Pengambilan ubat-ubatan ketika berpuasa


SEMASA bulan Ramadhan, saya seringkali bertemu pesakit yang mengalami komplikasi penyakit akibat daripada meninggalkan ubat-ubatan yang biasanya diambil untuk merawat penyakit-penyakit yang mereka hidapi kerana mereka risau pengambilan ubat-ubatan akan membatalkan ibadah puasa mereka.

Puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar (masuk waktu subuh) sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib). Umat Islam di Malaysia kebiasaannya akan berpuasa selama lebih kurang 14 jam sehari. Sewaktu berpuasa, lazimnya umat Islam akan makan pada waktu pagi sebelum subuh (waktu sahur) dan pada waktu maghrib (waktu berbuka).

Pada bulan Ramadan, umat Islam akan berpuasa selama 29 atau 30 hari. Islam sebenarnya adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Orang-orang yang sakit, mengandung atau menyusukan anak diberikan rukhsah (kelonggaran)
untuk tidak berpuasa. Namun mereka wajib menggantikan (mengqada’) puasa yang ditinggalkan itu di kemudian hari. Sekiranya mereka masih mahu berpuasa, nasihat daripada doktor yang merawat perlu diperolehi dan pengawasan rapi adalah diperlukan.

Seandainya memudaratkan, mereka perlu berbuka puasa. Soalan yang seringkali diutarakan oleh pesakit adalah sama ada puasa mereka akan terbatal atau tidak sekiranya mereka mengambil ubat-ubatan atau menjalani rawatan perubatan semasa berpuasa. Bagi menyelesaikan kemusykilan di kalangan pesakit, berikut adalah maklumat penting untuk mereka fahami berkenaan status batal puasa atau tidak jika mengambil ubat semasa berpuasa.

Apabila berpuasa, umat Islam perlu mengelakkan diri daripada memasukkan sesuatu dengan sengaja ke dalam rongga-rongga terbuka tubuh seperti mulut, hidung, telinga, saluran qubul (kemaluan hadapan) dan dubur (kemaluan belakang) bagi lelaki dan
perempuan hingga melebihi had tertentu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang dibenarkan ketika berpuasa selagi ia tidak melebihi had yang ditetapkan.

Perkara-perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang TIDAK MEMBATALKAN puasa termasuklah:

1.Penggunaan ubat titis mata kerana mata tidak dikira sebagai rongga terbuka tubuh.

2. Penggunaan ubat titis telinga dan cucian telinga bagi penyakit telinga yang tidak tertahan sehingga tidak mampu duduk diam kecuali dengan diletakkan ubat dalam minyak atau kapas ke dalam telinga bagi melegakan atau menghilangkan penderitaan
tersebut, dengan syarat tidak sampai ke batas gegendang telinga.

3. Penggunaan ubat semburan (spray) hidung, dengan syarat tidak disedut.

4. Penggunaan ubat sublingual (bawah lidah) selagi ubat tersebut diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan melepasi kerongkong.

5. Penggunaan ubat terapeutik jenis semburan ke mulut (oral spray) atau ubat kumur secara gargle sehingga air menghampiri tekak, selagi tidak melibatkan proses menelan.

6. Penggunaan inhaler bagi pesakit asma (asthma). Namun pengguna dicadangkan agar berkumur-kumur selepas selesai menggunakannya.

7. Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, penskaleran (scaling) atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.

8. Semua jenis suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah.

9. Menderma darah, memasukkan (transfusi) darah atau pengambilan sampel darah untuk ujian makmal.

10. Penggunaan ubat jenis sapuan (krim atau salap), balutan dan plaster pada permukaan kulit.

11. Menjalani prosedur biopsi iaitu pengambilan spesimen atau cebisan daripada anggota badan.

12. Menjalani rawatan hemodialisis atau rawatan dialisis peritoneal bagi pesakit buah pinggang.

13. Suntikan insulin yang dilakukan melalui lapisan kulit.

14. Rawatan berbekam, namun ianya dianggap makruh di sisi ulama’.

15. Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.
16. Menjalani rawatan bius setempat (local) dengan semburan atau suntikan setempat.

17. Penggunaan ubat bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas (atas sebab perubatan) lalu kesan bius itu menyebabkan dirinya pengsan separuh hari, kemudian tersedar semula pada waktu siang hari berpuasa tersebut.

Perkara-perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang MEMBATALKAN puasa ialah:

1. Pengambilan ubat jenis biji yang perlu ditelan dan ubat jenis cecair yang perlu diminum.

2. Suntikan yang mendatangkan khasiat dan tenaga kepada tubuh badan kerana ia sama
seperti makan dan minum dengan sengaja.

3. Suntikan melalui bahagian yang bersambung dengan rongga badan.

4. Memasukkan sebarang tiub kecil (pesari) atau ubat ke dalam faraj termasuk prosedur cucian dan pemeriksaan dalaman vagina wanita.

4. Memasukkan sebarang tiub kateter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing, barium atau ubat pencuci yang dimasukkan ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita.

5. Penggunaan teropong usus (colonoscopy) atau teropong perut (gastroscopy) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman.

6. Penggunaan ubat bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas (atas sebab perubatan) lalu kesan bius itu menyebabkan dirinya pengsan di sepanjang waktu berpuasa.

Inhaler: Membatalkan puasa atau tidak?

Secara umumnya, ubat inhaler digunakan oleh pesakit penyakit paru-paru seperti asma (lelah) atau penyakit peparu tersumbat kronik (chronic obstructive pulmonary disease,COPD). Ubat inhaler terbahagi kepada dua jenis iaitu pencegah (preventer) dan pelega (reliever). Pesakit yang menggunakan inhaler jenis pencegah dinasihatkan supaya menggunakan inhaler tersebut seperti dos yang diarahkan doktor. Cuma waktu pengambilan boleh ditukarkan kepada waktu bersahur dan waktu berbuka puasa.

Penggunaan ubat inhaler jenis pencegah secara konsisten dapat mengelakkan pesakit daripada mendapat serangan asma. Sekali gus dapat mengurangkan keperluan pesakit menggunakan inhaler jenis pelega yang biasanya digunakan ketika pesakit mendapat serangan asma secara tiba-tiba.

Terdapat dua pendapat berkaitan hukum penggunaan inhaler semasa berpuasa.

Pendapat pertama jumhur (kebanyakan) ulama menyatakan bahawa penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa. Ini kerana satu semburan inhaler mempunyai isipadu cecair yang sangat sedikit, tidak sampai setitis, iaitu tidak sampai 0.01 mililiter. Majoriti (>70%) daripada 0.01 mililiter cecair tersebut akan pergi ke salur trakea bahagian pernafasan, manakala kurang daripada 30% berkemungkinan akan termasuk ke dalam salur esofagus pemakanan.

Kuantiti yang berkemungkinan termasuk ke dalam perut ini adalah sangat kecil, terlalu sedikit, tidak dapat dielakkan dan dimaafkan. Tambahan pula, kemungkinan untuk cecair inhaler termasuk ke kerongkong dan seterusnya ke perut hanya akan berlaku sekiranya
pesakit tersalah teknik semburan.

Namun begitu, terdapat pendapat kedua yang menyatakan bahawa penggunaan inhaler membatalkan puasa kerana bahan-bahan dalam inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut, iaitu masuk sesuatu ‘ain sekalipun sedikit ke dalam rongga terbuka tubuh.
Ulama yang berpendapat sebegini menyatakan bahawa tidak boleh mengambil inhaler pada siang hari berpuasa kecuali sekiranya sakit dan berhajat. Jika perlu diambil, seseorang itu boleh berbuka dan menggantikannya pada waktu yang lain.

Setelah melihat kepada kedua-dua pendapat, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lebih cenderung mengatakan bahawa penggunaan inhaler di siang hari pada bulan Ramadan tidak membatalkan puasa. Ini kerana serangan asma bertaraf darurat iaitu
penyakit yang tidak tertahan sehingga tidak mampu duduk diam kecuali dengan diletakkan ubat yang boleh melegakan atau menghilangkan penderitaan tersebut.

Pendapat yang sama juga diguna pakai oleh ahli ulama seperti al-Syeikh al-‘Allamah Abdul Aziz bin Baz Rahimahullah, al-Syeikh al-‘Allamah al-Faqeh al-Zaman Muhammad bin Soleh al-‘Uthaymeen Rahimahullah, al-Syeikh Abdullah bin Jibrin, al-Syeikh Dr. Muhammad al-Khayyat, al-Syeikh Dr. Muhammad ‘Uqlah Hafizahullah, al-Syeikh Dr. al-Siddiq al-Darir, al-Syeikh Dr. al-Tantawi, al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi Hafizahullah. Ia juga adalah jawapan yang telah diputuskan oleh badan-badan yang berautoriti seperti Majma’ Fiqh Islami, Fatwa Lajnah Daimah dan Pertubuhan Sains Perubatan Islam (Islamic Organization for Medical
Science, IOMS).

Memandangkan isu penggunaan inhaler bagi pesakit asma merupakan isu yang diperselisihkan oleh para fuqaha (ahli fiqah), maka dibolehkan bagi kita memilih salah satu dari dua pandangan selama mana ia tidak bercanggah dengan nas dan juga ijma’ para ulama. Oleh yang demikian, terpulang kepada pesakit untuk membuat pilihan berdasarkan keyakinan mereka. Sekiranya yakin ia membatalkan puasa, maka wajib bagi pesakit tersebut menggantikan semula puasa yang tertinggal itu pada bulan-bulan yang berikutnya.

Cara Pengambilan Ubat Semasa Berpuasa

Bagi mereka yang mengambil pil atau ubatan, puasa bukanlah penghalang untuk meneruskan rawatan. Pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor sama ada mereka boleh berpuasa atau tidak. Nasihat doktor juga perlu diperolehi bagi menentukan sama ada
pengubahsuaian dos dan waktu pengambilan ubat-ubatan boleh dilakukan. Ubat-ubatan tidak sepatutnya diberhentikan semasa berpuasa tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Jadual berikut menunjukkan masa pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa:

Bagi pesakit diabetes yang mengambil ubat atau suntikan insulin, dos dan waktu ubat-ubatan juga boleh diubahsuai setelah perbincangan dengan doktor yang merawat berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan sebelum Ramadan. Sekiranya
kawalan diabetes adalah tidak bagus, pesakit lazimnya akan dinasihatkan agar tidak berpuasa kerana risiko untuk mendapat komplikasi seperti gula terlampau rendah (hipoglisemia) atau gula terlampau tinggi (hiperglisemia) adalah tinggi.

Pesakit juga harus peka terhadap tahap kesihatan diri dan perlu bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan. Perkara ini penting bagi mengelak sebarang kemudaratan atau komplikasi yang tidak diingini.

Maklumat ini hanyalah sebagai panduan umum. Mungkin terdapat perbezaan pendapat dalam hal berkaitan pengambilan ubat-ubatan serta status batal puasa atau tidak dalam penerangan yang diberikan. Cara pengambilan ubat juga perlu dibincangkan dengan
doktor yang merawat terlebih dahulu. Pesakit-pesakit dinasihatkan untuk tidak mengubahsuai pengambilan ubat tanpa mendapat nasihat doktor.

Oleh: Penulis:
Dr Norashikin Amran
Pakar Perubatan Dalaman
Pensyarah Perubatan
Jabatan Perubatan, Patologi dan Perubatan Oral Maksilofasial
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia &

Dr Asfizahrasby Mohd Rasoul
Pakar Patologi dan Perubatan Mulut
Pensyarah Pergigian
Jabatan Perubatan, Patologi dan Perubatan Oral Maksilofasial
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia

Puasa Nak Dekat Tapi Selalu Sakit Kepala, Apa Nak Buat?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker