Kos sara hidup: Dulu PH mesyuarat dua kali setahun, kini mesyuarat dua kali seminggu



Kos sara hidup: Dulu PH mesyuarat dua kali setahun, kini mesyuarat dua kali seminggu

Kerajaan semenangnya serius dalam menangani kenaikan kos sara hidup rakyat dengan mengarahkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bermesyuarat dua kali seminggu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu dilihat lebih aktif berbanding pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu yang mengadakan mesyuarat berkaitan sara hidup rakyat hanya dua kali setahun.

“Jawatankuasa ini telah lama diwujudkan iaitu Jawatankuasa Khas Kabinet Tangani Kos Sara Hidup pada 2014. Kemudian PH tukar kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada 2018 yang bermesyuarat dua kali setahun.

“Apabila saya mengambil alih, saya lihat waktu itu selepas pandemik, isu kenaikan harga barang pasti berlaku jadi kita mesyuarat setiap dua bulan sekali untuk fokus bukan sahaja harga barang tapi perkara lain melibatkan dasar.




“Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Inflasi melihat kepada isu semasa iaitu kos sara hidup dan kenaikan harga barang, ini melibatkan isu harian. Itulah dulu mesyuarat dua kali setahun, tapi bila saya pegang dua seminggu,” katanya menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN- Jempol).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa itu akan melaporkan terus kepada rakyat mengenai apa-apa langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi tujuan itu.

“Pasukan ini mesyuarat dua kali seminggu dan mesti melaporkan kepada rakyat tentang apa yang dilakukan seperti saya ketuai Covid-19 dahulu. Saya buat sidang akhbar setiap hari, dan pasukan khas ini yang dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa perlu buat pengumuman dua kali seminggu.

“Jadi rakyat tahu apa perkembangan yang akan dilakukan oleh kerajaan. Mesyuarat sudah tiga kali dan setiap mesyuarat itu informasi telah dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya lagi.

Akhir Jun lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.




Ismail Sabri berkata pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Malah satu sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia.

Selain Annuar Musa, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. MG

Kos sara hidup: Dulu PH mesyuarat dua kali setahun, kini mesyuarat dua kali seminggu


Baca Artikel Menarik:




Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Hafal Al-Quran Sejak Umur 14 tahun, Personaliti Media Sosial Khaby Lame Paling Popular Di TikTok [VIDEO]

Saifuddin sindir Rafizi, tegur Imam dalam solat pun ada adab dan akhlaknya

Inflasi : Anwar Ibrahim Pura-Pura Tidak Tahu Atau Sebaliknya – Najib



Leave a Reply

Your email address will not be published.