Malaysia kecewa sikap Majlis Keselamatan PBB

Malaysia kecewa sikap Majlis Keselamatan PBB
KUALA LUMPUR – Malaysia kecewa dengan sikap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terus membisu dalam isu Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dalam minggu ini sahaja, sudah tiga kali Majlis Keselamatan PBB bersidang tetapi malangnya satu kenyataan belum dikeluarkan mengenai situasi semasa di Palestin.

“Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB yang gagal untuk mengutuk tindakan Israel serta menggesa keganasan ke atas rakyat Palestin dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk itu, menurut Hishammuddin, Malaysia menyarankan Majlis Keselamatan PBB melaksanakan segera tiga gesaan termasuk perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB.

Kedua, Majlis Keselamatan PBB hendaklah tegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh rejim Israel.

Ketiga dan paling penting, kata Hishammuddin, Majlis Keselamatan PBB perlu mengkaji semula cadangan mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin.

“Selain tiga gesaan ini, Malaysia, selaras dengan kenyataan bersama Negara Brunei dan Indonesia mendesak Perhimpunan Agung PBB untuk segera mengadakan Sesi Khas bagi menghentikan kekejaman dan penjajahan Israel di Palestin,” katanya. MG

Malaysia kecewa sikap Majlis Keselamatan PBB membisu soal Palestin


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Malaysia sedia hantar ATM ke Palestin – Ismail Sabri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker