UMNO perlu lupakan sejarah berbelit Pas

Pada 5 September lalu, Tan Sri Annuar Musa memuji Pas kerana telah mengambil langkah strategik apabila mengisytiharkan dasar meneruskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam muktamarnya.

Kata Annuar, pendirian Pas harus dilihat secara positif dan terbuka kerana strategi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu digarap rapi dan bukan atas dasar emosi atau kepentingan diri.

Tambah Annuar, UMNO perlu menang dan terus memimpin, dan peranan ini akan hilang jika parti itu cuba menyendiri dan tidak mengutamakan peranan asas penubuhannya, iaitu sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.



Sebab itu, ujar Annuar, UMNO perlu memimpin perpaduan dan penyatuan di mana parti tersebut tidak harus terjun ke PRU tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apa lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah.

Seruan Annuar itu tepat lagi jitu bagi kepentingan diri dan parti untuk kemenangan kedua-duanya. Pemain-pemain politik mahukan kemenangan. Bagi saya, politik adalah permainan mendapat dan mengekalkan kuasa. Ia bersandarkan seni serba kemungkinan.

Sekiranya UMNO dan Pas bersama menghadapi PRU15, perkiraan politik mudah, mereka akan menguasai sepenuhnya kawasan majoriti Melayu. Dengan mudah UMNO dan Pas menguasai pusat dan beberapa negeri. PKR, Gerakan Tanah Air (GTA), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mampu menggugat kedua-dua parti tersebut.

Benarkah UMNO seluruhnya tidak mahu bersama Pas? Ramai yang tahu, itu adalah hasil orkestra geng Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, terutama semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan majlis seumpamanya. Semua pembahas dikawal lagi diatur. Yang kuat menyambut seruan itu adalah calon serta kepimpinan yang tewas. Ramai dan umum tahu.



Ramai dalam kalangan UMNO yang sedang menunggu pertukaran kepimpinan, termasuk kepimpinan BN. Umum tahu mengapa geng Ahmad Zahid tidak mahu ada pertandingan dalam UMNO. Bukan kerana perpaduan parti, sebabnya terang lagi bersuluh. Jika kepimpinan bertukar, bukan sahaja Ahmad Zahid hilang jawatan, sebaliknya Muafakat Nasional (MN) kembali diaktifkan. Mungkin Bersatu turut bersama.

Soal perjuangan, UMNO-Pas jujur sepenuhnya, itu tafsiran. Ramai berkata, UMNO dahulu, kini, tidak banyak berubah. Pas? Semua sedia maklum, produknya tidak banyak berubah. Hanya Pas kini meninggalkan nasionalisme sebelum dan semasa Tan Sri Mohd. Asri Muda.

Perjuangan jujur? Adakah GTA penuh kejujuran untuk rakyat? GTA pun cuba menjual produknya. Juallah. Tidak perlu memburukkan produk orang lain. Memang UMNO menjual produk raja dan Melayu. Pas menjual produk Islam. Jujur tidak jujur, itulah perjuangan mereka. Mereka menang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Dapat membentuk kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Yang jelas, produk jualan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Johor tidak laku. Semua tahu Pejuang meletakkan 42 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Semua tahu, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut berkempen. Akhirnya, semua 42 calon Pejuang hilang deposit. Tengoklah Pejuang, GTA semasa PRU15 nanti, masing-masing akan menjaja produk.



Bila UMNO dan Pas bersama, kerusi Melayu mudah dikuasai mereka. UMNO bersama Pas, pasti menang. UMNO solo, mungkin menang. Si bebal memilih solo.

SENJATA

Dalam politik, bukan nilai perjuangan menjadi ukuran semata-mata. Ukuran yang dicari adalah untuk menang. Apa sahaja senjata perlu digunakan. Ideologi terpaksa dikesampingkan demi menggarap kemenangan.

Soal membelakangkan ideologi dalam mengejar kemenangan sudah tercatat dalam sejarah politik moden. Sama ada menyingkap sejarah politik dunia atau menyusur sungai sejarah politik tanah air, semuanya tercatat di depan mata. Terpulang kepada kita untuk mengambil iktibar daripadanya.



Guru terbaik dalam pemahaman kesan akibat tindakan politik, bacalah catatan sejarah. Sejarah gurunya.

Ideologi komunis/sosialis bertentangan dengan liberal/kapitalis. Tapi untuk meraih kemenangan dalam menghadapi fasis semasa Perang Dunia Kedua, dua gergasi ideologi bertentangan itu bersatu. Russia, Amerika dan Inggeris bersatu dalam menghadapi Jerman, Itali dan Jepun. Kerana membelakangkan ideologi itu, mereka menang.

Di Tiongkok, Parti Komunis China (PKC) bersama Parti Kuomintang China (KMT) menghadapi Jepun. Mereka berbeza ideologi tetapi boleh bersama dan menang.

Dalam negara, Force 136 (Inggeris) bersatu dengan Parti Komunis Malaya (PKM) menghadapi Jepun. Tujuannya apa? Untuk kemenangan, dan mereka menang. Perbezaan ideologi dikesampingkan untuk mencapai kemenangan.



Maka itu, soal DNA (asid deoksiribonukleik) UMNO dan Pas berbeza bukanlah perhitungan utama dalam menghadapi PRU15, misalnya.

Pertentangan ideologi komunis/sosialis dengan kapitalis sangat jelas lagi nyata. Sedangkan pertentangan antara UMNO dan Pas bukanlah seburuk pertentangan komunis-kapitalis.
UMNO dan Pas sesama menerima raja serta kepentingan Melayu dan Islam. Malah kedua-dua kepimpinan dan pendukung parti tersebut menerima ketiga-tiganya sebagai sebahagian daripada pegangan dan perjuangan mereka. Itu bermakna mereka mempunyai persamaan dalam pegangan.

Yang membezakan hanyalah metodologi atau kaedah dalam memenangi hati rakyat. Masing-maisng mengambil dan menjual produk daripada ketiga-tiga yang berada di dada dan fikiran orang Melayu. Ya, produk raja, Melayu dan Islam.

Pas bermain banyak kolam? Apakah itu ukuran terpenting dalam mengejar kemenangan bagi politik? Soal rakan seperjuangan mempunyai sejarah berbelit-belit, itu hanyalah sejarah rakan yang perlu diperhatikan. Hanya untuk disimpan dalam ingatan dan perhatian. Ia bukanlah asas terpenting untuk menjadi rakan seperjuangan dalam menempa kejayaan. Dalam mencari rakan seperjuangan, bukan latar belakang sejarahnya sahaja perlu diperhatikan, sebaliknya adalah kekuatannya.



Apakah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang sejarah baiknya perlu diambil menjadi rakan seperjuangan UMNO? Atau Pas dengan sejarah berbelit-belit tapi mempunyai kekuatan dan boleh memberi kemenangan kepada UMNO?

Pas bermain banyak kolam? Maka Pas parti berwajah hodoh? Mengapa dilihat dari sudut negatif? Sebenarnya, Pas adalah sebuah parti yang sangat pragmatis dalam menyusun dan mengatur langkahnya. Pas pandai membawa diri dan membaca masa serta waktu. Pas parti yang tahu mencari rakan seperjuangannya. Tujuannya ialah untuk mencapai kemenangan.

Maka itu, Pas adalah sebuah parti berpegang kepada teori politik, iaitu untuk mendapat dan mengekalkan kemenangan.

Kesimpulannya, UMNO perlu melupakan sejarah berbelit Pas tapi menghitungkan kekuatan yang ada pada Pas. Pas, parti Melayu kedua mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat

Melayu selepas UMNO. Rakan terbaik UMNO untuk menghadapi PRU15 adalah Pas. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati sosiopolitik bebas.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dah bagi Signal Pun Kena Tendang (Video)

Saya tak sekeji dakwaan Puteri Balqis

Ayda Jebat kahwin kerana harta Nabil?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker