Calon tawarkan makanan, minuman kepada pengundi dianggap rasuah

#PRU15

Calon tawarkan makanan, minuman kepada pengundi dianggap rasuah

Oleh Datuk Seri Akhbar Satar

SEMUA parti dan bakal calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disaran berhati-hati serta memahami kesalahan serta hukuman pilihan raya, terutama aktiviti kempen berunsur rasuah dan salah guna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954), Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Undang-undang AKPR 1954 agak ketat, tetapi malangnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa menguatkuasakan, termasuk tidak boleh menjalankan siasatan, denda terhadap calon atau siapa sahaja melanggar undang-undang pilihan raya.

Bagaimanapun, undang-undang sedia ada masih membolehkan SPRM, polis dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah, salah guna kuasa serta kesalahan berkaitan menjelang PRU apabila ada laporan.

Ramai ahli politik hendak menjadi calon mungkin tidak perasan di bawah peruntukan AKPR 1954 mengandungi semua bentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa jelas, iaitu Seksyen 8 (penjamuan), 9 (pengaruh tidak wajar), 10 (rasuah) semasa atau selepas tempoh pilihan raya dan hukumannya boleh dipenjara hingga hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi.

Setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan dan minuman kepada pengundi kerana tindakan berkenaan menunjukkan penghargaan kepada pengundi, lebih-lebih lagi apabila calon itu mempunyai hasrat supaya mengundi dirinya.

Petikan Seksyen 8 ialah “… dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Kata kuncinya ialah ‘secara rasuah’, mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman ditawarkan. Sudah tentu modus amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.

Kesalahan pengaruh tidak wajar yang dirujuk dalam seksyen itu boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan dan keganasan; menghalang hingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu atau tidak mengundi langsung. Kesalahan Seksyen 9 ini sebaik-baiknya diambil tindakan oleh polis.

Bagi kesalahan rasuah, calon atau sesiapa sahaja dilarang melakukan rasuah dengan menawarkan ‘pembelian undi’, sama ada secara langsung atau tidak seperti memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman ketika proses pilihan raya (Seksyen 10).

Politik wang tidak ada toleransi, justeru tidak harus berlaku pada mana-mana parti politik. Bagi mengatasi masalah rumit ini, kerajaan menyegerakan untuk memperkenalkan Akta Pembiayaan Dana Politik selepas pilihan raya nanti. Ia dapat dijadikan panduan untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik boleh dikategorikan sebagai rasuah.

Satu lagi perkara perlu diambil maklum semua parti politik adalah ‘mengetahui’ had perbelanjaan ketika pilihan raya. Mengikut Seksyen 19, had maksimum perbelanjaan masa pilihan raya ialah RM150,000 bagi setiap kerusi negeri dan Parlimen (RM200,000). Had ini sangat kecil jika dilihat perbelanjaan kempen PRU atau pilihan raya kecil (PRK).

Laporan perbelanjaan calon pilihan raya kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan tidak dilaksanakan mana-mana parti politik.

Perlu pinda AKPR 1954

Justeru, kerajaan yang dibentuk nanti perlu meminda AKPR 1954 untuk memastikan SPR bukan lagi sebuah organisasi tidak bertaring, tetapi lebih relevan mengikut peredaran masa. Antaranya, memberi kuasa ‘penguatkuasaan’ kepada SPR untuk mengambil tindakan kepada calon, ejen atau parti politik melanggar AKPR 1954 atau yang berkaitan;

Had perbelanjaan pilihan raya perlu dikaji semula untuk mengelakkan kesalahan dari segi perbelanjaan proses pilihan raya dilakukan

Kuasa juga diberikan untuk mengaudit bagi memastikan jumlah dibenarkan untuk berbelanja memang benar-benar digunakan dalam kempen pilihan raya.

Laporan perbelanjaan dikemukakan calon pilihan raya kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan perlu dikuatkuasakan.

Parti politik hendaklah mengamalkan proses politik berintegriti dan memberi perhatian khusus kepada aktiviti dianggap sebagai ‘perbelanjaan undi’ yang berlaku sebelum, semasa atau selepas proses pilihan raya.

Dalam keempat-empat kesalahan berkenaan, pesalah boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda hingga RM5,000, dibatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat serta kehilangan hak mengundi selama lima tahun.

Mana-mana kesalahan rasuah boleh juga didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang denda lebih tinggi dan tempoh pemenjaraan lebih panjang.

Dalam konteks Akta SPRM 2009, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Jika sekiranya gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009, pesalah akan dikenakan denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kempen perlu patuhi undang-undang

Sementara itu, apabila gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan di bawah Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009, pesalah akan didenda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semua calon dan penyokong perlu menjalankan kempen dalam skop undang-undang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), manakala agensi agensi penguatkuasaan terus menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi proses demokrasi bagi membolehkan pilihan raya berjalan dengan bebas, bersih, adil dan berwibawa.

Mengikut teori demokrasi, antara mekanisme rakyat boleh membendung tingkah laku elit rasuah ialah pilihan raya.

Selepas pilihan raya ini, parti menang diharapkan dapat membentuk kerajaan berintegriti, stabil dan terus bersama-sama rakyat memerangi rasuah yang masih beleluasa demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Penulis dari Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP

Calon tawarkan makanan, minuman kepada pengundi dianggap rasuah
Calon tawarkan makanan, minuman kepada pengundi dianggap rasuah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


100 anggota polis sujud mohon maaf

Neelofa akhirnya tunjuk wajah Bilal

PU Azman didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker