Pastikan anak-anak tidak hanyut ketika cuti sekolah

Pastikan anak-anak tidak hanyut ketika cuti sekolah

Ibu bapa diingatkan supaya memanfaatkan waktu cuti persekolahan ketika ini bagi mendidik anak-anak dengan aktiviti yang berfaedah, agar tidak hanyut dengan perkara yang tidak sihat dan merugikan diri sendiri.

Peringatan itu diberikan dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Cuti Sekolah: Manfaatkan dengan Pengisian Berfaedah’ di seluruh masjid di negeri itu, hari ini.



Khutbah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak itu menekankan kepentingan ibu bapa selaku pemegang amanah bagi melentur peribadi anak-anak dan tidak menyandarkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada guru di sekolah atau pengasuh di rumah.

“Anak-anak yang kedua orang ibu bapa atau penjaganya bekerja, akan tinggal bersendirian, atau sesama adik beradik, paling tinggi diawasi oleh kakak atau abang yang sedikit lebih tua, atau pembantu rumah. Dalam keadaan demikian, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan juga menghadapi pelbagai risiko, iaitu pelbagai ancaman dan bahaya.

“Cuti sekolah jangan dijadikan permulaan untuk anak-anak mengamalkan budaya tidak sihat, seperti tidur dan bangun lewat, melepak dan berpeleseran sehingga awal pagi, menjelajah tempat-tempat hiburan yang kurang sihat hingga terdedah kepada kegiatan-kegiatan tidak bermoral, dadah dan jenayah.

“Cuti sekolah jangan menjadi punca anak-anak hilang minat belajar dan selepas ini malas ke sekolah. Anak-anak harus dijadualkan dengan kegiatan-kegiatan yang membuatkan mereka merasa rindu untuk mahu cepat kembali ke sekolah,” katanya.



Khutbah turut menyarankan ibu bapa atau penjaga melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan minat dan tidak memadamkan kecenderungan anak untuk belajar dan ke sekolah.

“Ibu bapa harus membenarkan rakan-rakan anak berkunjung ke rumah rakan sekolah dan mengaturkan lawatan ke pusat pengajian tinggi, muzium, pusat sains, pameran serta membawa anak-anak ke perpustakaan atau kedai buku.

“Selain itu, ibu bapa haruslah melanggan akhbar, majalah dan bahan bacaan dan menjanjikan hadiah kepada anak-anak jika mereka berjaya menjawab soalan kuiz atau menduga akal yang ditanya secara santai pada malam hari atau sambil memandu semasa anak-anak bersama dalam kenderaan.

“Ibu bapa juga disarankan membawa anak-anak menonton filem atau memperkenalkan mereka dengan rancangan televisyen yang dapat membantu meluaskan pengetahuan,” katanya.



Menurut khutbah itu, anak-anak juga seharusnya dididik dengan pengisian rohani dan keagamaan pada cuti sekolah penggal persekolahan yang dijadualkan sehingga 19 Mac depan.

“Budayakan solat berjemaah, membetulkan bacaan al-Quran melalui kelas yang diadakan di rumah, surau atau masjid serta berjinak-jinak memahami hikmah yang terkandung dalam al-Quran dan amalan sunat yang digalakkan.

“Lakukan juga pemeriksaan kesihatan anak-anak merangkumi kesihatan gigi, berat badan, kandungan gula dan mendorong anak-anak untuk berdisiplin ketika makan, beriadah, menyertai latihan jasmani atau mempelajari seni mempertahankan diri secara berkumpulan,” katanya.

Khutbah turut menyentuh kepentingan ibu bapa menyerapkan pengertian silaturahim dengan membawa anak-anak menziarahi ahli-ahli keluarga, bersyukur dan mendorong mereka melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dengan kegiatan berkumpulan atau bergotong royong membersihkan kawasan sekitar. BH



Pastikan anak-anak tidak hanyut ketika cuti sekolah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Che Nom raih RM360,000 sebulan?



Roti Canai nombor 2 di dunia ‘Best Street Foods’

Wasiat secara lisan wajib ditunaikan mengikut permintaan arwah



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker