Dana tambahan RM130 juta untuk usahawan PMKS diluluskan – Ismail



Dana tambahan RM130 juta untuk usahawan PMKS diluluskan – Ismail

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan tambahan RM100 juta bagi pembiayaan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan sebanyak RM30 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).

“Saya dimaklumkan bahawa SPIM di bawah TEKUN yang diperuntukkan sebanyak RM200 juta oleh kerajaan sudah habis. Oleh itu, bagi kepentingan usahawan kecil, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.

“Bagi BEEP di bawah SME Corp pula, peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2022 ini juga habis. Oleh itu, saya umumkan kerajaan meluluskan RM30 juta peruntukan tambahan bagi tujuan ini,” katanya ketika berucap pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022, di sini hari ini.




Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar.

SPIM ialah skim bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir. Ia disalurkan menerusi TEKUN Nasional menawarkan nilai pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.

BEEP pula adalah satu program khusus bertujuan untuk mewujud dan membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera yang berdaya saing, berdaya tahan dan dinamik melalui bantuan bersepadu dengan pendekatan bimbingan.

Ismail Sabri dalam ucapannya juga berkata, pembangunan keusahawanan adalah antara intipati pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada penciptaan daya inovasi dan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Katanya, negara akan lebih maju ke hadapan sekiranya memiliki ekosistem keusahawanan yang komprehensif dan meliputi pelbagai peringkat.




“Sektor perniagaan terutamanya melalui Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Kejayaan pemulihan sektor PMKS sudah pasti akan membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara.

“Prospek pemulihan ekonomi negara dijangka akan terus berkembang kesan daripada pembukaan sempadan antarabangsa yang menyumbang kepada aktiviti ekonomi dalam negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada Februari lalu menunjukkan bahawa pembukaan semula ekonomi kerajaan membantu memulihkan semula operasi perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Prestasi perniagaan juga mencapai tahap lebih baik denganpeningkatan nilai jualan, permintaan, aliran tunai dan keperluan tenaga buruh. Selain itu, terdapat juga impak yang positif terhadap permintaan guna tenaga negara.




“Sebagai tulang belakang ekonomi negara, pada tahun 2020 PMKS menyumbang kepada 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 13.5 peratus eksport negara.

“Oleh demikian, amatlah penting supaya kerajaan untuk terus memastikan sektor perniagaan membabitkan usahawan tempatan kekal berdaya tahan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menetapkan fokus utama bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi terutamanya dengan mempercepatkan transformasi PMKS.

“Ini bagi memastikan sektor PMKS dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK negara dan 25 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Bajet 2022 pula, pelbagai inisiatif dirangka untuk membantu PMKS menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang terbabit.




“Melalui Bajet 2022, saya berharap pembiayaan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion dapat dimanfaat sepenuhnya oleh usahawan PMKS yang layak dan memerlukan,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut berkata, penganjuran anugerah kepada usahawan pastinya dapat mendorong dan memberi galakan kepada lebih ramai pihak untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan tempatan, berkembang maju dalam bidang dan sektor perniagaan, sekali gus berupaya mewujudkan ekosistem perniagaan yang kukuh serta membangunkan usahawan tempatan yang berdaya saing, kalis cabaran masa hadapan serta mampu berdiri teguh di peringkat global dan antarabangsa,” katanya. BH

Dana tambahan RM130 juta untuk usahawan PMKS diluluskan – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nabila Huda tinggalkan Melodi

Mat Kilau : Syamsul Yusof beri amaran

Elaun RM4,733 tak cukup



Leave a Reply

Your email address will not be published.