Bencana, hukuman & takdir Allah
Bencana, hukuman & takdir Allah
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni
Gempa bumi di sempadan Turkiye dan Syria yang berlaku pada 6 Februari 2023 lalu kini meragut lebih 41,000 nyawa. Pastinya kita tidak tahu berapa banyak lagi siri bencana yang akan menimpa umat manusia sepanjang tahun ini dan seterusnya. Di samping itu, jangan pula kita lupa bahawa dunia baru sahaja mulai pulih daripada wabak Covid-19 yang menurut data WHO telah meragut 6.8 juta nyawa.
Apa yang pasti kita sudah menghampiri akhir zaman yang ditandai dengan kemunculan banyak petanda persis seperti yang dikhabarkan oleh Nabi SAW. Antara petanda itu ialah berlakunya banyak gempa bumi. Terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang menyebutkan demikian. Antaranya, daripada Salamah bin Nufail al-Sakkuni RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “…dan sebelum kiamat, terjadi kematian yang dahsyat dan sesudahnya pula berlaku tahun-tahun gempa bumi.” (Riwayat Ahmad, al-Darimi, al-Tabarani, al-Bazzar, Abu Ya’la, Ibn Hibban dan al-Hakim. Hadis sahih)
Antaranya lagi, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah terjadinya perang antara dua kelompok besar yang menyebabkan kematian yang banyak, sedangkan seruan mereka adalah sama (yakni dalam menegak keadilan dan dikatakan telah terjadi perang itu antara Khalifah Ali RA dan Mu’awiyah RA),… dan terjadi banyak gempa bumi…” (Riwayat al-Bukhari)
Barangkali kerana dalam al-Quran banyak disebutkan malapetaka yang diturunkan adalah sebagai azab dan hukuman daripada Allah SWT terhadap kaum yang ingkar terhadap-Nya, maka ada sesetengah pihak secara mudah sering mendakwa tanpa bukti bahawa bala bencana yang berlaku pada masa kini disebabkan perbuatan mungkar dan maksiat yang dilakukan di tempat berkenaan. Maka, ia sebagai azab dan hukuman kepada mereka.
Padahal tanpa bukti yang kukuh, kita tidak boleh sewenangnya gopoh mengaitkan gempa bumi yang berlaku sebagai hukuman daripada Allah SWT. Ini kerana boleh jadi ia hanya ketetapan dan ketentuan daripada-Nya sebagai pelaksanaan sebahagian daripada pelbagai tanda akhir zaman yang pastinya akan muncul. Maka, sudah tentu ia adalah berdasarkan kehendak dan kemahuan (iradat) daripada-Nya.
Begitu juga malapetaka yang diturunkan sebagai hukuman daripada Allah SWT. Namun, ia mestilah diiringi bukti yang menunjukkan demikian seperti yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh AS, kaum Ad, kaum Thamud, kaum Nabi Lut AS, kaum Firaun dan sebagainya. Jika tidak dapat dibuktikan, maka janganlah kita mudah membuat apa-apa dakwaan yang tidak bertanggungjawab. Misalnya, membuat andaian dan tohmahan bahawa ia hukuman Allah SWT.
Barangkali kerana teruja untuk memperbetulkan persepsi yang salah itu, ada setengah pihak pula yang cuba menangkis dengan menyatakan, ‘gempa bumi yang berlaku bukan kemahuan Allah’. Ungkapan ini juga tidak benar kerana semua yang terjadi adalah atas kemahuan-Nya, sama ada gempa bumi yang berlaku kesan daripada tabiat alam semula jadi, hasil tindakan uji kaji manusia atau hukuman daripada Allah SWT.
Tentunya kita tidak boleh mengatakan sedemikian kerana apa yang diungkapkan itu berbahaya daripada aspek akidah kerana menafikan sifat iradat Allah SWT. Kefahaman ini mirip dengan fahaman Qadariyyah yang menolak adanya takdir. Fahaman Qadariyyah pertama kali disebarkan oleh Ma’bad al-Juhani di Basrah ketika ramai sahabat Nabi SAW masih hidup. Isu yang dibawa oleh Ma’bad al-Juhani adalah antara isu akidah yang terawal berlaku dalam kalangan umat Islam. Beliau dan pengikutnya mendakwa bahawa tidak ada takdir dan segala perkara adalah baharu diketahui oleh Allah SWT ketika ia berlaku. Maka, seolah-olahnya mereka menafikan adanya iradat dan ilmu Allah SWT yang azali!
Ketika Abdullah bin Umar RA mendengar dakwaan itu, beliau terus membalas: “Khabarkan kepada mereka sesungguhnya aku berlepas diri daripada mereka dan mereka pun berlepas diri daripadaku. Demi Tuhan yang Abdullah bin Umar bersumpah dengan-Nya, kalaulah ada bagi seorang daripada mereka emas sebesar bukit Uhud, lalu dia infakkan semuanya, nescaya Allah tidak akan menerimanya sehinggalah dia beriman dengan takdir.” (Riwayat Muslim)
Umat Islam wajib menjauhi fahaman seperti Qadariyyah dan pelbagai fahaman menyeleweng yang muncul dalam sejarah Islam. Berdasarkan pegangan Ahli Sunah Waljamaah, kita wajib meyakini bahawa semua bencana yang berlaku adalah ketetapan dan ketentuan daripada Allah SWT. Di samping, janganlah mudah kita menuding bahawa ia sebagai hukuman Allah SWT atau mendakwa ia bukan kehendak dan kemahuan-Nya. Penulis berharap mana-mana luahan berkenaan barangkali hanya sekadar keterlanjuran lisan semata-mata. HM
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Bencana, hukuman & takdir Allah
Baca Artikel Menarik:
- Wakil Shahrizat serah borang tanding Ketua Wanita UMNO
- Telekung Siti Khadijah, beli dulu bayar kemudian
- Kos selenggara kenderaan menteri era Muhyiddin tertinggi
- Jual nasi lemak RM1 pun jadi kesalahan (Video)
- Anak potong payu dara ibu akibat dadah
- Ramai pemimpin UMNO tidak hormat institusi Presiden
- DUN Batang Kali diisytihar kosong, Harumaini pertimbang tindakan undang-undang
- Pencuri seluar dalam ditangkap nyaris telanjang
- Polis kesan suspek kes langgar lari, seret mangsa 40 meter
- Dituduh Parkir Kereta Sesuka Hati, Jawapan YB Zahir Buat Netizen Geli Hati
- Jangan ‘koyak’ Rayer, Siti Mastura
- MP PAS dakwa Menu Rahmah dedah pengguna pada kanser, autisme
- Hafidz Roshdi didakwa curang, isteri luah perasaan
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Ini ke penyondol kacau rumah tangga Hafidz Roshdi?
You must be logged in to post a comment.