MRA hantar bantuan kemanusiaan ke Pakistan

MRA hantar bantuan kemanusiaan ke Pakistan

Malaysian Relief Agency (MRA) telah menggerakkan bantuan kemanusiaan ke Pakistan susulan bencana banjir terburuk yang dihadapi negara tersebut.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, pihaknya menyalurkan bantuan program perubatan di samping agihan keperluan lain kepada penduduk di sana.

“Selain itu, tujuan bantuan kemanusiaan MRA ke Pakistan adalah bagi melawat serta memantau beberapa projek MRA yang telah dilaksanakan di beberapa daerah di Pakistan sejak 10 tahun lalu seperti projek WASH, pendidikan dan pembangunan komuniti terutama di daerah Peshawar dan Charsadda, Khyber Pakhtunkhwa.

Pasukan MRA terdiri daripada dua orang doktor perubatan, dua orang jururawat serta dua sukarelawan umum bagi menjalankan misi-misi kemanusiaan di sana.

“Fokus utama bantuan yang bakal digerakkan adalah bantuan perubatan di lapan kem penempatan sementara di daerah Khairpur, Larkana dan Mehar, wilayah Sindh yang diketuai oleh Dr Zafri Ismadi Mohd Anis, Pengarah Perubatan MRA serta beberapa agihan bantuan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, MRA turut menyalurkan bantuan sekitar RM150,000 dan beberapa bantuan asas lain seperti 800 bakul makanan asas, 20 unit khemah penempatan sementara, 24 unit penapis air serta 200 helai pakaian, termasuk kerja-kerja membaik pulih 10 telaga dan sistem pengairan yang terjejas untuk kegunaan penduduk di sana.

Menurutnya, MRA juga mempunyai jaringan dan komuniti pantas bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada rakan strategi lapangan MRA di Pakistan seperti Al-Khidmat Foundation dan beberapa pertubuhan lain yang turut menghulurkan sumbangan dana seperti Yayasan Yara.

“Semoga usaha MRA ini dapat membuka lebih banyak mata serta kesedaran kemanusiaan yang sewajarnya kepada mereka yang memerlukan.

“Justeru, kami mengalu-alukan sumbangan untuk Tabung Bantuan Banjir Pakistan bagi membantu rakyat yang masih terjejas akibat bajir buruk tersebut.

“Sumbangan rakyat Malaysia boleh dibuat menerusi akaun Maybank Malaysian Relief Agency Berhad (564098208020) atau layari laman rasmi Malaysian Relief Agency www.mra.my dan facebook untuk maklumat lebih lanjut,” ujarnya. Sinar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cara Hilangkan Dakwat Mengundi

Punca kekalahan Nurul Izzah

Langkah GRS seperti isytihar perang terhadap BN Sabah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker