Asyiela tak lelah jadi Upin & Ipin

Asyiela tak lelah jadi Upin & Ipin

Selama 13 tahun, Asyiela Putri Azhar, 22, masih setia menjadi suara latar bagi watak animasi popular, Upin & Ipin.

Asyiela berkata, watak adik-beradik kembar itu sudah sebati dengan dirinya, biarpun tidak berharap selama-lamanya akan menjadi pelakon suara atau ‘voice actor’ bagi watak pasangan kembar comel itu.

“Saya tahu sekarang saya sudah berusia 22 tahun. Tidaklah saya jangka untuk bersama Upin & Ipin selama-lamanya.

“Saya sudah menghampiri usia untuk memiliki kerjaya. Jadi, jika saya boleh sesuaikan diri dengan kerja dan tugas saya sebagai pelakon suara, saya akan teruskan selagi boleh.

“Selagi ada rezeki saya bersama Upin & Ipin, saya okay sahaja. Kalau suara saya sudah tidak boleh diguna, maknanya ia sudah bukan rezeki saya dan jadi rezeki orang lain pula,” katanya kepada BH Online.

Asyiela tidak menafikan pernah berhadapan kesukaran untuk meminjamkan suara kepada watak yang jauh lebih muda daripada usianya.

Namun, menurut penuntut jurusan pengiklanan Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya ini, atas dasar minat dia tidak lelah melakukannya.

“Semestinya mencabar, sebab suara saya makin membesar. Saya kena cakap dengan suara kecil dan pelat mengikut tuntutan watak.

“Adakalanya, saya penat kerana perlu kecilkan suara. Ini memerlukan tenaga. Saya pernah sakit tekak hingga tiada suara, disebabkan itu saya cuti sekejap.

“Tetapi tidak lama, dalam seminggu sudah pulih. Mungkin disebabkan terlalu penat, bukannya kerana selalu menghasilkan suara latar untuk Upin & Ipin,” katanya.

Asyiela berkata, dia memikul tanggungjawab besar dalam memperlihatkan imej yang baik kepada peminat, meskipun dia sekadar pelakon suara.

Namun, tugas itu tidak dilihat sebagai sesuatu yang membebankan. Tambah Asyiela, penerbit, Syarikat Les’ Copaque Production sangat memahami dan memberi kebebasan kepadanya.

“Saya sebenar tidak sangka orang ambil tahu siapa di sebalik suara Upin & Ipin hingga mengikuti laman sosial saya. Jadi, saya kena jaga imej memandangkan peminat Upin & Ipin kanak-kanak.

“Bagaimanapun, saya jadi diri sendiri sahaja. Setiap kali berjumpa dengan peminat cilik Upin & Ipin, mereka tahu saya adalah Asyiela.

“Les’ Copaque tidak meletakkan syarat apa-apa. Mereka beri saya kebebasan. Saya juga tidaklah berperangai pelik. Namun biar apa pun, saya sedar kena jaga imej dan nama baik Les’ Copaque,” katanya.

Bertanya sama ada terbuka untuk mengembangkan bakat dalam bidang lakonan, Asyiela tidak keberatan mencuba jika ada peluang.

“Kalau mahu berlakon, kena berbakat. Jadi, kalau saya mahu cuba berlakon, saya kena belajar dahulu. Kalau sudah belajar, insya-Allah.

“Namun, setakat ini, tiada lagi tawaran lakonan yang saya terima,” katanya yang ditemui pada majlis previu media Upin & ipin Kampung In The City di Grand Hyatt Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Asyiela mula disunting Les’ Copaque untuk melakonkan suara Upin & Ipin sejak berusia 10 tahun. BH

Asyiela tak lelah jadi Upin & Ipin


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rafizi Berdepan Saman Berkaitan Sapura

Menantu baru tak bangsat – Chef Wan

Chef Ammar dakwa gerainya ditutup kerana disihir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker