PRN Melaka: Tempoh getir 48 jam

MELAKA: Parti politik yang ber­­tanding pada Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka mempunyai tempoh getir 48 jam sahaja untuk menawan hati pengundi atas pagar memilih mereka selepas tiada satu pun parti setakat ini menguasai sokongan lebih 15 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Sehingga semalam, Bari­san Nasional (BN) yakin me­ngekalkan sokongan terhadap 13 kerusi yang mereka menang semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), walaupun belum cukup membentuk majori­ti mudah yang diperlukan bagi menguasai Dewan Unda­ngan Negeri (DUN).

Hakikatnya Melaka sinonim dengan undi deposit BN, malah dalam PRU-13, BN menang besar dengan 22 kerusi, namun tumbang pada penggal seterusnya akibat angin perubahan pe­ngundi atas pagar yang dikatakan terpengaruh dengan propaganda dan fitnah parti lawan.



Sementara itu, kerusi Pakatan Harapan (PH) menjadi pertaruhan saat akhir apabila lima kawasan yang dikatakan putih, majoritinya dalam kubu kuat DAP walaupun pada awalnya diramal mengulangi PRU-14 ketika menang 15 kerusi, selebihnya status kerusi lain masih kelabu dan bersaing sengit.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat melarang kempen terbuka menjadikan pentas media sosial kini satu-satunya peluang melakukan kempen pecutan akhir yang sarat dengan serangan agresif terhadap lawan masing-masing menjelang hari pengundian Sabtu ini

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengundi atas pagar bakal menjadi penentu buat calon-calon Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi 28 kerusi yang ditandingi parti itu.

Beliau berkata, tempoh dua hari yang tinggal sebelum rakyat di negeri ini keluar mengundi harus digunakan oleh kesemua calon PN mendekati pengundi berkenaan.



Menurutnya, pengundi atas pagar menjadi penentu dan dapat memberi kemenangan buat PN, memandangkan saingan dua dan lima penjuru dihadapi oleh semua calon dalam PRN ini.

Beliau berkata, jika semua calon bekerja keras memenangi hati mereka, tidak ada masalah untuk pengundi atas pagar itu memberi sokongan kepada PN.

“Saya minta semua calon daripada PN harus memberi tum­puan kepada pengundi atas pagar kerana mereka ini boleh memberikan kemenangan buat kita.

“Setakat ini, saya melihat rakyat dapat menerima dengan baik ramai calon muda dan baharu yang PN tampilkan untuk PRN ini,” katanya di sini, semalam.



Sementara itu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, BN dilihat mampu menang dan membentuk kerajaan negeri bersandarkan jentera parti itu lebih tersusun, bersistematik dan berstruktur yang mampu menarik ramai pengundi untuk memilih calon yang bertanding.

Selain itu katanya, rakyat kini mula sedar atas kesilapan mereka yang terpengaruh de­ngan propaganda dan fitnah yang disebarkan oleh pembangkang hingga menyebabkan BN tumbang pada PRU-14.

Sementara itu Ahli Jawatan­kuasa DAP Melaka, Low Chee Leong berkata, pendekatan secara dalam talian semata-mata tidak cukup untuk meyakinkan pengundi atas pagar supaya menyokong PH.

Beliau yang juga calon PH di kerusi DUN Kota Laksamana menjelaskan, semua calon perlu memanfaatkan ruang masa terhad ini dengan bertemu masyarakat di kawasan-kawasan terbuka seperti pasar malam, kedai kopi dan sebagainya.



“Walaupun kempen fizikal tidak dibenarkan, kita perlu juga berusaha untuk berjumpa pengundi terutama atas pagar. Caranya adalah mengedarkan risalah di kawasan terbuka supaya tidak melanggar peraturan SPR,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali menjelaskan, mana-mana blok yang mempunyai perancangan untuk melancarkan ‘serangan peri­badi’ pada saat-saat akhir boleh diibaratkan seperti sekadar me­nempah maut.

Katanya, pendekatan agresif sedemikian tidak lagi relevan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), memandangkan sebarang pendedahan berunsurkan fitnah semata-mata boleh dijawab dalam tempoh masa singkat.

“Perbezaan dengan dahulu, sekarang ini akses maklumat cepat dan lebih luas. Kebanyakan pengundi ada informasi, ahli-ahli politik jangan terlalu menggunakan taktik murahan.



“Taktik yang pengundi sudah nampak, sudah boleh nilai sebab ia akan jadi backfire (serangan balik) kepada diri sendiri. Berdasarkan kajian yang saya buat ke atas 4,000 responden selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), pengundi Melaka mahukan calon yang berintegriti dan berkhidmat,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhammad Akmal Salleh menyatakan keyakinan bahawa, Barisan Nasional (BN) tidak akan terganggu atau termakan umpan pihak lawan yang kini sedang giat menghentam parti itu melalui pelbagai platform.

Beliau berkata, ini kerana BN sudah menetapkan hala tuju jelas berkempen yang mana segala fokus terarah kepada usaha menyantuni pengundi, berbanding menghentam Pakatan Harapan (PH) mahupun PN.

Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan hujan di sebelah pagi melibatkan daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah tetapi cerah di sebelah petang tidak menjadi halangan besar buat pengundi untuk menunaikan tanggungjawab. – UTUSAN



PRN Melaka: Tempoh getir 48 jam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: Sah wujud dua kem dalam Bersatu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker