UMNO 76 Tahun Terjemahan Kebangkitan Ahli Parti Setelah Lalui Pelbagai Ranjau – Bung Moktar
UMNO 76 Tahun Terjemahan Kebangkitan Ahli Parti Setelah Lalui Pelbagai Ranjau – Bung Moktar
Ulang tahun ke-76 UMNO hari ini memberi terjemahan untuk parti dan ahli bangkit kembali setelah melalui pelbagai ranjau cabaran khususnya ketika parti kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-76 ini, ahli Umno disemua peringkat perlu menanamkan iltizam untuk memperkukuhkan parti terutamanya untuk menghadapi PRU ke-15
Katanya, UMNO akan kembali bangkit semula untuk mentadbir negara walaupun kini melalui ranjau perjalanan yang sukar selepas kekalahan dalam PRU ke-14
Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada rekod mentadbir negara sebelum ini, selain pretasi cemerlang yang dicapai oleh UMNO dalam beberapa siri PRK dan PRN Melaka dan Johor.
“Masa akan kembali menyebelahi kepada UMNO. Masyarakat ingin kembali menyokong UMNO. Sebagai parti tertua yang mentadbir negara selama 76 tahun, rekod kecemerlangan UMNO mengemudi negara tidak dapat dinafikan lagi, sehingga rakyat percaya kestabilan hanya dapat dinikmati dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan ini dibuktikan dalam dua siri PRN Melaka dan Johor,” katanya dalam perutusan beliau sempana ulang tahun UMNO ke-76 hari ini.
Sehubungan itu Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan itu meminta pemimpin dan ahli UMNO agar meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air serta memayungi seluruh masyarakat negara ini.
Mengenai UMNO di Sabah Bung berkata, anak bongsu UMNO yang kini mencapai usia 31 tahun bertapak di Sabah parti itu masih relevan di hati rakyat.
Menurut beliau walaupun berlaku tsunami politik selepas PRU-14 di negeri ini namun UMNO masih kekal tanpa sebarang bahagian dibubarkan.
“Ada yang tersasar perjuangan bersama UMNO selepas PRU ke-14 namun menginsafi tersalah jalan dan ingin kembali bersama UMNO dan sebagai parti yang mengamalkan pintu terbuka ketika bersedia menerima mereka kembali mengikut peraturan yang sediada,” katanya.
Tambahnya, semenjak UMNO/BN bertapak di Sabah banyak perubahan dari aspek pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini.
Sambil mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-76 UMNO kepada seluruh ahli parti, Bung berharap sambutan kali ini akan menjadi titik tolak untuk pemimpin dan ahli disemua peringkat bangkit memperkasakan parti menghadapi PRU ke-15. – UMNO Online
UMNO 76 Tahun Terjemahan Kebangkitan Ahli Parti Setelah Lalui Pelbagai Ranjau – Bung Moktar