Nizar diramal jadi calon di Pekan

PRU15

Nizar diramal jadi calon di Pekan

Najib Razak kesuntukan masa untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, kata seorang penganalisis.

Bekas perdana menteri itu telah menjadi Ahli Parlimen selama lima penggal sejak 1976 di kerusi yang disandang bapanya dari 1959. Bagaimanapun, dengan pilihan raya umum yang akan diadakan dalam masa beberapa minggu, Najib mungkin kesuntukan untuk layak bertanding.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan rasuah dalam kes SRC International. Beliau telah memfailkan semakan untuk membatalkan sabitannya dan juga telah memohon pengampunan diraja.

Beliau mungkin tidak akan memperolehi keputusan tepat pada masanya untuk layak menjadi calon dengan pengundian mungkin diadakan pada 4 Nov atau 6 Nov, kata penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara.

“Saya rasa masa Najib (sebagai) Ahli Parlimen berakhir dengan Parlimen ke-14,” kata Azmi.

Bagaimanapun, Azmi berkata, terdapat peluang “sangat tinggi” buat anak Najib, Nizar bertanding di kerusi Pekan. Nizar, ketua Pemuda Umno Pekan dilihat mampu meneruskan legasi Najib.

Parlimen Pekan telah dipegang oleh keluarga itu sejak 1959, pertama dengan bapa Najib yang juga perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, dan kemudian oleh Najib susulan kematian Razak, kecuali untuk satu penggal pada 1982-1986 ketika Najib menjadi menteri besar Pahang.

Seorang lagi penganalisis bersetuju, bahawa Nizar adalah calon utama untuk mengambil alih kerusi Najib di Pekan.

“Saya fikir mereka sedang berusaha untuk meletakkan Nizar bagi menggantikan bapanya sebagai calon untuk Pekan,” kata Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Pada Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Nizar berkemungkinan bertanding di kerusi Pekan. FMT

Nizar diramal jadi calon di Pekan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Yasmin Aziz Dakwa Bapa Kandung Seorang Pedofilia (Video)

Tak tahu arwah ada masalah jantung – Nabil

Lelaki panik tangan misteri muncul bawah pintu tandas awam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker