Saya ‘sedia bayar’ untuk hentikan siasatan terhadap Guan Eng – Zarul

Saya ‘sedia bayar’ untuk hentikan siasatan terhadap Guan Eng – Zarul

Saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, beliau “bersedia untuk membayar” kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak untuk menghentikan siasatan ke atas penglibatan bekas ketua menteri Pulau Pinang dalam projek itu.

Pengarah Konsortium Zenith Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, beliau mahu “melindungi” Lim daripada disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berasa terhutang budi kepadanya yang menganugerahkan syarikat itu dengan projek bernilai RM6.3 bilion.



Katanya, beliau membayar kepada rakan ahli perniagaan, G Gnanaraja, yang didakwa rapat dengan Najib, untuk menghentikan siasatan.

“Saya rasa bertanggungjawab kepada YB (Lim). Saya akan melakukan apa sahaja dalam kuasa saya untuk menghentikan siasatan terhadap YB,” kata Zarul ketika disoal balas oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo.

Gnanaraja pada 3 April 2019 didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu Zarul sebanyak RM19 juta. Dia didakwa memperdaya Zarul supaya mempercayai bahawa dia boleh membantunya menutup siasatan SPRM terhadapnya.

Gobind bertanya kepada Zarul bagaimana dia boleh mendekati “musuh politik” Lim iaitu Najib, serta berkata, jawapan Zarul tidak masuk akal.



Dalam jawapannya, Zarul berkata beliau “terdesak” pada masa itu (2017) kerana projek terowong dasar laut itu mendapat kritikan daripada ahli Barisan Nasional.

“Saya tidak tahu Gnanaraja adalah ‘lelaki penipu’. Dia mendakwa dia rapat dengan perdana menteri (Najib). Saya fikir wang itu akan diserahkan kepadanya (Najib),” katanya.

Gobind: Anda kini memberi keterangan bahawa anda akan merasuah seseorang seperti perdana menteri untuk menghentikan siasatan, dengan itu melakukan kesalahan?

Zarul: Keutamaan saya adalah untuk melindungi YB (Lim).



Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan jawatannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, untuk meminta komisyen daripada Zarul sebanyak 10% keuntungan daripada projek terowong dasar laut dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada ahli perniagaan itu.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menyeleweng tanah negeri bernilai RM208.7 juta daripada dua syarikat.

Saya bantu Nazri Aziz bina sekolah agama

Gobind bertanya kepada Zarul sama ada beliau memberitahu SPRM ketika direman 11 hari bahawa, pembayaran dibuat kepada individu lain seperti Nazri Aziz, Nur Jazlan Mohamed dan Ismail Sabri Yaakob, yang Zarul berkata “tidak”.



Bagaimanapun, katanya, beliau telah membantu Nazri, yang dikenalinya selama lebih 20 tahun, ketika Ahli Parlimen Padang Rengas itu membina sekolah di Thailand.

Nazri telah memberi keterangan dalam perbicaraan Lim tahun lalu bahawa, dia menerima sumbangan daripada Zarul untuk membantu membaiki sekolah agama usang di selatan Thailand.

Gobind bertanya kepada Zarul mengenai perbualan WhatsAppnya dengan Gnanaraja yang berkisar tentang bayaran RM19 juta.

Gobind: Bolehkah anda menunjukkan hasil perbualan (WhatsApp) itu?



Zarul: Saya tidak mempunyai simpanan (backup) (mesej itu). Telefon saya telah diberikan kepada SPRM.

Gobind meminta pihak pendakwaan mengemukakan telefon itu supaya pihak pembelaan dapat memeriksanya, tetapi Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah, peranti itu tidak boleh dihidupkan.

Gobind kemudian memberitahu hakim perbicaraan Azura Alwi, pihak pembelaan mahu meneliti mesej WhatsApp antara Gnanaraja dan Zarul dari Julai 2017 hingga Februari 2018.

Pihak pendakwaan berkata, ia akan cuba sedaya upaya untuk mengeluarkan mesej itu pada tarikh perbicaraan akan datang.



Perbicaraan bersambung pada 8 Ogos. FMT

Saya ‘sedia bayar’ untuk hentikan siasatan terhadap Guan Eng – Zarul


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Alat sulit patah ketika hubungan intim ganas dengan isteri

Punca aircond tak sejuk

I Love You Nina- Shila Amzah, Tokti & Fazura Antara Barisan Selebriti Beri Sokongan Buat Mizz Nina

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker