasi kerana ada pengkaji dan saintis politik menjelaskan peratusan keseluruhan sebenar untuk pilihan raya ialah 74% dan dari peratusan keluar mengundi tersebut, orang Melayu paling beria keluar mengundi tempoh hari di angka 79%.

Selain ‘Permainan Gerun’, PAS juga memainkan apa yang saya namai dalam kuliah Falasi Dalam Berhujah sebagai ‘Dilema Palsu’.

‘Dilema Palsu’ terjadi apabila ada argumen yang mengetengahkan satu set dengan dua kemungkinan yang mana menghujahkan apa pun elemen yang hadir mesti hanya dari dua set ini seperti hujah mantan Presiden AS George Bush ketika mendeklarasikan perang melawan terorisme; katanya ‘jika anda tidak bersama kami, anda kini bersama teroris’. Padahal terdapatnya opsyen ketiga iaitu neutral. Atau opsyen ketiga yang mana seseorang boleh menolak kedua-duanya; atau opsyen keempat iaitu seseorang menerima atau simpati kepada kedua-duanya.

‘Dilema Palsu’ dan ‘Permainan Gerun’ ini amat hampir. PAS cekap bermain hujah falasi ini. Sebagai contoh menghujahkan konon orang bukan Islam sedang menguasai kerajaan. Jika P Ramasamy aktivis DAP di Pulau Pinang berkebetulan ikut perasaan dan bercakap bukan-bukan, maka cepat PAS memanfaatkannya. Maka terjadilah semacam pembuktian kepada argumen falasi bahawa umat Islam sedang tergugat. Padahal yang macam orang tidak betul cuma Ramasamy.

Padahal antara 148 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan, lebih separuh atau 77 Ahli Parlimen Islam, yang mana menepis hujah falasi bahawa kerajaan perpaduan ini dikuasai oleh Ahli Parlimen bukan Islam. Di dalam Perikatan Nasional terdapat 72 orang yang beragama Islam, yang membawa maksud jumlah Ahli Parlimen Islam lebih ramai dalam kerajaan perpaduan kini.

Hujah falasi ini berbahaya dan mengancam keselamatan serta keharmonian negara, lebih-lebih lagi di detik kalau kita ingin membangunkan negara. Kita biasa mendengar hujah falasi begini di kedai kopi, dalam Facebook, di TikTok dan saya mengerti mengapa ada ahli akademik bercakap bukan-bukan dalam siaran langsung di televisyen kerana saya perhatikan semakin ramai ahli akademik baru nak jadi semakin rimas dengan subjek Falasi Dalam Berhujah.

Lambat laun, bukan sahaja ulama (konon ulama) akan berhujah falasi, ahli-ahli akademik pun akan jadi serupa orang di pasar dan kedai kopi. Bila tiada kebenaran dalam berhujah, khusus di Dewan Rakyat, tempat memajukan negara; maka perlahan-lahan negara akan linkup. FMT

PAS dan hujah falasi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Saya tak peduli kalau dia hamil – Puteri Sarah

Janda dibunuh, dicincang oleh skandal

Punca nafsu seks wanita berkurangan (Bahagian 2)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker