Melihat Rasulullah s.a.w. dalam mimpi dan jaga
Melihat Rasulullah s.a.w. dalam mimpi dan jaga
Di Singapura, kira-kira 30 tahun yang lepas, Hassan bin Jonid (almarhum) mendakwa setiap hari didatangi oleh Rasulullah s.a.w mengajarnya agama.
Peristiwa ini memutarkan 360 darjah gaya hidupnya, daripada seorang samseng kepada seorang yang taat kepada Allah.
Hasilnya, beliau mendakwa dapat menghasilkan 20 buah karya agama yang khusus. Pak Kasim, khalifah kanannya mengaku menyemak dan menuliskan semula buku tersebut sehingga menjadi 40 buah buku, yang akhirnya menjadi pegangan kumpulan tersebut. Ajaran kumpulan ini tersebar di Selangor dan Melaka dan dikenali dengan Ilmu Kaji Hassan bin Jonid.
Ajarannya telahpun difatwakan sebagai ajaran sesat. Begitu juga dakwaan jemaah al-Arqam kononnya ustaz Ashaari Muhammad bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mengadakan dialog dengan Rasulullah s.a.w.
Seorang jiran penulis memberi tahu bahawa anak perempuannya yang berumur 7 tahun, kononnya selalu nampak Rasulullah s.a.w. Setelah penulis mandikan kanak-kanak tersebut dengan ais, maka anaknya itu tidak lagi nampak orang yang disangkanya Rasulullah s.a.w itu.
Di negara kita sahaja, jika dikumpulkan dakwaan dusta berkait dengan yaqadzah, jumlahnya mungkin beribu-ribu. Tentunya dakwaan sebegini berlipat kali ganda jumlahnya di seluruh dunia. Walau betapa banyaknya dakwaan bohong mengenai yaqadzah ini, namun semuanya tidak dapat merosakkan keutuhan akidah dan syariat Islam. Dakwaan bohong ini mudah dikenal pasti dan dipatahkan.
Pandangan para huffaz
Melihat Rasulullah s.a.w dalam mimpi dan jaga adalah didasarkan kepada sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,
“Sesiapa yang telah melihat aku dalam tidur, maka ia akan nampak aku dalam jaga, kerana syaitan tidak boleh menyerupai aku”.
Bersandarkan hadis di atas, maka para huffaz berpandangan, harus dan wajar berlakunya melihat Rasulullah s.a.w. dalam jaga. Ulama hadis tidak ada yang menolak keharusan dan kewajaran berlakunya yaqadzah.
Bagaimanapun, ada sedikit perselisihan tentang keadaan orang yang dilihat oleh seseorang. Adakah orang yang dilihat itu tubuh dan roh Rasulullah s.a.w. sebenar atau hanya satu bentuk misal bagi rupa asalnya.
Imam al-Allamah an-Nafrawi r.a. berkata di dalam bukunya al-Fawakih ad-Diwani, jilid 3, halaman 360,
“Menurut kesepakatan para huffaz, diharuskan (dibolehkan) seseorang berjumpa atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqadzah (jaga) mahupun secara mimpi. Mereka cuma berselisih tentang adakah orang yang dilihat sebagai Nabi s.a.w itu, dalam bentuk sebenar, secara hakiki (roh dan jasadnya) atau dalam bentuk gambar atau misal sahaja?”
Sesetengah ulama berpendapat yang dilihat ialah Rasulullah s.a.w. yang sebenar, roh dan jasadnya. Antara yang berpandangan demikian ialah imam as-Sayuti dengan katanya,
“Maka dapatlah disimpulkan bahawa Rasulullah s.a.w. (sesudah kewafatannya), hidup dengan jasadnya dan rohnya. Baginda terus memainkan peranan dan terus berjalan ke mana-mana Baginda suka di atas muka bumi dan juga di alam malakut.
Keadaan Baginda sama seperti sebelum kewafatannya, tidak berubah sedikitpun. Baginda ghaib daripada pandangan mata kepala, sebagaimana ghaibnya malaikat, walaupun malaikat itu hidup dengan jasad mereka. Maka apabila Allah angkatkan hijab pandangan mata seseorang yang dikurniakan karamah untuk melihat Baginda s.a.w. yang sebenar, harus berlaku dan wajar berlaku dan tidak ada apa-apa yang menghalang”.
Sesetengah ulama pula berpendapat yang dilihat bukanlah roh dan jasad Rasulullah s.a.w. yang sebenar, tetapi hanya gambaran atau misal bagi diri Rasulullah s.a.w. Antara yang berpendapat demikian ialah Imam al-Ghazali. Antara lain, beliau menegaskan dengan katanya,
“Golongan sufiyyah itu ada yang melihat malaikat dan roh-roh para nabi dan mendengar suara mereka dalam jaga (yaqadzah). Mereka juga dapat mengambil banyak manfaat daripada malaikat dan roh nabi-nabi yang dilihatnya. Kemudian hal keadaan hati mereka terus meningkat menjadi bertambah bersih dan baik, sehingga dapat melihat gambar dan misal malaikat dan nabi-nabi, yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.”
Sebenarnya, kedua-dua keadaan tersebut boleh berlaku. Adakalanya seseorang dalam keadaan jaga melihat tubuh dan roh Rasulullah yang sebenar. Adakalanya pula seseorang hanya melihat gambaran rupa atau misal rupa Rasulullah s.a.w. sahaja.
Yang pertama tentu lebih sukar berlaku berbanding dengan cara yang kedua. Di dalam bacaan tahiyyat, disebutkan,
“Selamat, rahmat dan keberkatan Allah tercurah ke atas engkau, wahai nabi”.
Ketika membaca doa ini, disunatkan membayangkan kehadiran Rasulullah s.a.w. di depannya (kehadiran gambaran rupa atau misal rupa Rasulullah s.a.w.). Bagi sesetengah orang, mereka dapat merasakan benar-benar kehadiran gambar rupa atau misal rupa Baginda s.a.w.
Kewajaran berlaku Yaqadzah
Kewajaran seseorang mukmin dikurniakan oleh Allah melihat Rasulullah s.a.w. dalam keadaan jaga (sebagai satu karamah) boleh dilihat dari beberapa sudut. Pertama, banyak riwayat yang menyebutkan bahawa para nabi dan rasul hidup dalam kubur. Kerana itu mereka sentiasa mengerjakan ibadat seperti sembahyang di dalam kubur.
Kedua, para nabi dan para rasul seperti para syuhada’, malahan jauh lebih baik daripada syuhada’. Para syuhada ditegaskan oleh Allah,
“Mereka hidup disisi Tuhan mereka dan sentiasa diberi rezeki.” (al-Imran: 169).
Ketiga, keadaan hidup para nabi dan rasul sesudah kewafatannya, tidak dapat dilihat seperti juga para malaikat yang tidak dapat dilihat. Bagaimanapun bila seseorang mukmin dikurniakan oleh Allah melihat malaikat dengan mata kepala, tentunya wajar berlaku. Demikianlah seorang mukmin bila dikurniakan oleh Allah boleh melihat Rasulullah s.a.w. dengan kedua mata kepalanya, adalah wajar berlaku.
Oleh yang demikian, tidak hairan jika Ibn Abi Jamrah (w 699H) ketika memberi ulasan mengenai hadis tersebut dalam kitabnya Bahjah al-Nufus menegaskan,
“Sesungguhnya para ulama salaf dan khalaf, juga ulama lainnya menyebutkan bahawa memang wujud satu jemaah orang-orang soleh yang pernah melihat Rasulullah s.a.w dalam keadaan jaga.”
Oleh: Dr. Hj. Jahid Hj. Sidek, Panel Pakar Tasawwuf JAKIM dan Yang Di Pertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia
Melihat Rasulullah s.a.w. dalam mimpi dan jaga
Baca Artikel Menarik:
- Kata kerajaan pintu belakang, tapi tak mahu PRU
- Mahathir akan pertahan Parlimen Langkawi
- IMF, Bank Dunia ulangi amaran kemelesetan global tahun depan
- Wanita Indonesia mati tertembak lebih 100 peluru di Texas
- Gelombang keyakinan terhadap UMNO-BN kian ketara – Razlan Rafii
- Pembiayaan ASB/-i, Maybank bantu Bumiputera melabur
- PRU15: PAS, Umno dijangka bertembung di 27 kerusi
- Muhyiddin ‘poster boy’ PN untuk PRU15
- Nizar diramal jadi calon di Pekan
- Ini semua salah lanun bola – TMJ
- Campur tangan lantikan hakim, wajarkah Mahathir disiasat?
- Pakat keluar parti, Bersatu tiada masa depan
- Lelaki maut ikut GPS pandu kereta lintas jambatan rosak
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Isteri mengamuk tampar suami leka menyanyi bersama wanita lain [VIDEO]
Model jelita disuntik racun, mayat disimen dan dibuang di gurun