Tentera dikerah gempur kilang seleweng minyak masak subsidi – Ismail



Tentera dikerah gempur kilang seleweng minyak masak subsidi – Ismail

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menggempur kilang-kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Perdana Menteri berkata, langkah ini demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara

“Kerajaan akan melaksanakan tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus juga aan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).




Mesyuarat itu telah membuat keputusan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara

Mesyuarat telah dihadiri oleh beberapa Menteri Kabinet serta wakil dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

Sebanyak lima kertas telah dibentangkan dalam mesyuarat ini oleh tiga Kementerian iaitu dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta DOSM.

Mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.




PJKM akan melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta diperluas ke institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Program yang akan diterajui bersama oleh KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan ini turut dilaksanakan dalam konsep bergerak.

Ismail Sabri menambah, kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

”Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin,” ujar beliau. MG

Tentera dikerah gempur kilang seleweng minyak masak subsidi – Ismail





Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mat Kilau kutip RM39j dalam 10 hari

Bantuan Keluarga Malaysia mungkin dinaikkan – PM

Jada Pinkett Smith Akui Ketagih Melakukan Onani Berkali-kali Dalam Sehari



Leave a Reply

Your email address will not be published.