Vaksin bukan magik, kerajaan perlu proaktif tangani Covid-19 – Zahid


Kerajaan perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan Covid-19 supaya kadar jangkitan harian yang mencanak dapat dikawal, selain itu, mengambil kira barisan hadapan negara yang kian tertekan dan kepenatan.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah tentu kita tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai salah sebuah negara yang lambat berjaya dalam menangani pandemik ini.

Beliau bimbang andai kerajaan terlalu bergantung kepada penggunaan vaksin yang masih di peringkat percubaan klinikal sedangkan kes ketika ini terus tinggi.

Menurutnya, beberapa pakar kesihatan Malaysia dan ahli akademik telah pun memberi pandangan mengenai fungsi vaksin Covid-19.

”Mereka kata vaksin itu berkesan mengelak seseorang mengalami kesan teruk jangkitan itu, namun itu tidak bermakna seseorang yang telah divaksin tidak boleh menjadi pembawa virus itu.

“Mereka kata virus Covid-19 sesuatu yang baru dan kompleks. Masih memerlukan kajian serta pengumpulan data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan.

”Mereka kata vaksin Covid-19 tidak bersifat menyembuh, sebaliknya bertujuan mencegah dan mengawal penyakit daripada menjadi lebih kritikal. Mereka sependapat bahawa SOP seperti penjarakkan sosial dan sebagainya masih perlu diteruskan walaupun selepas program suntikan vaksin secara menyeluruh bermula.

”Ini bermaksud vaksin Covid-19 bukan bersifat magik. Bukan seperti iklan ubat yang berkesan menghilangkan sakit kepala dua kali lebih pantas. Ia akan mengambil tempoh masa tertentu sebelum kita dapat mengawal sepenuhnya penularan pandemik itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Presiden UMNO itu menambah, jika jumlah jangkitan kes tidak ditangani dari sekarang, dibimbangi Malaysia memerlukan masa lebih lama sebelum dapat menangani kadar jangkitan.

Menurutnya, sudah tentu masyarakat tidak mahu lebih ramai yang tewas sementara menunggu program vaksinasi sepenuhnya bermula.

Oleh itu, kerajaan perlu perketatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memberi bantuan yang sewajarnya kepada rakyat dan golongan peniaga supaya mereka dapat bertahan. MG

UMNO Akan Terus Main Peranan Proaktif Sebagai Agen Semak Dan Imbang Kepada Kerajaan Baru

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker