Toyota Veloz dilancar, harga bermula RM95,000
Toyota Veloz dilancar, harga bermula RM95,000
UMW Toyota Motor melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover serba baharu, Toyota Veloz ke pasaran Malaysia yang ditawarkan pada harga bermula RM95,000 seunit dengan lebih 6,000 unit ditempah sejak tempahan dibuka Jun lalu.
Model pengganti Toyota Avanza itu ditawarkan dengan satu varian adalah model berstatus premium tujuh tempat duduk yang menawarkan keluasan dalaman kenderaan pelbagai guna (MPV) lebih besar untuk keselesaan keluarga.
Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran, berkata pelancaran Toyota Veloz amat dinanti-nantikan selepas populariti crossover premium melonjak menjadi antara model terlaris Toyota di rantau ini.
“Dengan kualiti yang terbaik, ciri canggih dan ruang dalaman luas, kami percaya model ini mampu memberikan pengalaman pemanduan terbaik, ditambah dengan penampilan premium bahagian dalam dan luar.
“Memandangkan Toyota Veloz serba baharu disediakan untuk tempahan pada Jun, kadar tempahan adalah positif dan kami komited dan berusaha keras untuk memastikan penyerahan kepada pelanggan dalam tempoh dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum Mac tahun depan.
“Setakat ini, UMW Toyota Motor sudah merekodkan lebih 6,000 tempahan untuk Toyota Veloz menandakan minat yang semakin meningkat dalam rupa SUV crossover,” katanya ketika melancarkan Toyota Veloz secara maya, hari ini.
Toyota Veloz yang juga model pemasangan tempatan (CKD) menawarkan pemanduan lebih selesa dengan platform pacuan roda hadapan (FWD) dan suspense baharu untuk pengendalian lebih baik di laluan berliku dengan berbilang penumpang.
Model serba baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L cekap (2NR-VE) dengan anjakan berurutan CVT 7-kelajuan yang menyediakan transmisi kuasa yang cekap untuk pecutan yang lancar dan berkuasa.
Prestasi pemanduan Toyota Veloz menjadikan setiap perjalanan satu perjalanan yang mudah dan menggembirakan sambil membawa kegembiraan dengan kecekapan bahan api yang sangat baik.
Meningkatkan lagi pengalaman adalah tiga mod pemanduan iaitu ECO, Normal dan Power yang boleh disesuaikan dengan kehendak pemandu.
Menjengah ke dalam kabin, Toyota Veloz hadir dengan pad pengecas tanpa wayar ‘Qi’, skrin sesentuh paparan audio sembilan inci baharu yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, sekali gus meningkatkan pengalaman pemanduan.
Dari aspek luaran pula, Toyota Veloz didatangkan dengan rim aloi 17 inci, lampu depan LED dengan ciri Follow Me Home dan lampu nyalaan siang.
Toyota Veloz serba baharu boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Silver Metallic dengan Black Roof, Blue Metallic dengan Black Roof, White, Metallic Blueish Black dan Red Metallic.
Model SUV crossover itu hadir dengan teknologi keselamatan Toyota Safety Sense termaju yang merangkumi antara lain Sistem Pra-Bertembung (PCS), Amaran Berlepas Lorong (LDW), Pencegahan Pelepasan Lorong dan Kawalan Pengekalan Lorong (LKC). BH
Toyota Veloz dilancar, harga bermula RM95,000
You must be logged in to post a comment.