GPS akur titah Agong sertai kerajaan perpaduan

GPS akur titah Agong sertai kerajaan perpaduan

Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak meletakkan sebarang syarat untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, GPS menerimanya kerana patuh kepada titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar bersama membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil.

“Ya, kami akur (dengan nasihat Agong). Maksudnya kami (GPS) menyertai kerajaan perpaduan.

“Kita taat kepada raja berpelembagaan dan dalam Rukun Negara jelas menuntut kita supaya taat kepada raja, walaupun kita di Sarawak tidak ada raja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan GPS menghadap baginda dan empat Ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Fadillah Yusof dan disertai Datuk Seri Richard Riot Jaem, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Aaron Ago Dagang terbang ke ibu negara bagi menghadap baginda pada 11.30 pagi.

Pada pertemuan itu, baginda menasihatkan GPS untuk membentuk kerajaan perpaduan demi menyelesaikan kemelut politik negara.

Mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk wakil Sabah dan Sarawak seperti yang pernah dijanjikan Anwar sebelum ini, Abang Johari berkata, GPS akan melihat perkara itu.

“Ya, kita akan lihat…. GPS memiliki 23 Ahli Parlimen sekali gus blok terbesar di Borneo.

“Apa yang berlaku sekarang ialah Perdana Menteri baru sahaja angkat sumpah dan biasanya beliau juga akan mengambil nasihat (Yang di-Pertuan Agong),” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar.

Mengenai permohonan maaf terbuka pemimpin kanan DAP untuk apa-apa kenyataan mereka yang menyinggung perasaan kerajaan serta rakyat Sarawak, Abang Johari berkata, GPS menerimanya dengan hati terbuka dan jiwa besar.

“Ini bermakna mereka sudah menyedari kesilapan dan Anthony (Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke) ada menyebut bahawa kita harus membuka lembaran baharu tetapi pada masa yang sama mereka harus menghormati Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai komponen GPS.

“Permohonan maaf DAP itu juga menunjukkan bahawa GPS berada di landasan betul dan bersih,” katanya.

Loke mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari serta pimpinan tertinggi GPS di kediamannya di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, pagi tadi bagi menyampaikan permohonan maaf DAP itu.

Ia disusuli dengan permohonan maaf secara terbuka oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menerusi hantaran di akaun Facebooknya. HM

GPS akur titah Agong sertai kerajaan perpaduan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dari mana Muhyiddin ada ‘puluhan juta’, warganet tanya Annuar

Pemain Arab Saudi terima hadiah Rolls Royces Phantom

Kami tak jual prinsip parti – Azalina

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker