Al-Qalam ciptaan pertama Allah SWT

Al-Qalam ciptaan pertama Allah SWT

“Sesuatu yang pertama-tama dicipta oleh Allah S.W.T. adalah al-Qalam. Allah berfirman kepadanya, “menulislah!” “Ia bertanya, apa yang harus ku tulis?” Allah berfirman, “tulislah ketentuan-ketentuan segala sesuatu hingga terjadinya hari kiamat” (HR Abu Daud, at-Tirmizi at-Thabari dan al-Baihaqi)

Al-Qalam diterjemah sebagai pena atau alat untuk menulis. Sesuatu penulisan adalah medium perantaraan yang paling ampuh menghubungkan ilmu dengan manusia. Kalimah ini begitu besar maknanya kerana diabadikan sebagai satu surah dalam al-Quran. Uniknya pula, ia merupakan wahyu kedua yang sampai kepada Baginda s.a.w. setelah Iqra (bacalah) dalam surah al-Alaq.



Lalu apakah hebatnya disebalik kalimah ini, sehingga ia menjadi yang pertama diciptakan Allah sebelum makhluk yang lain? Bagaimana sifat, rupa dan bentuknya hanya Allah yang lebih mengetahui. Bahkan Allah turut bersumpah melaluinya dalam surah al-Qalam ayat pertama.

Sebelum memulakan perbincangan, perlu terlebih dahulu disebutkan bahawa perkataan al-Qalam atau bermaksud pena telah disebutkan Allah di dalam al-Quran pada empat tempat, itu kata Maad Ahmad, Pensyarah Jabatan Kefahaman dan Pemikiran Islam, Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, (KUIS) memulakan bicara.

Tempat-tempat yang dimaksudkan iaitu surah al-Qalam ayat pertama, surah al-A’laq ayat empat, surah Luqman ayat 27 dan surah Ali-Imran ayat 44.

Secara realitinya, al-qalam atau pena merujuk kepada medium penulisan yang merupakan punca kepada segala ilmu pengetahuan. Lihat sahaja warisan-warisan ilmu yang sampai pada kita hari ini, semuanya tidak lain melalui medium penulisan.



Segala ilmu di dalam dunia ini merupakan jalinan atau salasilah antara pelbagai ilmu yang ada. Analogi yang mudah, ilmu berkaitan falsafah Islam yang kita pelopori harini. Ia tidak lain merupakan jalinan dari ilmu falsafah Yunani terdahulu, dan kemudian sampai pada kita melalui medium penulisan.

Begitu juga dengan ayat-ayat al-Quran, al-Hadis atau ilmu-ilmu Islam. Kesemua ilmu ini adalah hasil curahan para sahabat serta para tokoh ilmuwan Islam lain. Mereka menukilkannya di atas helaian-helain kertas sehingga menjadi sebuah kitab ulung yang menjadi rujukan dan panduan kita.

Sekalipun al-Quran itu disampaikan oleh malaikat Jibril kepada Baginda s.a.w. melalui jalan Musyafahah, namun kemudian yang sampai pada kita kini tidak lain melalui medium penulisan jua iaitu mashaf al-Quran.

Jelasnya, pada zaman Rasulullah s.a.w. ramai di kalangan para sahabat merupakan penghafaz al-Quran. Namun melewati zaman saidina Abu Bakr as-Siddiq r.a, seorang lagi sahabat iaitu saidina Umar al-Khattab r.a. telah mencadangkan agar dibukukan segala hafazan tersebut.



Ini menjadi satu projek mega bagi Khalifah Abu Bakr r.a. dengan memerintahkan para penghafaz dan para penulis menyumbangkan kepakaran mereka membukukan al-Quran. Melewati zaman saidina Utsman al-Affan r.a. pula, diperbetul dan diperkemaskan lagi mashaf al-Quran tersebut agar lebih baik isi kandungannya.

Oleh itu, hadis tentang al-qalam yang menjadi pertama diciptakan Allah, menjelaskan bahawa punca kepada semua yang berlaku dan terjadi di alam ini, serta ilmu pengetahuan berpaksikan kepada qalam yang menulis. Walaupun di dalam al-Quran perkataan ini hanya disebut empat kali sahaja, namun hakikatnya ia membawa implikasi yang sangat luar biasa pada kehidupan di dunia.

Sumpah Demi al-Qalam

Qalam sememangnya mengandungi hikmah yang sangat besar dan begitu istimewa kepada manusia umumnya. Justeru itu ujar Maad Ahmad, Allah telah bersumpah dengan kalimah ini melalui kalam Nya dalam surah al-Qalam.



Allah memulakan surah ini dengan huruf “Nun” dan disusuli pula dengan lafaz “Walqalami wama yasturun” Sebutan wa yang mendampingi perkataan qalam bukanlah bermaksud “dan” sebagaimana yang lazimnya digunakan dalam kosa kata Arab.

Akan tetapi wa di situ iaitu huruf wau berbaris atas sebenarnya ditakwilkan sebagai lafaz sumpah (demi) dengan firman Nya, “demi pena dan apa yang mereka tuliskan.”

Sesuatu yang harus kita fahami dalam al-Quran, apa jua perkara yang melibatkan sumpah dari Allah, ia bukanlah perkara yang kecil sifatnya. Bahkan ia memberi makna yang sangat besar sekali.

Lazimnya Allah akan bersumpah melibatkan sesuatu yang dianggap besar dan hebat seperti wassyamsi (demi matahari), wassama’i (demi langit), wadduha (demi waktu duha) dan banyak lagi.



Walau bagaimanapun timbul persoalan, mengapa Allah bersumpah hanya dengan perkataan qalam (pena) yang dilihat kecil sahaja sifatnya.

Dalam hal ini ujarnya, ulama berpandangan, fungsi qalam sebenarnya memberi implikasi yang sangat besar dalam kehidupan manusia, sekalipun ia hanya dilihat sebagai material yang kecil nilainya. Fungsi yang dimainkan qalam dalam medium penulisan menjadikan kita mewarisi pelbagai cabang ilmu pengetahuan terutama ilmu hadis.

Medium penulisan ini sangat penting kerana ia dapat membezakan antara hadis-hadis palsu yang mula tersebar dengan hadis-hadis sahih. Ini berlaku selepas kematian para sahabat yang menghafaz banyak hadis. Lalu dengan cara membukukan hadis oleh ulama-ulama hadis memberi panduan kepada kita sampai hari ini.

Tidak ada satu pun yang kita kata mereka di kalangan ulama hadis hanya melalui hafazan sedangkan hafazan mereka itu sendiri bergantung kepada buku (bahan bertulis). Sekiranya hanya bergantung semata-mata pada hafazan sahaja itu merupakan konsep yang salah. Ulama muktabar yang menghafaz ribuan hadis sekalipun tetap bergantung kepada bahan-bahan bertulis.



Keperluan menulis turut ditekankan Baginda s.a.w. sebagaimana dalam satu riwayat,

“Telah datang seorang sahabat mengadu kepada Baginda s.a.w. bahawa ia selalu datang mendengar kuliah Baginda s.a.w. namun apabila pulang ke rumah dia sudah lupa apa yang Baginda ajarkan. Lalu Baginda s.a.w. berkata, “mintalah bantuan dari tangan kamu (untuk menulis) supaya kamu tidak lupa.” Utv

Al-Qalam ciptaan pertama Allah SWT

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Senarai pemenang AJL37, Terus Hidup dinobat sebagai juara

Jahat atau tak, tunggu saja – Anwar

Isteri naik hantu, ganyang skandal suami tepi jalan raya [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker