Pandora Paper: Jangan main-main
SALAH satu kuasa undang-undang diidamkan semua badan kerajaan dan kakitangan awam adalah kuasa menyiasat (investigative power).
Antara badan kerajaan yang mempunyai kuasa itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Orang awam pula hendaklah sentiasa beringat. Kita mungkin disiasat sama ada dengan atau tanpa pengetahuan kita. Saya ada pengalaman disiasat, sama ada sebagai orang kena adu, orang disyaki atau saksi.
Saya difahamkan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas saya berkaitan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pun turut dipantau.
Saya salah seorang daripada empat eksekutif kanan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang melakukan pembelian oleh pengurusan (management buyout) ke atas NSTP dan TV3 dengan menggunakan MRCB sebagai pemudah (vehicle) pada 1992.
Siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) iaitu pendahulu SPRM adalah dalam rangka siasatan berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pemecatannya daripada kabinet pada 1998.
Saya percaya pencetus siasatan itu ialah Akuan Berkanun (Statutory Declaration) bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid, yang antara lain mendakwa Anwar menyimpan RM3 bilion dalam 20 akaun di luar negara.
Dalam sumpahnya itu, Abdul Murad turut menyebut mengenai pengambilalihan Sikap Power, sebuah syarikat pemenang lesen Penjana Elektrik Bebas (IPP) oleh MRCB.
Ketika itu saya salah seorang ahli Lembaga Pengarah MRCB dan lebih kurang pada masa sama, nama saya tercatat dalam senarai ‘Kroni Anwar’ yang dikeluarkan kerajaan pada 1999.
Antara lain, BPR hendak tahu sama ada saya memberi sogokan kepada Anwar dan apakah peranan serta kedudukan saya dalam syarikat, kontrak, projek serta konsesi yang dikaitkan dengan Anwar.
Akuan Berkanun tahun 1999 itu sekali lagi menjadi bahan berita apabila pada Januari lalu, pemilik kumpulan akhbar The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong meminta Abdul Murad menarik balik SD itu dan membersihkan namanya (Kooi Ong). Abdul Murad mengaitkan Kooi Ong yang ketika itu memiliki Allied Bank, dengan Anwar.
Saya menceritakan semula hal ini kerana sekarang sibuk dengan berita SPRM menyiasat sesetengah orang termasuk bekas menteri yang dinamakan dalam Pandora Papers dan sumber kewangan parti politik.
Pandora Papers ialah nama yang diberikan kepada 11.9 juta dokumen digital yang dibocorkan dan diberikan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (International Consortium of Investigative Journalists) atau ICIJ yang menyiarkannya mulai 3 Oktober 2021.
Ia mendakwa kewujudan akaun sulit dan syarikat pesisir pantai berkaitan 35 pemimpin serta bekas pemimpin dunia dan 100 orang kaya, selebriti serta pemimpin korporat.
Menyimpan wang dan mendaftarkan harta di luar negara bukanlah perkara asing, bukan juga kesalahan. Ia adalah sebahagian kegiatan pelaburan antarabangsa. Yang salah jika duit dan harta itu daripada sumber haram.
Boleh kata, semua negara mewujudkan undang-undang dan institusi khas bagi membolehkan rakyat negara asing menyimpan wang serta mendaftarkan harta mereka. Rakyat tempatan pun dibenarkan menggunakan kemudahan itu. Dua ciri utama Pusat Kewangan Pesisir Pantai (Offshore Financial Centre (OFC)) adalah cukai yang rendah dan kerahsiaan.
Malaysia juga mempunyai kemudahan itu berikutan penubuhan Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) pada 15 Februari 1996, ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
Hari ini Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan digunakan oleh pelanggan tempatan serta antarabangsa. Ia disenaraikan oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dalam kategori kedua OFC.
Amalan menghantar keluar wang dan mendaftarkan harta di luar tempat berniaga berlaku sejak zaman penjajah. Ramai usahawan United Kingdom (UK) yang membuka ladang dan lombong di Tanah Melayu menghantar balik hasil pendapatan ke UK serta mendaftarkan aset mereka di negara itu.
Walaupun mereka berniaga di Tanah Melayu tetapi negara pemastautin bagi duit, aset dan cukai mereka adalah UK.
Bagi kerajaan, ia tentulah mahu pelabur terutama warganegaranya menyimpan wang dan mendaftarkan aset mereka dalam negara supaya negara lebih kaya dan kerajaan mendapat lebih banyak cukai.
Bagaimanapun, pelabur mempunyai pertimbangan lain seperti kadar cukai lebih rendah, kerahsiaan dan kadar tukaran mata wang yang stabil.
Kesimpulannya, yang menjadi persoalan bukanlah menyimpan wang dan mendaftarkan harta di luar negara tetapi bagaimana kekayaan diperoleh.
Kerajaan pun kena berjaga-jaga agar tidak jadi macam Pandora dalam mitos Yunani (Greek kuno) yang membuka kotak larangan dan mengenakan sumpahan ke atas kemanusiaan.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Wakil Shahrizat serah borang tanding Ketua Wanita UMNO
- Telekung Siti Khadijah, beli dulu bayar kemudian
- Kos selenggara kenderaan menteri era Muhyiddin tertinggi
- Jual nasi lemak RM1 pun jadi kesalahan (Video)
- Anak potong payu dara ibu akibat dadah
- Ramai pemimpin UMNO tidak hormat institusi Presiden
- DUN Batang Kali diisytihar kosong, Harumaini pertimbang tindakan undang-undang
- Pencuri seluar dalam ditangkap nyaris telanjang
- Polis kesan suspek kes langgar lari, seret mangsa 40 meter
- Dituduh Parkir Kereta Sesuka Hati, Jawapan YB Zahir Buat Netizen Geli Hati
- Jangan ‘koyak’ Rayer, Siti Mastura
- MP PAS dakwa Menu Rahmah dedah pengguna pada kanser, autisme
- Hafidz Roshdi didakwa curang, isteri luah perasaan
Layari Laman Facebook MYKMU.NET