Mengapa PRU Mengejut Pilihan Terakhir?

oleh Ab Jalil Backer

1. Dalam sistem demokrasi negara kita, Pilihan Raya Umum (PRU) hanya wajib diadakan lima tahun sekali. Selain itu tugas mentadbir negara adalah hak ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya.

2. PRU-14 membuktikan emosi menjadi pilihan rakyat dalam membuat keputusan, bukannya fakta dan realiti keadaan semasa negara. Ini tidak bermakna saya mengatakan suara rakyat tidak penting atau tidak harus diambil kira.

3. Walau sekuat mana laungan kuasa rakyat, demokrasi turut mengimbangkan kuasa rakyat dengan kuasa-kuasa lain seperti kuasa eksekutif, perundangan, kehakiman dan YDP Agong. Tujuanya ialah supaya negara ini diurus dengan kebijaksanaan bukan emosi.

4. Pada hemat saya, ada dua sebab utama mengapa DYMM YDP Agong akan mengelak dari mengadakan PRU mengejut atau ‘snap election’.

Pertama, undang-undang hanya membenarkan satu pilihan raya baru tanpa permohonan bubar Parlimen oleh eksekutif apabila Baginda mendapati Perdana Menteri sedia ada telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Semalam Dr Mahathir telah membuktikan beliau masih mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Dr Mahathir menunjukkan bukti sokongan 131 ahli Dewan Rakyat jauh melebihi 122 yang diperlukan beliau.

Kedua, mengadakan satu lagi PRU tidak ada kepastian akan menyelesaikan masalah politik negara. Ini kerana sekian banyak parti politik yang bertanding boleh sahaja mewujudkan ‘hung government’, di mana tiada parti mempunyai suara majoriti.

Di banyak negara yang mengamalkan sistem westminster keadaan ‘hung government’ ini sering berlaku selepas PRU. Malah PRU-14 yang lalu hampir menyaksikan perkara yang sama sehingga YDP Agong mengambil masa memutuskan siapa Perdana Menteri.

Jika ini berlaku ia akan membawa kepada pergelutan politik yang sama seperti sekarang, malah mungkin lebih teruk kerana ketika itu tiada kuasa eksekutif untuk menstabilkannya.

5. Justeru walaupun ada suara-suara mahu mengadakan PRU semula, ia tiada jaminan satu keputusan yang konklusif dapat dicapai.
DYMM YDP Agong perlu membuat keputusan demi kepentingan negara bukan sentimen sebahagian rakyat semata-mata.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker