PRU-15: Natijah ‘tukar parti’ dan gerak solo

MANA-mana ahli UMNO yang menjadi calon, pencadang dan penyokong parti lawan dalam persaingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) digugurkan keahlian secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan parti itu.

Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Sabtu menyatakan, berdasarkan Fasal 20.11, UMNO akan memecat serta merta mana-mana ahli yang didapati menyokong calon lawan sepanjang tempoh kempen PRU15.

Berdasarkan kenyataan tersebut, hampir pasti ia turut terpakai terhadap tiga nama besar UMNO yang nekad bertanding sebagai calon parti lain dan juga calon Bebas setelah nama masing-masing digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk PRU15.



Terdahulu, penamaan calon mengesahkan penyandang kerusi Parlimen Arau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) sekali gus berdepan saingan BN, Datuk Rozabil Abd Rahman dan calon Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib turut bertanding untuk mempertahankan kerusi berkenaan, atas tiket PN selepas namanya tidak dicalonkan BN.

Beliau akan menentang calon BN iaitu Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Calon PH iaitu Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Maran, Ahmad Shuhor Awang dan seorang calon Bebas, Mohd Hafiz Ishak.

Zahidi bertanding kerusi Parlimen Padang Besar dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi sebagai calon Bebas.
Zahidi bertanding kerusi Parlimen Padang Besar dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi sebagai calon Bebas.

 



Manakala Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang sebelum ini merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, bergerak solo selaku calon Bebas bagi menentang calon BN iaitu Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar.

Zahidi turut dicabar calon PN, Rushdan Rusmi; calon PH, Mohamad Yahaya dan calon Parti Warisan Sabah, Ko Chu Liang.

Beliau juga bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi sebagai calon Bebas.

Tiga lagi nama besar UMNO yang turut tidak tercalon mewakili BN bagi mendepani PRU15, iaitu penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang) dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).



Ketiga-tiga mereka kekal bersama parti dan menyokong pencalonan muka baharu.

Annuar digantikan dengan Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin; Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof untuk Parlimen Tanjong Karang dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Khairul Azwan Harun mewakili Parlimen Pasir Salak.

Menyambut baik kenyataan Ahmad Maslan, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa menegaskan, tiada sebarang alasan dapat ‘menghalalkan’ kesalahan besar mengkhianati parti.

Tegasnya, tindakan pemimpin UMNO berkenaan bertanding atas tiket parti lain dan juga calon Bebas semata-mata untuk meraih peluang bertanding dalam PRU15 adalah jelas bercanggah dengan kepentingan parti.



“Tidak kira apa alasan sekali pun untuk bertanding PRU15, ia merupakan satu penderhakaan terhadap parti dan seharusnya dikenakan tindakan.

“Mereka jelas telah melanggar peraturan parti, masuk ke parti lain dan kemudian bertanding pula untuk PRU15, ini semua satu kesalahan besar terhadap parti,” ujar beliau.

Ulasnya lagi, seharusnya pemimpin-pemimpin ‘otai’ UMNO yang digugurkan daripada persaingan PRU15 perlu bersikap lebih terbuka dan berlapang dada.

“Dahulukan kepentingan parti berbanding kepentingan diri sendiri dan belajar menerima hakikat, mungkin sudah tiba masa calon lain untuk bertanding dalam PRU15. Sebagai pemimpin yang baik, sepatutnya membantu parti,” katanya.



Namun bagi penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain, tindakan Shahidan dan Ismail itu nyata tidak menghormati keputusan parti dan sewajarnya digugurkan berdasarkan Perlembagaan UMNO.

Ulasnya lagi, di sebalik isu pemecatan keahlian akibat ‘bertukar parti’, Undang-undang Lompat Parti juga tidak terpakai kerana masing-masing bukan lagi wakil rakyat.

Sebaliknya ia hanya terpakai kepada wakil rakyat ketika penggal Parlimen berjalan selama lima tahun.

“Ketika musim PRU, sesiapa pun boleh bertukar atau lompat ke parti lain namun apabila telah menang PRU dan menjadi wakil rakyat dan kemudian melompat parti maka secara automatik akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan berkemungkinan dibuang parti,” ujarnya.



Dalam kes melibatkan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dari parti Pas yang bertanding atas tiket BN Kelantan, Ahmad Atory berkata, ia tidak menjadi masalah jika ada kerelaan atau persefahaman longgar antara Pas dan UMNO di Kelantan.

“Tidak timbul isu gugur tak gugur keahlian parti asalnya. Yang penting kemenangan BN bermakna kemenangan ummah atau Melayu umumnya.

“Persefahaman ini dilaporkan akan diterapkan oleh Pas di kawasan berlakunya pertandingan antara PH dan UMNO dan ahli Pas di kawasan itu diseru mengundi UMNO walaupun kedua parti ini tidak bekerjasama secara rasmi,” katanya.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Myvi diterbalik kerana mengejek,langgar penghantar makanan (Video)

“Are You F*ck….” – Tular Video Calon MUDA Kepala Batas Mencarut Ketika Berucap (Video)

Anak belasah ibu kerana tak kemas rumah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker