Bekalan daging dari India terhad, harga melambung

Bekalan daging dari India terhad, harga melambung

Selepas ayam segar, daging dari India pula dilaporkan bermasalah berikutan bekalan didakwa semakin terhad di samping harganya yang melambung.

Tinjauan di pasar basah sekitar bandar raya ini termasuk di Pandan mendapati bekalan daging dari India dilihat tidak sebanyak seperti sebelum ini.

Harga daging import India kini turut naik kepada RM17 sekilogram (kg) berbanding hanya antara RM13 hingga RM14 sebelum ini.

Peniaga daging, Hafizul Mohamad, 40, berkata daging dari India menjadi pilihan peniaga makanan dan pengguna kerana harganya lebih murah berbanding daging segar tempatan yang lebih mahal.

Namun katanya, sejak sebelum Aidilfitri lalu, bekalan daging dari India yang diterima daripada pembekal mula berkurangan hampir separuh daripada biasa menyebabkan stok terhad.

“Keadaan semasa bekalan daging import dari India terutama bahagian batang pinang sudah mula terputus, menyebabkan peniaga makanan terutama peniaga sate selain pengguna mula mengeluh.

“Pembekal memaklumkan bekalan daging dari India sukar diperoleh sejak dua minggu lalu, malah peniaga daging kini juga sukar memperoleh tulang dan paru lembu dari Australia yang menerima permintaan tinggi dari peniaga dan pengguna.

“Harga daging import dari India walaupun naik antara RM3 hingga RM4 setiap kg, ia tetap lebih murah dan menjadi pilihan peniaga makanan serta pengguna berbanding daging segar berharga RM45 kg, yang hanya menerima sambutan ketika musim perayaan.

“Kini saya sebagai penjual hanya menerima 200 kg daging import India daripada pembekal berbanding 400 kg sebelum ini, menyebabkan ia tidak dapat menampung permintaan daripada peniaga makanan dan pengguna,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi peniaga daging di Pasar Taman Dahlia, Tampoi, Mohd Kamal Kamsan turut mengakui bekalan daging import India semakin berkurangan dan terhad.

“Saya pun tidak pasti kenapa sejak sebelum Aidilfitri lalu bekalan daging import dari India semakin berkurangan.

“Pembekal ada memaklumkan daging import India menjadi rebutan banyak negara ketika ini menyebabkan bekalan terhad. Diharapkan bekalan daging India ke Malaysia tidak terjejas lama kerana ia akan memberi kesan kepada peniaga dan pengguna,” katanya.

Sementara itu, peniaga makanan, Mohammad Izam Seran, pula berkata kenaikan harga daging import India yang mendadak daripada RM215 sekotak kepada RM280 menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan berasaskan daging.

Katanya, kesemua peniaga makanan terutama nasi campur memang menggunakan daging import India sebagai ramuan utama masakan berasas daging.

“Sekotak ada 20 paket dengan setiap paket seberat 800 gram. Peniaga makanan memang akan beli sekotak bagi stok berniaga. Namun sejak harga daging India naik mendadak dua bulan lalu, saya terpaksa menaikkan harga makanan berasas daging sebanyak RM1.50,” katanya. FMT

Bekalan daging dari India terhad, harga melambung


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nasi lemak berlauk tahi ikan bilis

Janna Nick bangga, fenomena Gatal jangkiti PSY

BBQ meletup ketika berkelah bikin ramai terkejut (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker