Hasil kerajaan rendah berbanding negara jiran

Hasil kerajaan rendah berbanding negara jiran

Kutipan hasil kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah rendah dan ketinggalan daripada negara lain di rantau ini, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Unit Perniagaan dan Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mencadangkan hasil cukai sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah paras minimum yang diperlukan untuk pembangunan mampan, tetapi pada tahun 2021 pendapatan cukai kita berada hanya pada 11.2 peratus daripada KDNK.



“Ia adalah penurunan ketara selepas sedekad dari paras tinggi 15.6 peratus pada 2012. Dengan pendapatan dijangka terus menyusut tahun ini disebabkan pergerakan harga minyak, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menyemak semula cukai pendapatan individu atau cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Bentuk cukai penggunaan perlu dikembalikan dengan segera selari dengan semakan semula jaringan keselamatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan

Yeoh berkata, kerajaan perlu membina ruang fiskal untuk mengimbangi keutamaan dalam perbelanjaan kerajaan, terutama dalam sektor kesihatan yang dilihat sangat kronik.

“Belanjawan perlu menangani infrastruktur kritikal dan keperluan perkhidmatan dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan.



“Walaupun IDEAS mengalu-alukan peruntukan yang lebih tinggi kepada Kementerian Kesihatan (MOH) daripada 9.1 peratus hingga 10.4 peratus berbanding jumlah belanjawan dari 2019 hingga 2022, Malaysia masih membelanjakan agak kurang jumlahnya berbanding dengan negara jiran seperti Thailand dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IDEAS, Dr Juita Mohamad, berkata pandemik COVID-19 masih memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan terpinggir di Malaysia yang mendesak supaya sistem perlindungan sosial mesti diperkukuhkan secara keseluruhan.

Beliau berkata, langkah memperkukuhkan sistem perlindungan sosial sedia ada dengan memasukkan instrumen seperti jaring keselamatan sosial, skim pencen inklusif serta dasar buruh aktif dan pasif dapat mengurangkan beban fiskal kerajaan dalam tempoh jangka panjang.

“Ini kerana, ia memerlukan inisiatif yang dibiayai oleh pasaran dan sumbangan rakyat,” katanya.



Beliau berkata, dalam masa sama rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan sebagai pelan jangka sederhana bagi menyokong golongan rentan menerusi penggunaan data pasca pandemik yang lebih tepat ketika ini, dengan mengurangkan perbelanjaan yang tinggi ke atas subsidi.

“Isyarat kerajaan mengenai tumpuan kepada konsolidasi fiskal dan pengurusan hutang dalam Belanjawan 2023 harus menjadi sebahagian daripada rangka kerja fiskal jangka pertengahan bagi menjadikan ia lebih mampan.

“Konsolidasi fiskal perlu diseimbangkan dengan teliti untuk menangani tekanan bagi memberi sokongan kepada golongan paling terjejas disebabkan kenaikan kos sara hidup.

“IDEAS mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan tinggi ke atas subsidi dalam konsolidasi belanjawan,” katanya.



Beliau berkata, IDEAS juga mencadangkan pengurangan dalam Dana Pembangunan Masyarakat (CDF) bagi memastikan dasar fiskal yang berhemah.

Katanya, peruntukan berasaskan peraturan CDF pada masa akan datang diperlukan untuk memastikan semua Ahli Parlimen memiliki akses sama kepada dana berkaitan.

“Bagi memastikan CDF diuruskan dengan baik di Malaysia, kami mengharapkan penguatkuasaan Akta CDF bagi menyediakan butiran awam yang relevan seperti sumber pembiayaan serta peraturan dan prosedur untuk pengeluaran, perolehan, pelaporan dan pemantauan peruntukan CDF,” katanya.

Akta CDF dijangka memberikan akauntabiliti yang lebih besar dan menggalakkan agensi kerajaan memainkan peranan untuk menyediakan sokongan kebajikan serta infrastruktur kepada mereka yang memerlukan.



“IDEAS juga mengharapkan kerajaan meneroka sumber pendapatan baharu, dengan menegaskan bahawa konsolidasi belanjawan bukan semata-mata bergantung kepada pengurangan perbelanjaan,” tambah Juita. BH

Hasil kerajaan rendah berbanding negara jiran

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Agong tepuk dahi kena ‘prank’ [VIDEO]

Nasi lemak janda muda tepi jalan laris

Filem Coast Guard sasar kutip RM7 juta lagi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker