Tampal tulisan Cina: Amanah tuntut Pemuda DAP mohon maaf

Pemimpin Amanah menutut Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Sarawak memohon maaf berhubung tindakannya menampal tulisan Cina pada tiga papan tanda jalan di Kuching.

Anggota Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil menyifatkan perbuatan itu tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain melanggar perlembagaan persekutuan.

“Tindakan seperti ini boleh mengundang salah faham di kalangan masyarakat lain di dalam negara ini terutama orang Melayu yang boleh diapi-apikan oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan sentimen perkauman.

“Sebagai bahasa rasmi negara, Bahasa Melayu adalah tunjang kepada perpaduan masyarakat majmuk negara ini dan seharusnya Dapsy lebih peka akan keperluan ini dalam membina sebuah negara bangsa yang makmur dan berdaya saing.

“Sebagai golongan muda, mempromosi dan membina perpaduan di kalangan rakyat negara ini kini menjadi keutamaan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan ahli Dapsy Sarawak menampal pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya itu atas alasan ia perlu diterjemahkan untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan yang diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan itu turut ditularkan di media sosial dan mengundang kritikan sebahagian besar netizen.

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata perbuatan Dapsy melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Menurut Dr Abdul Rahman, tindakan itu dianggap vandalisme dan melanggar peraturan DBKU kerana ia tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Dalam pada itu Faiz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir berkata, alasan Dapsy kononnya bagi memudahkan pelancong asing terutama dari negara China adalah alasan remeh.

“Sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perbuatan Dapsy ini adalah tindakan yang tidak berperlembagaan dan melanggar Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan juga satu perbuatan vandalisme.

“Oleh itu, satu tindakan pencegahan (deterrent) perlu diambil. Selain itu, Dapsy perlu meminta maaf di atas keterlanjuran perbuatan ini.

“Tulisan bahasa Cina sebagai bahasa ibunda kaum Cina hendaklah digunakan pada premis yang sesuai dan mengikut keperluan dalam menghormati hak setiap kaum negara ini,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker