Pindah kawasan: ‘Bunuh diri’ atau bantu parti tambah kerusi pada PRU15?

 

SHAH ALAM – Kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) kini semakin dirasai apabila gabungan parti politik sama ada BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahu pun Gerakan Tanah Air (GTA) berlumba-lumpa mengumumkan nama calon yang bakal bertanding merebut kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

Malah, tidak kurang juga ada pengerusi atau presiden parti yang mengumumkan bahawa mereka enggan mempertahankan kerusi Parlimen disandang sekarang, sebaliknya akan berpindah ke kawasan baharu pada PRU15 ini.

Tidak terkecuali Pengerusi PH merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sudah mengesahkan beliau meninggalkan, Parlimen Port Dickson dan berpindah ke Parlimen Tambun, Perak.

Berikutan itu, Anwar dijangka menghadapi saingan sengit tiga penjuru daripada penyandang kerusi berkenaan iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Bahagian UMNO Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, yang dikatakan bakal mewakili BN, pada PRU15 nanti.

Tindakan Anwar dan beberapa penyandang kerusi berhijrah dari kerusi dimenangi pada PRU14 ke Parlimen lain, sempena PRU15 menimbulkan 1,001 persoalan dan polemik termasuk kemungkinan mereka berbuat demikian kerana takut kalah di tempat lama atau strategik untuk menambah kerusi dimenangi.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan seseorang pemimpin berpindah ke kerusi Parlimen seperti dilakukan Anwar, berhijrah dari Port Dickson ke Tambun pada PRU15, adalah satu amalan biasa dan menjadi strategi sesebuah parti untuk menang pilihan raya.

Malah, Mohd Azizuddin menegaskan, tindakan seseorang ahli Parlimen berpindah ke kawasan lain yang berpotensi mereka boleh menang, memang menjadi amalan biasa dalam parti seperti Pas, DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) dari dulu lagi.

“Sebagai contoh Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Mat Sabu) adalah orang Kedah dan pernah bertanding di Pulau Pinang tetapi kalah. Kemudian bertanding atas tiket PH dan menang di Parlimen Kota Raja, Selangor, pada PRU14.

“Begitu juga dengan Anwar pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, kemudian berhijrah ke Port Dickson dan sekarang akan bertanding di Parlimen Tambun.

“Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pula walaupun berasal dari Batu Pahat, Johor, namun beliau pernah menjadi wakil rakyat di negeri lain termasuk di Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Perak sebelum menang kerusi Gelang Patah (2013-2018) dan Iskandar Puteri hingga sekarang,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, sebelum ini, Kit Siang pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Melaka (1969–1974); Kota Melaka (1974–1978); Petaling Jaya, Selangor (1978–1982); Kota Melaka (1982–1986); Tanjong, Pulau Pinang (1986–1999); Ipoh Timur, Perak (2004–2013); Gelang Patah, Johor (sejak 2013).

Mat Sabu pula pernah bertanding di kerusi di DUN Penanti (1982) dan Parlimen Permatang Pauh (1986) atas tiket Pas tetapi kalah sebelum mencatat kemenangan selepas berpindah ke kerusi Parlimen Nilam Puri (1990), Kubang Kerian (1995) dan Kuala Kedah (1999).

Pada PRU 2008, Mat Sabu kemudian bertanding di Parlimen Kuala Terengganu, tetapi kalah. Beliau kemudiannya menubuhkan Amanah dan menang kerusi Parlimen Kota Raja atas tiket PH, pada PRU14 lalu.

Antara pemimpin parti politik lain yang pernah berpindah kawasan Parlimen atau DUN ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dari Pahang ke Parlimen Kubang Kerian, pada PRU14; Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub (dari Parlimen Kubang Kerian (2004-2008) ke Pulai (2013 hingga sekarang).

Anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, pula pernah menang kerusi Parlimen Pasir Mas (pada 2013) sebelum berpindah ke Parlimen Bachok, pada PR14 lalu dan mungkin berpindah ke Pengkalan Chepa, pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, Mohd Azizuddin berkata, fenomena berpindah kerusi Parlimen atau DUN jarang berlaku dalam BN dan UMNO kerana mereka bimbang akan disabotaj parti sendiri jika menjadi calon “parachute” di tempat lain.

“Tindakan Anwar berpindah ke Tambun bukan perkara baharu kerana khabar angin mengenainya sudah bertiup sejak PRU 2013 tetapi entah kenapa beliau tidak jadi berpindah ke sana ketika itu.

“Saya berpandangan Anwar mengambil keputusan berpindah ke Tambun kerana melihat peluangnya untuk menang di sana agak cerah jika berlaku pertembungan banyak penjuru.

“Tambahan pula, Tambun adalah kawasan bandar dan mempunyai kira-kira 30 pengundi bukan Melayu yang kebanyakannya menyokong PH. UMNO memang pernah kuat di situ semasa bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menjadi ahli Parlimen di kawasan terbabit, tetapi sekarang mereka tiada calon yang menyerlah.

“Ahmad Faizal pula menang kerusi Tambun pada PRU14 bukan kerana kekuatan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau dirinya sendiri sebalik bergantung kepada kekuatan PH, sekali gus menyebabkan Menteri Belia dan Sukan itu menang dengan majoriti lebih 5,000 undi, pada PRU14 lalu,” katanya.

Mohd Azizuddin juga berpandangan tujuan utama Anwar berpindah ke Parlimen Tambun bukan sekadar mahu menang kerusi berkenaan semata-mata tetapi misi lebih penting adalah membantu PH menarik undi Melayu dan menguasai semula DUN Perak pada PRU15 ini.

Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pula melihat tindakan ahli Parlimen berhijrah ke kawasan lain adalah satu strategi politik bagi meraih kemenangan baru walaupun ia berisiko tinggi.

“Kalau kita tidak pecahkan ruyong macam mana mahu dapatkan sagunya? Itulah dilakukan Anwar apabila beliau mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Port Dickson dan berpindah ke Tambun, Perak,” katanya.

Awang Azman menambah, Anwar berbuat demikian dengan harapan pemimpin PH lain termasuk dari PKR sendiri, Amanah dan DAP supaya mengikut jejak langkahnya meninggalkan kerusi selamat dan berpindah ke kerusi lain.

“Bagi Anwar, beliau perlu berbuat demikian bagi meningkatkan lonjakan jumlah kerusi dimenangi PH pada PRU15. Tiada guna jika seseorang pemimpin PH itu mendakwa mereka istimewa, berada di hati rakyat dan golongan muda tetapi tidak yakin untuk menyahut saranan Anwar untuk berpindah ke kerusi baharu.

“Justeru itu, saya melihat Anwar berbuat demikian demi kepentingan PH kerana jika beliau berniat berbuat demikian, baik dia kekal bertanding di Port Dickson sahaja,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, beliau percaya semua pemimpin politik sudah mengambil kira pelbagai aspek, untung-rugi, sebelum mereka membuat keputusan untuk berhijrah ke kerusi lain, pada PRU15 ini.

Chandra yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) berkata, tindakan ahli Parlimen berhijrah dan berpindah kerusi adalah amalan biasa dalam senario politik Malaysia.

“Saya percaya setiap wakil rakyat (termasuk Anwar ) sudah membuat perhitungan dan mendapati beliau berpotensi menang, sebelum membuat keputusan bertanding di tempat lain, pada PRU15 nanti,” katanya yang juga antara pemimpin yang mengasaskan penubuhan PKR selepas Anwar ke penjara, pada 1999.

INFO:

1. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

– Ahli Parlimen Permatang Pauh (1982-1999) atas tiket BN

– Ahli Parlimen Permatang Pauh atas tiket PKR, pada PRU12 dan PRU13

– Ahli Parlimen Port Dickson, sejak 2018.

– Calon PH di Tambun Perak, pada PRU15

2. Presiden Amanah, Mohamad Sabu

– Calon Pas bagi DUN Penanti (1982) dan Parlimen Permatang Pauh (1986)

– Ahli Parlimen Pas bagi Parlimen Nilam Puri (1990), Kubang Kerian (1995) dan Kuala Kedah (1999).

– Calon Pas di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU 2008.

– Ahli Parlimen Kota Raja atas tiket PH, pada PRU14.

3. Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

– Calon di kerusi DUN, Jengka Pahang (menang) 1999

– Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan, pada PRU14

4. Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub

– Ahli Parlimen Pas di Parlimen Kubang Kerian (2004-2008)

– Ahli Parlimen Pulai atas tiket Amanah, (2013 hingga sekarang).

5. Bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

– Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1999 – 2018

– Ahli Parlimen Pandan 2018 – sekarang.

6. Nurul Izzah Anwar

– Ahli Parlimen Lembah Pantai dari 2008 – 2018

– Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 2018 hingga sekarang.

7. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mungkin buat kemunculan semula dengan bertanding di Parlimen Kota Tinggi, pada PRU15 selepas tewas di kerusi Kota Tinggi, pada PRU14 lalu.

8. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dijangka berpindah dari Parlimen Pontian ke Tanjung Piai atau Simpang Renggam, pada PRU15.

9. Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, yang juga ADUN Benut dijangka bertanding di kerusi Parlimen Pontian bagi menggantikan Ahmad Maslan.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nelayan dakwa dihina dengan perkataan ‘Melayu bodoh, otak udang’

Kembar Najib dan Mahathir

Tayang gambar penyanyi K-Pop depan Kaabah (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker