Singkir, gantung pemimpin bukan penamat gelora dalam UMNO

Singkir, gantung pemimpin bukan penamat gelora dalam UMNO

KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat dan menggantung beberapa lagi pemimpinnya malam tadi, tentunya memberi kesan besar terhadap kelangsungan parti itu selepas ini.

Selepas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dipecat, kini giliran bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin melalui nasib yang sama.

Sejak laporan pemecatan keahlian Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, disiarkan dibanyak platform media, reaksi dari kalangan netizen di media sosial mengenai berita pemecatan itu jauh berbeza, jika dibanding dengan laporan pemecatan beberapa pemimpin UMNO sebelumnya.

Tak dapat dinafikan, mesej netizen yang memberi komen terhadap laporan berita yang dikongsi itu lebih ganas dan keras. Komen seperti UMNO bakal berkubur, akan lenyap dari bumi Malaysia boleh dilihat hampir memenuhi segenap ruangan komen sama ada di Facebook, Instagram mahupun Twitter.

Khairy, yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi University Of Oxford, London, sememangnya dikenali sebagai sosok pemimpin muda yang terbuka serta lantang dalam menyuarakan pendapatnya terhadap sesuatu isu, terutama yang berkait hal dalaman UMNO.

Tindakan Khairy mengkritik kepimpinan UMNO juga bukan baru. Kelantangan beliau terserlah sejak 2014 atau 2015 lagi, apabila secara terbuka dan berterus terang memberi teguran kepada Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Setiap kali berbangkit isu yang berkaitan kepincangan dalam kalangan kepemimpinan UMNO, Khairy atau nama popularnya KJ antara yang pantas memberi maklum balas serta teguran, termasuk melalui platform sosial media atau pun ketika ditemubual media.

Contohnya pada April 2015, ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan bahawa UMNO dan BN tidak akan diyakini lagi oleh rakyat. Ia menyusul selepas Najib enggan memberi jawapan belas mengenai dakwaan berhubung skandal 1Malaysia Developmet Berhad (1MDB), kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu serta pembelian jet peribadi untuk kegunaan VVIP.

Kritikan itu tangkas dijawab Khairy yang ketika itu adalah Menteri Belia dan Sukan, dengan meminta supaya Najib segera menyuarakan reaksi balasnya terhadap segala perkara dibangkitkan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.

Ketika itu, mulalah hubungan yang sedikit renggang antara kem Pemuda UMNO yang dipimpin Khairy dengan Najib serta beberapa lagi pemimpin UMNO yang dilihat pro kepada Perdana Menteri keenam itu.

Khairy kemudian mencetuskan ‘kegilaannya’ pada pemilihan UMNO 2018 selepas memutuskan pada saat akhir untuk bertanding jawatan presiden, sekaligus memecah tradisi lebih 30 tahun jawatan utama parti itu tidak dicabar.

Beliau ditentang oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika itu adalah pemangku Presiden UMNO.

Sejak itu, keretakan hubungan Khairy dan Ahmad Zahid mula terserlah, sungguhpun ada dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri, pernah menyatakan bahawa KJ adalah budak kesayangan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Walau saat akhir menyertai persaingan, Khairy berjaya meraih 51 undi UMNO Bahagian dari 192 yang dipertanding, dengan Ahmad Zahid menang selepas meraih 93 sokongan bahagian, sementara veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, mendapat 23 undi menyokong.

Ketika tempoh pemilihan itu juga, Dr Mahathir secara terbuka menzahirkan bahawa Khairy adalah pilihan terbaik untuk menggalas tugas sebagai Presiden UMNO, terutama selepas parti diasaskan pada 11 Mei 1946 itu tewas pertama kalinya dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia.

Atas sebab itulah, hingga kini, Khairy masih digelar sebagai budak nakal UMNO. Bermakna, musuh politiknya bukan saja ada di luar parti, malah dalam partinya sendiri.

Meniti secara dekat perjalanan politik Khairy terutama sejak 2018, tentunya ada sisi yang dilihat agak ‘keras’ terutama dalam cara beliau berhujah dan memberi teguran dalam banyak isu semasa.

Namun dari sudut lain, imej Khairy berkait kepetahannya berhujah termasuk di Parlimen dan pentas

ceramah politik cukup disenangi ramai pihak, terutama anak muda sendiri.

Dalam siri kempen PRU14 dan PRU15 contohnya, imej Khairy digambarkan oleh pengundi sebagai pemimpin masa depan UMNO, tidak kurang yang menyatakan bakal Perdana Menteri bagi Malaysia.

Dalam ruangan komen di media sosial juga, ramai berseloroh menyatakan akan menyertai UMNO jika Khairy adalah presidennya.

Gaya Khairy menampilkan imej tersendiri ke khalayak ramai, berjaya membina aura kepimpinannya sendiri.

Walau pun dilabel ‘poyo’ oleh sesetengah orang UMNO sendiri, namun wataknya sentiasa segar dalam kalangan anak muda, bahkan golongan ibu dan bapa, biarpun usianya kini sudah menjangkau 47 tahun.

Ketangkasan beliau dalam menggunakan media sosial untuk berkongsi fakta dan menjawab segala kritikan orang ramai tanpa henti, terutama ketika menjawat jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Kesihatan, menyerlahkan gaya komunikasinya yang bukan saja matang, tapi menzahirkan sudut pemikirannya yang rasional dan cerdas.

Atas sebab itu, beliau antara pemimpin UMNO mudah disenangi bukan saja ahli, penyokong dan pemimpin BN, malah melangkaui sehingga ke parti pembangkang.

Ketika berita beliau dipecat mula tersebar, Perikatan Nasional (PN) secara terbuka menawarkan beliau menyertai parti itu.

Malah, seperti diketahui ramai, Khairy juga adalah rakan akrab kepada seorang lagi pemimpin lantang PKR, Rafizi Ramli.

Justeru, naratif penyingkiran Khairy serta pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, dilihat bukan penamat kepada segala gelora yang sedang membelenggu UMNO dan BN.

Apa yang jelas, signalnya tidak begitu positif terutama dalam usaha UMNO dan BN mahu memulihkan partinya, membina semula keyakinan rakyat dan meneruskan survival politiknya selepas ini.

Ke mana pun rencana dan kerangka hala tuju yang mahu dipandu UMNO selepas ini, penentu kejayaan kelangsungannya sangat bergantung kepada sokongan orang Melayu dari semua peringkat, bukan ahli dan penyokong tegar semata-mata. BH

Singkir, gantung pemimpin bukan penamat gelora dalam UMNO

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Isteri kedua baru hamil 6 bulan, suami nikah isteri ketiga [VIDEO]

Pelanggan mengamuk kerana saiz espreso (Video)

Kecil-kecil jadi pembuli (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker