Kadir mahu IGP buka kertas siasatan terhadap ” Little Boy”.

Selepas kritikan Dr M, Kadir gesa IGP ‘buka balik siasatan’

Konflik antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan istana Johor nampaknya belum menunjukkan tanda untuk reda.

Beberapa jam selepas kritikan pedas Mahathir terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, penasihat media dan komunikasinya A Kadir Jasin turut mengulasnya dalam satu hantaran Facebook petang tadi.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, jelas sasaran hantaran itu ialah Tunku Ismail memandangkan beliau merujuk kenyataan Tunku Ismail sebelum ini serta gelaran Mahathir terhadapnya sebagai “budak kecil” (little boy).



Kadir meminta Ketua Polis Negara yang baru Abdul Hamid Bador untuk “buka balik IP (kertas siasatan) yang beku atau tutup”.

Bagaimanapun wartawan veteran itu tidak mengulas lanjut tentang perkara itu.

Beliau juga meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar memeriksa sebanyak mana cukai yang dibayar Mados Sdn Bhd sejak “beratus tahun berniaga”.

Mados Sdn Bhd dimiliki keluarga diraja Johor. Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ia antaranya terlibat dalam pelaburan hartanah, pembalakan dan operasi kuari.



Sementara itu, Kadir juga mengimbas kembali ketika Perang Dunia Kedua berkenaan bom atom Amerika Syarikat – yang digelar “Little Boy”.

“‘Little Boy’ atau budak kecil macam bom atom yang meranapkan Hiroshima pada 1945 ini amat berbahaya walaupun dia kecil dan tak tahu apa-apa.

“Jadi kita kenalah buat sesuatu. Tak cukup dengan cakap sahaja.

“Lagi pun budak kecil ini sudah ala-alukan kita untuk melakukan 110 peratus. Tak payahlah 110 peratus. 50 peratus dulu sudah cukup,” katanya lagi.



Dua hari lalu, Tunku Ismail menyebut tentang dakwaan plot oleh individu bernama Kadir untuk ‘menghabiskan’ pihak istana.

“Kadir, saya tahu mengenai pertemuan di Menara Ilham. Sila teruskan (rancangan) itu.

“Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini. Jika kamu mahu menghabiskan kami, kamu perlu menghabiskan kesemuanya. Kamu tidak boleh buat separuh jalan atau 50 peratus. Kamu perlu bersungguh-sungguh dengan 110 peratus,” titah pewaris takhta Johor itu di Twitter.

Tunku Ismail tidak menjelaskan siapakah “Kadir” itu, tetapi ia dipercayai merujuk kepada A Kadir Jasin.



Menara Ilham menempatkan pejabat Daim Zainuddin, seorang lagi orang kuat Dr Mahathir.

Ketika wawancara khas bersama media hari ini, Mahathir juga menyifatkan Tunku Ismail sebagai “bodoh” dan menggesanya agar tidak bercakap tentang perkara yang tidak diketahuinya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker