Pertembungan Rafizi-Saifuddin bakal pecah belahkan PKR

Pertembungan Rafizi-Saifuddin bakal pecah belahkan PKR

Seorang penganalisis meramalkan berlaku perpecahan dalam PKR akibat perebutan jawatan timbalan presiden antara Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden Rafizi Ramli.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, ini mengimbau kembali pemilihan parti terakhir PKR pada 2018, apabila parti itu berpecah antara Rafizi dan bekas timbalan presiden, Azmin Ali.

PKR akan mengadakan pemilihan seterusnya dari 13 hingga 18 Mei. Pencalonan akan diadakan pada Sabtu.

Chin berkata, pemimpin PKR dan ahli biasa yang mencari pembaharuan mungkin akan menyokong Rafizi, tetapi yang lain mungkin khuatir dengan pelarasan yang dijangka dibawanya kepada parti jika dipilih.

“Apabila Rafizi berehat sementara daripada parti, ramai yang gembira. Kini beliau kembali dan ramai ahli bimbang jika beliau menjadi timbalan presiden, beliau akan membawa perubahan besar dan ini akan menjejaskan kedudukan mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sama ada Rafizi atau Saifuddin perlu menang dengan majoriti kukuh kerana PKR tidak akan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) jika berlaku perpecahan 50-50 dalam parti.

“Sebarang perpecahan dalam parti menjelang PRU akan menjadi bencana,” katanya.

Jawatan timbalan presiden PKR kosong sejak Azmin dipecat akibat penyertaannya dalam Langkah Sheraton, yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Apabila ditanya sama ada beliau berpendapat masih ada penyokong Azmin dalam PKR, Chin berkata, beliau percaya kebanyakannya keluar apabila Ahli Parlimen Gombak itu meninggalkan parti itu.

“Apabila beliau berpindah ke Bersatu, beliau dapat menawarkan naungan dan dengan itu, ramai ahli mengikutnya. Mereka juga diberi jawatan kerajaan. Jadi saya tak rasa legasi beliau masih kukuh dalam PKR,” katanya.

Chin juga berkata, beliau percaya Presiden PKR Anwar Ibrahim dapat mengekalkan jawatannya dengan mudah kerana tiada sesiapa pun yang setaraf dengan ketokohannya dalam parti itu. Setakat ini, tiada sesiapa yang bersaing untuk jawatan tertinggi parti itu.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, beliau tidak menjangkakan sebarang perpecahan dalam PKR akan berlarutan selepas pemilihan parti.

“Bagaimanapun, jika sebarang konflik berterusan, ia akan menunjukkan kurangnya kematangan politik dalam PKR,” katanya.

Mengulas mengenai pertembungan antara aktivis belia Adam Adli dan bekas aktivis pelajar Fahmi Zainol bagi jawatan ketua Pemuda PKR, Awang Azman berkata, ini akan menjadi pertembungan yang menarik untuk diperhatikan.

Beliau menjangkakan kedua-duanya menawarkan idea dan strategi untuk menarik pengundi baharu.

“Mereka tidak sepatutnya berkempen seperti generasi lama,” katanya.

“Mereka mesti membuktikan mereka boleh bersaing secara matang dan tidak mengulangi taktik lama dan konvensional yang bersifat defensif.”
FMT

Pertembungan Rafizi-Saifuddin bakal pecah belahkan PKR


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Guna pedang samurai serang suami isteri kerana enggan lakukan hubungan intim

Pak Imam tercabar, suara makmum lagi kuat dari Imam [VIDEO]

Zoey Rahman Kini Rapat Dengan Shakira Stephen Setelah Tiada jodoh Dengan Zarina Anjoulie

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker