Hapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian – Ismail



Hapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian – Ismail

Ismail Sabri Yaakob menggesa agar budaya ‘orang tengah’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan dihapuskan bagi mengawal kos sara hidup yang meningkat antara lain akibat kenaikan kadar inflasi.

Ismail Sabri berkata orang tengah merupakan pihak yang memerah keringat petani dan nelayan selain memanipulasi harga di pasaran.

Perdana menteri berkata dia sendiri pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ pada 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Jihad ini perlu diteruskan oleh Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan Pusat Pembelian Padi, Pusat Pengumpulan Buah-Buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan,” katanya.




Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Nafas Ke-48 di sini malam ini yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee.

Perdana menteri berkata inflasi makanan merupakan fenomena global akibat gangguan rantaian bekalan berpunca daripada pandemik Covid-19 yang mengekang kegiatan pertanian sekali gus mengurangkan eksport dan keadaan bertambah buruk apabila berlaku peperangan Rusia-Ukraine.

“Peperangan itu memberi ancaman kepada penghantaran sebahagian tanaman ruji dunia sekali gus menyebabkan inflasi makanan menjadi semakin buruk. Kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.

Dia turut menyuarakan kebimbangan jika peperangan itu berpanjangan, kesan lebih buruk terhadap input pertanian boleh berlaku seperti kenaikan harga baja, racun dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata Malaysia ketika ini mencatat kadar inflasi 2.2 peratus iaitu lebih rendah berbanding negara lain termasuk Amerika Syarikat (8.5 peratus), United Kingdom (7), Singapura (5.4), Australia (4.5) dan Indonesia (2.6).




Katanya masalah dihadapi Keluarga Peladang terutama dalam situasi dunia sekarang yang mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah akan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan mahu Nafas dan Lembaga Pertubuhan Peladang melaksanakan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

Dia berkata arahan sama diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan supaya menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelakkan berlaku krisis makanan di negara ini.

Perdana menteri turut menggesa Nafas agar memberi nafas baru kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi tinggi dan pendigitalan bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

Dia juga menarik perhatian hadirin dengan pengumuman bahawa kerajaan bersetuju menghapuskan permit import (AP) bagi membawa masuk bahan asas makanan dari negara luar yang berkuat kuasa serta-merta.




“Ini membolehkan semua pihak mengimport bahan asas makanan ke Malaysia tanpa dimonopoli oleh golongan tertentu atau kartel yang akhirnya memanipulasi harga,” katanya. Mk

Hapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


DJ Dave Menyanyikan Lagu Raya Untuk Pandalela Di Hanoi

Farahdhiya tayang paha sebaik habis Ramadan

Gambar MK K-Clique berkahwin cetus huru-hara



Leave a Reply

Your email address will not be published.