Panadol Rafizi mungkin bikin Anwar pening

Panadol Rafizi mungkin bikin Anwar pening

oleh Selamat Buang

Ramai dalam kalangan kepimpinan PKR kurang senang dengan kehadiran Rafizi Ramli selepas merajuk menghilangkan diri daripada politik negara dan kemudian muncul sebagai hero menyalahkan pemimpin lain termasuk Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bekerja keras mempertahankan maruah parti.

Ketika debat dalam kempen perebutan jawatan timbalan presiden PKR, Rafizi sudah mula menyerang Saifuddin kerana ketandusan idea, cuma mengiyakan kata-kata presiden tetapi gagal berusaha memenangkan parti.

Saifuddin membalas dia akan terus berjuang ketika PKR tenat dan terpaksa mengharung segala macam masalah sedangkan orang lain hanya mengambil jalan mudah meninggalkan parti dan perjuangan.

Rafizi juga mempersoalkan strategi Saifuddin yang membuka segala bentuk jalinan kerjasama dengan parti-parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sedangkan ia mendapat restu kempimpinan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Menyerang Saifuddin samalah seperti menyerang Anwar.

Tetapi Anwar secara diplomatik menyebut ketika berucap di kongres PKR pertengahan Julai lalu bahawa kehadiran Rafizi seolah-olah memberi “panadol” kepada masalah sakit kepalanya.

Anwar sebelum ini mungkin merasakan Saifuddin akan menang sebagai timbalannya dan tidak bersedia untuk bergading dengan Rafizi.

Tetapi kerana terlalu taksub untuk menjadi perdana menteri selepas Langkah Sheraton, Anwar tidak fokus memantapkan parti dan mengisi kelompongan yang ditinggalkan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pasukannya.

Ketika Anwar melakukan perudingan dengan pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi demi mencapai cita-citanya untuk menjadi perdana menteri, Rafizi dan pasukannya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Azmin.

Semasa kongres PKR bulan lalu, Rafizi secara terbuka dan megah berkata dia bukan kaki bodek, dia bukan Azmin dan dia bukan yang jenis tikam belakang sehinggalah Anwar terpaksa mengarahkannya berhenti menyanggah presiden dan kepimpinan dalam PKR.

Rafizi patut menyanggah Umno dan bukan pemimpin PKR yang berbeza pendapat dengannya.

Strategi kempen PKR akan jadi haru-biru jika Rafizi jadi agresif menolak pandangan pemimpin lain yang tak sebulu dengannya.

‘Anwar tak lagi popular?’

Akhirnya “panadol” Rafizi bukan menghilangkan pening Anwar tetapi akan menyebabkan presiden PKR itu mengalami “migrane” yang lebih kuat.

Dalam banyak pertemuan dengan para penyokongnya, Rafizi sering mengulangi bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah hilang pengaruh dan Anwar sendiri tidak lagi popular dalam kalangan rakyat.

PKR dan PH katanya harus bergerak sendiri tanpa mengharapkan gabungan lain dalam apa yang diistilahkan sebagai “khemah besar” kerana ia mampu muncul semula sebagai satu gabungan kuat dan akan memperoleh semula kepercayaan rakyat.

Kempen “Ayuh Malaysia” dilancarkan secara tergesa-gesa sebagai tunggangan Rafizi untuk mendapatkan undi dalam pemilihan jawatan timbalan presiden PKR.

Dalam ucapan penggulungannya di kongres parti, Rafizi mahu anggota PKR di semua peringkat membuat laporan polis terhadap Najib sebagai tekanan ke atasnya untuk berhenti membuat kenyataan berhubung hal ehwal negara sama ada politik atau ekonomi.

Tindak tanduk Rafizi seolah-olah dia sudah mengambil alih peranan presiden atau dia menjadi semakin tidak sabar dengan kelembapan bertindak kepimpinan.

Dari luar kita melihat memang Rafizi bertindak tanpa restu majoriti walaupun ini sesuatu yang pahit untuk diakui.

Rafizi mahu fokus agar PKR menang walau tindak-tanduknya kelihatan menghina kuasa presiden.

Anwar bakal lalui pengalaman Ghafar?

Kalau kekecewaan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berulang pada PRU15, PKR akan hilang banyak kerusi dan PH akan kecundang dengan jari menuding ke arah Anwar selaku ketua pembangkang yang sekali lagi terlepas peluang menduduki jawatan tertinggi kerajaan.

Rafizi pernah berkata PH tidak akan menang PRU15.

Ia cuma akan kembali berkuasa sebagai kerajaan pada PRU16. Nurul Izzah Anwar menyokong dakwaan itu.

Kempen untuk Rafizi mengambil alih jawatan presiden sudah bermula.

Sebab itu Rafizi tidak menyokong gagasan khemah besar kerana agenda yang lebih besar padanya ialah PRU16, bukan PRU15.

Dalam tempoh ini Anwar akan merasai apa yang dilalui oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba yang berdepan dengannya untuk jawatan timbalan presiden Umno walaupun Anwar sudah berjanji tidak akan bertanding untuk jawatan berkenaan.

Jika PH terus jadi pembangkang selepas PRU15, Anwar mungkin terpaksa berundur seperti yang dilakukan Ghafar satu ketika dahulu. MK


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pesawat terhempas di Ipoh, jurulatih penerbangan maut [VIDEO]

Kereta BMW plat Singapura langgar kereta anak Sultan Johor [VIDEO]

Resepi Mee Kuah Udang Bikin Mentua Sayang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker