Kerjasama UMNO – PH kerana perubahan politik pasca PRU15
Kerjasama UMNO – PH kerana perubahan politik pasca PRU15
Kerjasama Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) berlaku berikutan suasana politik negara yang berubah pasca Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, susulan perubahan itu, pemimpin politik khususnya UMNO perlu mengambil keputusan cepat demi kesinambungan parti itu.
“UMNO sekarang ditolak rakyat, ibarat berada di sebuah lembah, jika tindakan yang diambil ini (kerjasama dengan PH) boleh meletakkan UMNO di dalam kerajaan dan kekal mempunyai kuasa, masih relevan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata jika tindakan itu dilihat sebagai langkah survival untuk UMNO, maka ia adalah langkah yang bijak untuk membantu mengatasi kemelut politik dan juga mengatasi kesusahan rakyat pada masa ini.
“Pada hakikatnya, saya menyokong kenyataan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerana jika kita masih mahu berpegang kepada keputusan dahulu, ia tidak lagi sesuai dalam masa ini,” katanya.
Othman menjelaskan kepimpinan UMNO telah menetapkan ‘top 5’untuk buat keputusan terbaik demi parti oleh itu soal prinsip atau gadai maruah parti tidak timbul.
“Kepimpinan perlu buat keputusan demi kelangsungan dan masa depan UMNO. Melihat kepada dinamika politik masa kini dan mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong, gabungan itu satu langkah yang cerdik, cekap dan segera,” jelasnya.
Othman berpendapat untuk menjaga negara, agama dan rakyat, kepimpinan UMNO perlu menjelaskan kepada rakyat dan ahli supaya mereka memahami dan menerima keputusan itu.
Beliau berkata, cakap-cakap negatif terhadap parti tetap akan ada, dimainkan pihak tertentu yang luar dari kepimpinan UMNO kerana itu sebahagian permainan politik mereka.
“Tindakan kerjasama BN dengan PH dan DAP membolehkan UMNO memegang portfolio penting di negeri Perak dan Pahang, saya yakin pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang mereka akan jelaskan.
“Jangan terlalu polemik, lihat masa depan, apa keperluan semasa dan pastikan UMNO masih relevan,” katanya.
Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan BERSATU adalah hanya untuk berdepan PRU15 dan bukannya selepas pilihan raya umum itu.
“Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” kata Ahmad Zahid.
Menurut Ahmad Zahid, apa yang berlaku dalam arena politik negara hari ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.
Sementara itu penganalisis politik, Profesor Dr James Chin berpendapat kenyataan Ahmad Zahid mengenai tiada kerjasama dengan PH serta Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dibuat ketika mereka percaya UMNO berada di atas dan yakin akan menang.
“Kenyataan terbaru Ahmad Zahid ini (kerjasama dengan PH) adalah untuk menjelaskan kehadiran UMNO dalam kerajaan yang dipimpin oleh PH,” katanya ketika dihubungi.
Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania itu berkata dengan Pilihanraya Negeri yang bakal diadakan kelak, mana-mana ahli politik akan merancang untuk masa depan lebih awal untuk membuat pergerakan.
“Enam negeri akan mengadakan PRN jadi UMNO mesti memastikan kemenangan mereka di negeri-negeri itu,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini UMNO telah berjaya dengan menjadi Menteri Besar di dua buah negeri walaupun UMNO adalah pihak minoriti di sana iaitu Pahang dan Perak.
Beliau berkata kenyataan terbaru Ahmad Zahid itu tidak akan memberi kesan kepada pengikut UMNO dan rakyat secara umum kerana sifat pengundi dan penyokong politik Malaysia adalah mudah melupakan perkara seperti ini.
“Ia tidak akan beri kesan kepada mereka, mereka akan lupa setelah UMNO berada dalam kerajaan,” katanya. BH
Kerjasama UMNO – PH kerana perubahan politik pasca PRU15
Baca Artikel Menarik:
- Tiada lagi projek tanpa tender, tegas Anwar
- DAP tidak akan kuasai kerajaan saya – Saarani
- Kemalangan pelik cetus kritikan di media sosial
- Data pengguna WhatsApp Malaysia dijual di platform antarabangsa – MCCA
- Hishammuddin, Ismail disertakan dalam Jemaah Menteri Anwar?
- Ismail nafi dakwaan perbelanjaan negara tidak direkod
- Adakah keangkuhan Muhyiddin punca PN gagal tawan Persekutuan, Perak dan Pahang?
- UMNO Perlu Kembali Kepada Disiplin Dan Hieraki Parti – Johari
- Pecah masuk restoran Zul Yahya, lelaki ditahan polis
- PAS akan bincang tawaran sertai kerajaan perpaduan
- Pusat hiburan tawar khidmat GRO diserbu
- Presiden paling lama berkuasa di dunia menang pilihan raya lagi
- Safawi, Syifa sah bergelar suami isteri
- Shila Amzah pekak sebelah, alami jangkitan
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Dituduh jadi ejen Israel, Anwar arah polis ambil tindakan – Fahmi
Orang baik dan orang jahat tak boleh duduk bersama – Tuan Ibrahim