Piala Dunia: Argentina tumbang berdepan Arab Saudi

Arab Saudi melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menewaskan Argentina pada aksi Kumpulan C Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail hari ini.

LUSAIL – Kejutan terbesar dilakar Arab Saudi pada saingan Piala Dunia 2022 apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan pilihan, Argentina dalam aksi Kumpulan C di Stadium Lusail sebentar tadi.

Meskipun La Albiceleste dilihat lebih banyak menguasai permainan, namun Saudi langsung tidak mengalah apabila berani melakukan asakan selain bijak menggunakan perangkap ofsaid sehingga menganggu rentak permainan Argentina.

Hasil perangkap ofsaid yang direncana skuad kendalian Herve Renard itu, tiga gol yang dijaringkan Argentina pada separuh masa pertama tidak dikira selepas pemain berada dalam kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, juara Piala Dunia dua kali itu terlebih dahulu mendahului perlawanan pada minit kesembilan menerusi Lionel Messi yang tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas Leandro Paredes dikasari Ali Albulayhi.

Walaupun ketinggalan, namun Saudi tetap tenang dan dapat mengimbangi permainan Argentina selain perangkap ofsaid dilakukan benar-benar membantu mereka mempertahankan pintu gol daripada dibolosi sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik perlawanan bersambung di separuh masa kedua, Saudi hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan apabila Saleh Alshehri berjaya menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez selepas dia melepasi kawalan Cristian Romero.

Lima minit berselang, pintu gol Argentina bocor lagi selepas percubaan pemain tengah Saudi, Salem Aldawsari gagal ditepis Martinez, sekali gus menyaksikan wakil Asia itu mendahului perlawanan 2-1.

Tersentak dengan dua gol yang dijaringkan, anak-anak buah Lionel Scaloni mula meningkatkan tempo permainan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-63, namun percubaan Lisandro Martinez diselamatkan penjaga gol Saudi, Mohammed Alowais.

Memasuki 20 minit terakhir, Argentina semakin terdesak untuk memburu jaringan dan mula melancarkan serangan demi serangan, namun Saudi berjaya mengekang asakan tersebut dan mempertahankan kedudukan 2-1 hingga tamat permainan.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cara Hilangkan Dakwat Mengundi

Punca kekalahan Nurul Izzah

Langkah GRS seperti isytihar perang terhadap BN Sabah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker