Beri vaksin di kilang elak kluster baharu

Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan, Majlis Profesor Negara, Profesor Tan Sri Dr Mohd Amin Jalaludin mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan program vaksinasi dan ujian calitan bergerak khusus untuk pekerja-pekerja di kilang.

Jelas beliau, usaha tersebut bertujuan mengelakkan tercetusnya kluster-kluster baharu membabitkan pusat-pusat pemberian vaksin (PPV).

“Saya fikir ini adalah isu yang besar, kerajaan boleh tambah baik strategi. Strategi sekarang sudah elok tetapi kerajaan mesti fokus kepada kawasan ‘hotspot’ untuk kita mendapatkan maklumat yang tepat.

“Diagnosis awal ini membolehkan kita kuarantin mereka, tapi kilang-kilang janganlah pula sumbat pekerja mereka dalam satu asrama yang sempit,” kata beliau.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Dr Mohd Amin yang dikendalikan Pengarang Berita Umum Sinar Harian, Junhairi Alyasa serta wartawan Raiham Mohd Sanusi dan Muhammad Yusainy Mohamad Yunus secara maya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Bagaimana Tan Sri melihat usaha-usaha kerajaan dalam menangani Covid-19 di negara ini?

DR MOHD AMIN: Pada pandangan saya kerajaan menangani isu-isu pandemik Covid-19 di negara ini mengikut lunas-lunas antarabangsa terutama sekali dari segi pendekatan pengambilan sukarelawan penjagaan kesihatan awam. Tapi ia boleh diperkasakan lagi dengan menambah baik pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

Memang isu begini berkehendakkan kerjasama bukan sahaja daripada kerajaan tapi diri kita sendiri iaitu rakyat Malaysia. Kerjasama dan polisi-polisi strategik yang telah diaturkan kerajaan mestilah dilaksanakan dalam semua urusan masyarakat. Jadi rakyat mestilah patuh apa juga SOP yang telah ditetapkan.

SINAR AHAD: Pada pandangan Tan Sri, apakah cabaran-cabaran utama kerajaan dalam memerangi pandemik tersebut?

DR MOHD AMIN: Cabaran besar yang terpaksa dilalui kerajaan adalah untuk memahamkan rakyat. Sudah satu setengah tahun Covid-19, sepatutnya rakyat kita sudah tahu tentang penyakit ini. Kita sekarang sedang berperang dengan makhluk halus yang tidak nampak. Ini mustahak untuk kita fikirkan bersama. Bagi saya, kerajaan terutama sekali Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekarang terpaksa berdepan banyak cabaran untuk memerangi Covid-19 ini.

Cabaran pertama adalah bagaimana untuk menyampaikan maklumat dan penerangan yang betul kepada rakyat.

Keduanya dari segi pelaksanaan. Walaupun strateginya cantik tapi pelaksanaannya perlu diperkasa agar ia dapat mencapai objektifnya iaitu untuk memberikan kesejahteraan kesihatan kepada rakyat Malaysia dan mengimbangi ekonomi.

Tetapi cabarannya sangat besar bagi kerajaan hari ini untuk mendapat kepercayaan bagi memutuskan rantaian Covid-19. Ia memerlukan kerjasama semua lapisan rakyat dan pihak-pihak lain.

Baru-baru ini kita lihat ada pandangan-pandangan yang bernas untuk memperkukuh strategi memerangi Covid daripada rakyat di bawah sana, jadi kerajaan mesti mendengar jugalah. Kerjasama ini hendaklah dirangka bersama agar kita menang dalam peperangan ini.

‘Itulah Nazri, flip flop’ – Ahmad Jazlan

SINAR AHAD: Kita dikatakan akan hidup bersama Covid-19 sebagai satu endemik. Soalnya adakah rakyat Malaysia sudah bersedia untuk mengamalkan semua SOP secara terus-menerus?

DR MOHD AMIN: Kita sebagai rakyat bersedia atau tidak, itu semua terpulang kepada diri kita sendiri. Tapi pada masa sekarang walaupun SOP dikatakan telah ditetapkan dan rakyat diberi kesedaran, tetapi sesetengah rakyat tidak mengikutnya kerana mereka nak buat ikut cara mereka. Sikap ini hendaklah dibuang.

Kalau betul rakyat Malaysia nak menang dalam peperangan ini, kita hendaklah mengikut SOP yang telah ditetapkan kerajaan. Kita pun khuatir kerana beberapa hari lalu peningkatan kes baharu ini melonjak hingga lebih 20,000 kes.

Kita ada sistem yang bagus dapat kesan kes baharu tapi kenapa penularan Covid-19 ini meningkat? Walaupun 90 peratus kes melibatkan pesakit kategori satu yang tidak ada simptom dan kategori dua yang hanya menunjukkan gejala ringan, tetapi kita patutnya ambil iktibar untuk tidak menularkannya. Jadi mustahak bagi kita sebagai rakyat memainkan peranan.

SINAR AHAD: Keputusan Kanada meluluskan penggunaan vaksin Pfizer untuk remaja berusia 12 tahun ke atas wajar dicontohi Malaysia. Apa ulasan Tan Sri?

DR MOHD AMIN: Langkah ini sangat wajar. Ini adalah satu pendekatan untuk memberikan vaksin kepada remaja. Golongan remaja adalah tonggak negara pada masa depan. Jadi kita nak mereka sihat agar mereka boleh membawa kejayaan kepada Malaysia.

Kalau nak ikutkan perkembangan fasa satu, dua, tiga dan seterusnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), golongan remaja dijangka menerima suntikan pada fasa terakhir iaitu mungkin pada tahun 2022.

Negara kita tak akan capai 80 peratus imuniti kelompok kalau kumpulan ini tidak divaksin. Mereka ini juga rakyat Malaysia, tenaga mereka juga boleh digembleng untuk masa hadapan. Jadi saya sangat menyokong sekiranya suntikan vaksin diberi kepada golongan remaja ini. Walaupun kebelakangan ini kita tahu terdapat laporan-laporan perubatan mengatakan ada implikasi dekat jantung selepas suntikan vaksin tapi peratusannya sangat kecil.

SINAR AHAD: Masih ada rakyat Malaysia yang tidak mendaftar untuk mendapatkan vaksin. Apakah yang boleh dilakukan untuk memastikan kita mencapai 80 peratus imuniti kelompok?

DR MOHD AMIN: Kita kena tanya diri kita dahulu kenapa ada rakyat yang tak mahu ambil vaksin? Tapi ia juga menunjukkan sistem penyampaian vaksin dan penyakit Covid-19 ini tidak sampai ke tahap setiap individu. Ini adalah satu cabaran besar kepada kerajaan dan KKM untuk memberi maklumat yang tepat dan betul.

Saya jangkakan memang banyak isu lain di mana sesetengah rakyat tidak percaya terhadap vaksin. Ada pelbagai faktor persekitaran yang boleh mempengaruhi rakyat. Oleh itu, kerajaan perlu menyampaikan maklumat yang tepat dengan menggunakan rangkaian media arus perdana atau media sosial.

Tetapi dalam media sosial ini banyak yang negatif. Jadi nak mendidik dengan betul kita mesti dapatkan golongan profesional agar rakyat percaya. Media sosial banyak memberi impak negatif sehingga ada individu tidak mempercayai vaksin.

Berikutan itu kerajaan kena buat sesuatu. Komuniti di sekeliling juga boleh membantu. Misalnya, di kampung-kampung ada jawatankuasa kampung, ada imam dan tok penghulu. Golongan ini semualah yang patut dilibatkan untuk menerangkan tentang kebaikan vaksin.

Satu golongan lagi ialah cikgu-cikgu dan kaunselor walaupun melalui pembelajaran secara dalam talian (e-learning) tetapi boleh menguar-uarkan mengenai kebaikan vaksin ini.

Perkara paling mustahak adalah bagaimana untuk menyampaikan maklumat yang betul dan boleh menarik minat rakyat untuk datang menerima suntikan vaksin. Kerajaan juga perlu pastikan proses pemberian vaksin dipermudahkan, tidak menyusahkan. Untuk itu, aplikasi MySejahtera perlu diperkasa kerana ada orang cakap pada saya, mereka tunggu tarikh janji temu untuk vaksin dalam MySejahtera tapi sehingga sekarang belum dapat jawapan. Bila hubungi pusat MySejahtera tak ada orang jawab.

Ini adalah isu-isu berbangkit yang timbul. Inisiatif itu ada tetapi masalahnya dari segi pelaksanaannya.

Alhamdulillah kerajaan dah buat keputusan bahawa bermula 1 Ogos rakyat boleh ‘walk in’ ke pusat pemberian vaksin (PPV). Tapi ia juga dikhuatiri menimbulkan isu lain dan kerajaan kena perhalusinya. Idea itu bagus tetapi kalau katakan semua orang boleh datang secara terus pada satu-satu masa, bayangkan kalau saya misalnya terpaksa menunggu dari pagi dan petang baru dapat suntikan.

SINAR AHAD: Apakah pendapat Tan Sri tentang cadangan pengambilan dos ketiga vaksin ekoran penularan pantas varian baharu seperti Delta?

DR MOHD AMIN: Kita kena buat penyelidikan menyeluruh. Sekarang ramai yang sudah menerima vaksin ini, jadi para saintis dan pakar virologi perlu kumpulkan data ini. KKM banyak data ini dan ia mestilah dikongsi dengan para penyelidik. Kena kenal pasti adakah selepas dapat suntikan dua dos itu kita ada antibodi penggalak (booster)? Kita boleh dengar pakar-pakar di luar negara tapi pakar-pakar kita juga mestilah buat penyelidikan sendiri. Kita tidak boleh dengar desas-desus. Kalau kita dengar tentang promosi vaksin, mereka sebenarnya nak jual vaksin, tapi kita perlukan bukti klinikal. Dengan adanya data-data yang kita peroleh dan lakukan penyelidikan lanjut, kalau ia tunjukkan perlu mengambil dos ketiga, saya akan sokong idea itu.

SINAR AHAD: Apakah pengajaran penting daripada Covid-19. Adakah ini bermakna kerajaan perlu memberi peruntukan lebih besar untuk sektor kesihatan?

DR MOHD AMIN: Kerajaan mestilah melihat kembali dan juga untuk ke hadapan adakah infrastruktur penjagaan kesihatan kita mencukupi? Kedua, ada tidak latihan-latihan untuk menyediakan petugas terlatih? Ini semua kita kena tengok balik. Misalnya cukup atau tidak aspek penjagaan kesihatan seperti hospital yang sepatutnya ada dalam jarak setiap lima kilometer radius.

Bila nak masukkan kes baharu ke hospital, kita tidak cukup katil walaupun orang kata 0.5 peratus atau 0.7 peratus kategori tiga, empat dan lima terutama di unit rawatan rapi (ICU) yang memerlukan ventilator. Inilah perancangan-perancangan kesihatan. Jadi perancangan bajet oleh kerajaan mestilah memberikan keutamaan dan perancangan jangka masa panjang, mana tahu kita akan ada pandemik lagi.

Keduanya, penyelidikan. KKM perlu bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, pusat kajian dan saintis. Kita ini macam ada api, baru nak padamkan. Perancangan yang baik dan pelaksanaan yang baik ialah pencegahan.

Jadi kita mesti bersedia dari sekarang. KKM mestilah bekerjasama dengan agensi-agensi lain terutama dalam kalangan penyelidik-penyelidik. Ini kerana Covid-19 bukan baru-baru ini sahaja, ia sudah ada sejak tahun lalu. Tapi kita di Malaysia ini, para saintis sepatutnya sudah membangunkan vaksin sendiri.

Ada tidak fasiliti untuk buat vaksin? Kalau ada pun Malaysian Generate Institute. Betapa aktifnya mereka? Betapa aktifnya kalau penyelidik di universiti bergabung dengan mereka? Di sinilah selalunya kelemahan kita. Kita ada kepakaran tetapi mereka tidak bekerja sebagai satu kumpulan.

Ini kerajaan kena fikir macam mana cara nak bawa mereka bersama. Kalau bajet ada, penyelidik faham masing-masing nak buat penyelidikan yang sama jadi apa salahnya kalau kita kumpulkan semua penyelidik ini bawah Malaysia. Ini yang perlu diperkasakan lagi.

SINAR AHAD: Tan Sri pernah mengatakan kita wajar menambah petugas kesihatan. Setakat ini adakah terdapat jurang nisbah antara doktor dan pesakit di negara ini?

DR MOHD AMIN: Nisbah satu doktor untuk 450 pesakit memang baik tetapi kalau kita tengok di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan, adakah mereka dapat nisbah itu? Yang banyak di Lembah Klang ini boleh dianggarkan nisbahnya satu doktor bersamaan 200 pesakit. Nisbah itu tercapai tetapi pembahagiannya tidak betul. Itu satu doktor perubatan, tetapi kita nak kepakaran dan latihan pakar itu perlu mencukupi dan capai nisbahnya.

Pada pandangan saya ia adalah bagaimana KKM merangka strategi kerana kita ada banyak sekolah perubatan di sini. Bagaimana kita hendak gunakan mereka supaya mereka menjadi doktor pakar. Apa yang ada sekarang, teruskan melatih doktor dan jururawat. Begitu juga bagaimana untuk memberikan mereka insentif agar mereka tetap dalam perkhidmatan.

Terdesak Kekalkan Kuasa, Sentimen Propaganda Direka

SINAR AHAD: Varian Delta dilaporkan sangat bahaya. Apakah persediaan kita untuk menangani gelombang jangkitan seterusnya?

DR MOHD AMIN: Kalau varian Delta, vaksin yang kita bagi memang tidak akan membantu kerana vaksin dihasilkan hari ini adalah untuk Covid-19 varian sebelumnya. Jadi kita kena berpatah balik kepada prinsip asal, macam mana kita hendak hindarkan penyakit berjangkit ini?

Macam saya kata tadilah memang dari peringkat awal setahun setengah yang lepas kerajaan sudah putuskan norma baharu SOP dengan tegas seperti pakai pelitup muka, basuh tangan dan jauhi tempat yang sesak. Jadi rakyat Malaysia mesti praktikkan selalu walaupun sudah ada vaksin.

Kalau betul-betul varian Delta merebak dengan pantas kita mesti hindarkan. Varian baharu ini datang dari mana? Ia berpunca dari India. Kalau ada yang balik (dari India), saya ada baca pekerja yang dari China yang bekerja di India dia balik ke negara China melalui Nepal. Jadi bila ada orang Malaysia yang kerja di India balik ke Malaysia, kita kena kuarantin mereka. Memang diakui varian Delta memberi kesan yang amat dahsyat.

SINAR AHAD: Jadi berapa lama lagikah kita terpaksa memakai pelitup muka?

DR MOHD AMIN: Kalau boleh teruskan dari sekarang sampailah semuanya jelas. Pasal Covid-19 ini akan berada dengan kita sebagai endemik. Bagi saya sebagai seorang pakar bedah, pakai pelitup muka ini bertujuan menghindari selesema, jaga kebersihan, jaga habuk daripada masuk dan jangkitan yang lain. Bagi saya bagus praktikkan pakai pelitup muka kerana dapat menghindari lebih banyak penyakit. Kalau boleh pakai pelitup muka sentiasa. Keluar rumah saja kita pakai, kalau pergi kawasan sesak kita pakai.

SINAR AHAD: Ada pihak mendakwa kerajaan gagal untuk mengatasi masalah Covid-19 sehingga menyebabkan kes meningkat begitu tinggi. Apa komen Tan Sri?

DR MOHD AMIN: Sebenarnya kerajaan tidak gagal. Tanggungjawab untuk mencapai dan memutuskan rantaian Covid-19 ini adalah tanggungjawab semua pihak tidak kira ia kerajaan, pembangkang mahupun rakyat.

Kenapa kes Covid-19 beberapa minggu yang lalu meningkat banyak? Faktor yang pertama, bagusnya kerajaan telah melakukan banyak saringan berkelompok ramai-ramai, kerajaan dapat kenal pasti orang tidak bersimptom tetapi positif kerana kumpulan itulah yang banyak menularkan kes di Malaysia.

Kedua, rawatan dapat diberikan secepat mungkin cuma apabila kita dapat tahu positif kita boleh menempatkan mereka di pusat kuarantin mengikut kategori tetapi kita tidak cukup tempat.

Jadi di sinilah bagaimana pendidikan memberi ilmu kepada masyarakat untuk mereka fahami apa itu penyakit Covid-19, siapa yang menjangkiti dan apakah kesan selepas dijangkiti. Bila orang sudah faham, dia ini tahap satu dan suruh duduk rumah, dia mesti duduk rumah. Tidak boleh dengan gelang ‘pink’ dia itu dia pergi makan di kedai roti canai. Tapi masalahnya sikap rakyat kita ini bergantung pada individu.

Kedua kerajaan mesti memikirkan ekonomi seimbang dengan kesihatan. Kalau kita tengok di Selangor banyak kilang. Di situlah kerajaan kena tambah baik strategi untuk menangani Covid-19.

Contohnya, di WTC baru-baru ini orang ramai beratur tanpa penjarakan fizikal. Di situ akan wujud kluster vaksin baharu. Saya nak cadangkan kalau boleh dan mungkin kerajaan dah buat iaitu perlu ada kenderaan bergerak pergi ke kilang, lakukan ujian calitan ke atas mereka dan bagi vaksin kepada mereka. Mereka ini orang muda-muda, antibodi bertahan walaupun mereka tidak bergejala tetapi mereka adalah pembawa.

Saya fikir ini adalah isu yang besar, kerajaan mesti fokus kepada kawasan ‘hotspot’ untuk kita mendapatkan maklumat yang tepat. Diagnosis awal ini membolehkan kita kuarantin mereka, tapi kilang-kilang janganlah pula sumbat pekerja mereka dalam satu asrama yang sempit.

Info

Profesor Tan Sri Dr Mohd Amin Jalaludin

Umur: 66 Tahun

Asal: Johor Bahru, Johor

Jawatan: Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan, Majlis Profesor Negara

Kerjaya: Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia Pasifik (APACPH)

Naib Presiden Persatuan Persekutuan Laringektomi Asia (AFLA)

Penasihat Perubatan Kehormat bagi Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan

Felo Kolej Pembedahan Diraja Edinburgh, Scotland

Felo Akademi Otolaringologi Pembedahan Kepala dan Leher Amerika Syarikat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ahli Parlimen Sik positif Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker