Instrumen tingkat ekonomi umat Islam

Instrumen tingkat ekonomi umat Islam

oleh Amirulhakim Ahmad Nadzri

Islam adalah ad-Din (agama) yang membawa dan menyeru kepada umatnya supaya mempunyai sifat tolong-menolong (ta’awun) antara satu sama lain. Dengan seruan itu, maka terserlah bahawa Islam adalah agama yang membawa kepada rahmat dan kesejahteraan. Secara tidak langsung menonjolkan kebencian kepada segala bentuk penindasan, pencabulan hak dan penafian kebebasan kepada penganutnya.



Satu daripada bukti yang menunjukkan bahawa agama Islam itu agama tolong–menolong adalah dengan mewajibkan penganutnya mengeluarkan zakat bagi yang berkemampuan untuk membantu golongan yang memerlukan pembelaan, seterusnya menjamin kemakmuran dalam masyarakat.

Kewajipan mengeluarkan zakat ini adalah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran pada Surah an-Nur ayat 56 yang bermaksud: “Dan laksanakan solat, tunaikanlah zakat dan taatlah kepada rasul (Muhammad) agar kamu diberi rahmat.”

Pada dasarnya, zakat adalah rukun Islam keempat, yang ia bukan hanya berkonsepkan ‘hablum min Allah’ (hubungan dengan Allah) semata-mata, malah yang lebih besar ia berkonsepkan ‘hablum min al-Nas’ (hubungan sesama manusia), yang dengannya dapat membawa kepada ketamadunan bagi manusia.

Namun, jika mereka ingkar membayar zakat sedangkan mengetahui tentang kewajipan serta kepentingannya, mereka akan mendapat balasan daripada Allah SWT. Kekuatan yang dimiliki oleh dana zakat ini amat besar sehingga mampu memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ia berlaku ketika pemerintahan khulafa’ ar Rasyidin sehinggakan sumber kewangan negara dan perkembangan ekonomi mencapai tahap yang amat memberangsangkan.



Dalam melaksanakan tuntutan Ilahi melalui zakat, maka secara dasarnya ia mampu memberikan keseimbangan daripada aspek pembangunan ekonomi dalam kalangan masyarakat. Bahkan jika ditinjau dengan lebih jauh, ia dijana untuk memberikan keselesaan umat Islam di muka bumi ini secara kolektif.

Namun begitu, perlu diingat bahawa sumbangan zakat yang diperoleh perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dan tidak membazir. Ia adalah keperluan optimum bagi meneruskan kehidupan secara tabii.

Zakat mempunyai dua fungsi, iaitu membersihkan harta benda dan jiwa (fitrah) manusia. Seseorang yang telah mengeluarkan sebahagian hartanya (berzakat) kepada penerima (mustahiq), bererti dia telah menyucikan hartanya dan jiwanya daripada mengambil atau menggunakan hak milik orang lain sekali gus menunaikan ibadah yang disyariatkan Allah SWT. Perkara ini juga memupuk diri menjadi seorang yang ikhlas dalam setiap perbuatan.

Kedua, zakat itu sebagai fungsi sosial iaitu sarana berhubung sesama manusia bagi mereka yang kaya dan yang miskin. Dana zakat demikian mempunyai dimensi ‘hablum min Allah wa hablum min al-nas’, dapat dimanfaatkan untuk mengurangkan kemiskinan yang juga antara masalah sosial dalam kehidupan sesuatu masyarakat dalam rangka meningkatkan taraf hidup sebahagian anggotanya. Apabila kita memfokuskan kepada fungsi kedua itu, ia terkait dengan peranan pemerintah melalui badan pengurus zakat dalam pengagihan kepada asnaf untuk meningkatkan taraf hidup atau sosioekonomi umat Islam.



Pada peringkat permulaannya, badan pengurus zakat memberikan bantuan berbentuk makanan dan wang untuk membantu golongan yang daif serta miskin. Hal ini bertujuan meringankan beban keluarga sekali gus memberikan keselesaan kepada mereka.

Namun, dalam konteks negara sekarang, pihak pengurusan zakat memikirkan cara untuk mengelak keluarga fakir dan miskin ini terus mendapat sumbangan kewangan tanpa mempunyai semangat berdikari serta sikap kebergantungan kepada pusat zakat khususnya.

Oleh itu, pada masa sekarang satu anjakan paradigma dilakukan oleh pihak pengurusan zakat. Mutakhir ini, banyak badan pengurus zakat menyediakan satu skim yang berbentuk bantuan modal. Skim ini disediakan dengan menggalakkan asnaf untuk berdikari dengan berusaha meningkatkan pendapatan melalui aktiviti perekonomian yang melibatkan aktiviti seperti perniagaan, pertanian, perikanan, penternakan dan perkhidmatan.

Skim ini berlandaskan konsep memberi kail, bukan ikan. Proses ini seiring dengan pandangan Syeikh Abdul Aziz al-Malibary dalam kitabnya Fath al-Mu’in yang menyatakan: “Fakir dan miskin jika boleh berniaga diberi modal agar keuntungannya boleh mencukupi mereka. Jika mereka boleh bekerja, maka mereka diberi alatnya. Jika tidak boleh berniaga mahupun kerja, maka ia diberi wang untuk mencukupi keperluannya sesuai dengan umur kebiasaannya.”



Melalui skim bantuan zakat ini, sebenarnya banyak kebaikan bagi golongan asnaf yang memberanikan diri menceburi sesuatu bidang yang mencabar apabila mampu memberi ruang pekerjaan kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan selain menambah rezeki seseorang asnaf berkenaan. Secara tidak langsung, ruang rezeki itu akan terus menyumbang ke arah pembangunan ekonomi umat Islam amnya.

Bagaimanapun, proses pemantauan dan penganalisisan perlu diteliti. Ia merangkumi ketika memilih asnaf yang mempunyai minat tinggi dalam perniagaan dan proses menjaga penyelarasan perniagaan selepas perniagaan itu dijalankan. Pemantauan ini perlu untuk menjaga kewangan yang sudah pasti melibatkan aliran wang tunai.

Model ini berupaya menjana jaminan sosial yang lebih progresif. Kesannya sudah pasti memberi rangsangan kepada umat Islam amnya. Pengeluaran zakat yang dahulunya diperoleh oleh asnaf, telah dijana semula oleh mereka sehingga mereka mampu membayar zakat kepada pemberi modal iaitu badan pengurus zakat negeri.

Kesannya golongan ini tidak lagi menerima zakat malah mereka pula yang mengeluarkan zakat. Dalam erti kata lain, setelah seseorang itu berjaya dalam bidang yang telah diceburi dengan hasil bantuan dana zakat, maka proses ini akan dipanggil proses turning over.



Jika suatu ketika dahulu seseorang itu mendapat bantuan daripada dana zakat, maka sekarang berlaku sebaliknya iaitu mereka telah menjadi pembayar zakat. Seterusnya hasil bayaran zakat yang mereka berikan kepada badan pengurus zakat akan disalurkan kepada mereka yang berbakat dalam keusahawanan melalui skim bantuan modal.

Secara tidak langsung, proses ini dapat meningkatkan sosioekonomi umat Islam.

Kesimpulannya, zakat secara umumnya untuk membantu golongan asnaf apabila golongan ini diterima syarak seperti yang dinyatakan dalam Surah at-Taubah ayat 60. Zakat juga berperanan dalam membangunkan sosioekonomi umat Islam sekali gus dengan mengemas kini skim bantuan zakat, maka golongan asnaf dapat menukar hidup daripada seorang fakir miskin penerima zakat menjadi seorang muzakki iaitu orang yang mengeluarkan zakat. HM

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa



Instrumen tingkat ekonomi umat Islam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Terima kasih Annuar bongkar Muhyiddin beri duit pada UMNO

Raba payu dara sepupu isteri, lelaki didakwa

Wan Fayhsal buat laporan polis terhadap Anwar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker