2 kadar berbeza GST untuk barangan, perkhidmatan

2 kadar berbeza GST untuk barangan, perkhidmatan

Kerajaan perlu menetapkan dua kadar berbeza sekiranya cukai barang dan perkhidmatan (GST) ingin dilaksana semula bermula 2024, bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam, berkata untuk cukai berasaskan barang kadar lima peratus boleh ditetapkan dengan syarat asas percukaian itu diperluas,



manakala tujuh hingga lapan peratus ditetapkan untuk cukai berkaitan perkhidmatan.

“Untuk cukai perkhidmatan contohnya perkhidmatan profesional dan tulen boleh ditetapkan kadar lebih tinggi antara tujuh atau lapan peratus, sebab ia tidak memberi kesan sangat kepada golongan miskin atau B40.

“Bagaimanapun untuk cukai barang boleh tetapkan lima peratus, dengan syarat kita lebarkan asas percukaian. Memang akan ada isu sedikit jika GST pada dua kadar, tetapi sekarang ini sistem (dilaksanakan secara) digital dan komputer jadi ia boleh dilaksana,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh negara seperti India yang menetapkan kadar GST berbeza iaitu antara lima hingga 28 peratus.



“Kita pun boleh buat. Jika kadar ini digunakan, ia secara langsung akan memberi pendapatan lebih banyak kepada kerajaan, pada masa sama tidak akan memberi beban kepada B40,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga harus mengurangkan barangan dengan pengecualian cukai atau sifar cukai, dengan mengehadkan kepada barangan asas sahaja.

“Ketika GST mula dilaksana pada 2015, kita sudah melakukan yang terbaik, cuma isu ketika itu terlalu banyak barang dikecualikan cukai atau kadar sifar.

“Bila kadar sifar, ia akan berada dalam keadaan tuntutan bayaran balik…tak bayar cukai pun, semua asyik tuntut apa yang dia bayar daripada kerajaan.



“Perkara itu jadi pengajaran. Bermakna kerajaan perlu kurangkan barang dengan kadar sifar, hadkan untuk barangan asas seperti beras , gula, tepung, minyak, manakala yang lain-lain biar pada kadar lima peratus,” katanya.

Subromaniam berkata, bagi mengurangkan kesan GST kepada rakyat bawahan, kerajaan juga disaran menaikkan sedikit nilai pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Beliau juga mengakui, jika negara mempunyai satu sistem percukaian yang mantap dan komprehensif, ia akan memberi keyakinan kepada pelabur asing dan secara langsung meningkatkan ekonomi negara.

“Pelaksanaan GST tidak harus dilihat dari segi peningkatan pendapatan negara sahaja, tetapi juga akan membawa dana pelaburan asing yang akan membantu meningkatkan daya saing negara,” katanya.



Sistem percukaian lengkap ‘hambat’ ekonomi gelap

Sementara itu Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim, berkata GST adalah sistem percukaian yang cekap yang boleh menghambat ekonomi ‘gelap’, dan perlu ditetapkan pada kadar lebih rendah berbanding enam peratus sebelum ini.

Namun, beliau berkata, mekanisme pelaksanaan di negara ini perlu dipertingkatkan kecekapannya terutama dari segi pembayaran balik yang perlu dilakukan dalam tempoh tujuh hari.

“Bukan sampai berbulan-bulan seperti sekarang yang boleh menyebabkan aliran tunai peniaga atau usahawan terkesan.



“GST juga sepatutnya disokong dengan tidak ada ketirisan dalam perbelanjaan negara, baik dari segi kakitangan kerajaan mahu pun pemerintah sendiri.

“Yang penting kutipan dan perbelanjaan kutipan itu perlu dicekapkan, sebab kalau ketirisan berlaku, berapa banyak cukai dikutip pun tidak akan cukup, jadi tidak perlu perbelanjaan yang tidak membawa manfaat kepada ekonomi,” katanya.

Akhbar ini hari ini melaporkan, kerajaan dijangka memperkenalkan semula GST pada 2024 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan mungkin mengekalkan Cukai Makmur tahun depan. BH

2 kadar berbeza GST untuk barangan, perkhidmatan




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Calon PRU15: Hamid Bador, Musa Hassan, dan bekas Peguam negara antara yang disebut

Dijadikan Pelacur, Dipaksa Makan Lauk Daging Babi

Rajin jemput anak pulang sekolah kerana nak tengok cikgu kacak [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker