Ramadan raih keampunan Ilahi

Ramadan raih keampunan Ilahi

oleh Mohd Shahrizal Nasir

Setiap manusia pasti melakukan kesalahan dan dosa dalam kehidupan. Hanya insan terpilih seperti rasul dan nabi yang terpelihara daripada sebarang dosa (maksum). Dalam Islam, ruang untuk kembali kepada Allah SWT amat luas. Usah ada dalam kalangan kita yang merasakan dirinya sudah banyak bergelumang dengan dosa dan Allah SWT tidak akan sekali-kali mengampuni dirinya. Pemahaman seperti ini salah dan jelas bertentangan dengan sifat Allah SWT iaitu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.



Rasulullah SAW bersabda menerusi hadisnya yang bermaksud: “Setiap anak keturunan nabi Adam banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang banyak melakukan dosa adalah orang yang banyak bertaubat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Penjelasan Rasulullah SAW ini mampu melegakan jiwa yang tidak tenteram kerana menanggung dosa yang telah dilakukannya selama ini. Jika orang yang hidupnya sering melakukan dosa dan pada satu ketika dirinya berasa ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya dan dia perlu kembali ke pangkal jalan, maka inilah satu nikmat daripada Allah SWT. Dialah yang membuka pintu hati manusia untuk kembali kepada-Nya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ma’idah, ayat 74)

Justeru, pada minggu pertama bulan Ramadan kali ini, marilah kita merenung kembali setiap perkara yang telah dilakukan selama ini. Adakah ia perkara yang mendatangkan pahala atau sebaliknya? Jika ada dosa yang kita lakukan sebelum ini, maka kehadiran Ramadan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk meraih keampunan daripada Allah SWT.



Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa dengan segala macam kelebihan kurniaan Allah SWT untuk sekalian hamba-Nya yang beriman. Rasulullah SAW menyebut tentang keistimewaan Ramadan menerusi sabdanya: “Apabila Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu.” (Muttafaq ‘alaih)

Bagi memperoleh keampunan Ilahi, kita perlu berusaha dan bukan sekadar menyerahkan segalanya kepada takdir. Muslim yang beriman perlu mencari jalan untuk memastikan dirinya mendapat keampunan daripada Allah SWT. Antara cara yang paling utama pada bulan Ramadan ini ialah dengan melaksanakan ibadah puasa sebaiknya.

Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi hamba-Nya yang berjaya menunaikan ibadah puasa dengan kualiti yang terbaik. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga ada sebuah pintu yang disebut dengan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan memasuki pintu tersebut pada Hari Kiamat, tidak ada selain daripada mereka yang akan memasukinya. Jika orang terakhir yang berpuasa telah masuk ke dalam pintu tersebut, maka pintu tersebut akan tertutup.” (Muttafaq ‘alaih)

Hadis tersebut memberi petunjuk wujudnya ganjaran yang istimewa daripada Allah SWT untuk hamba-Nya yang berjaya menunaikan ibadah puasa dan ibadah tersebut diterima-Nya. Adakah wujud dalam kalangan orang yang berdosa akan semudahnya dapat memasuki syurga? Pastinya apabila seseorang hamba memperoleh ganjaran syurga atas sebab pelaksanaan puasa, maka dosa kesalahannya yang lain telah diampuni oleh Allah SWT.



Jika kita sekadar berpuasa tetapi masih melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT, pastinya puasa kita tidak mencapai tahap yang ditetapkan oleh Allah SWT. Maka bagaimana kita akan layak memasuki pintu ar-Rayyan tersebut? Dengan kata lain, untuk kembali kepada Allah SWT, maka laksanakanlah ibadah puasa dan perintah-Nya yang lain. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang masuk ke dalam syurga melalui pintu ar-Rayyan.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang hamba yang berpuasa pada jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim” – (Muttafaq ‘alaih). Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa maksud sabda Rasulullah SAW ’70 musim’ itu adalah perjalanan 70 tahun. Hadis ini boleh dijadikan satu motivasi kepada diri kita iaitu apabila kita berpuasa, Allah SWT akan memelihara kita daripada seksaan api neraka.

Selain itu, dalam usaha untuk meraih keampunan daripada Allah SWT, bulan Ramadan perlu dimanfaatkan dengan melaksanakan pelbagai bentuk amal ibadah. Mungkin kita susah untuk menunaikan ibadah sunat pada bulan-bulan lain, namun pada bulan Ramadan, banyak amalan yang boleh kita lakukan. Suasana orang di sekeliling kita yang turut melaksanakan amal ibadah juga boleh menjadikan diri turut serta ingin melakukan perkara yang sama.

Cuba kita perhatikan, mungkin ramai yang akan keluar daripada tempat kerja untuk makan tengah hari pada hari biasa. Ada kalanya kita tidak ke masjid kerana ingin makan tengah hari bersama rakan sekerja. Namun, pada bulan Ramadan, kita tidak perlu untuk bergegas mencari kedai makan. Maka sebaiknya masa rehat dimanfaatkan untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.



Begitu juga pada waktu malam, biasanya kita berehat di rumah atau menghabiskan masa menonton televisyen dan sebagainya. Namun, pada bulan Ramadan, ramai orang ke masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat Tarawih. Suasana seperti ini tidak ada pada bulan-bulan lain, ia hanya ada pada bulan Ramadan. Inilah peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT.

Mungkin sebelum ini kita mengutamakan makan dan rehat, tetapi pada bulan Ramadan, tindakan kita jelas menunjukkan bahawa kita mengutamakan Allah SWT daripada yang selain daripada-Nya. Mungkin ada suara-suara sumbang yang mengatakan seperti “Bulan Ramadan, baru nampak ke masjid” atau “Sebab tak boleh makan, terpaksa datang masjid.” dan sebagainya. Usah lemah semangat dengan kata-kata seperti itu. Teruslah tekadkan niat, gandakan usaha untuk turut serta melaksanakan amal ibadah pada bulan Ramadan sepertimana orang lain melakukannya.

Bulan Ramadan adalah peluang bagi semua umat Islam meraih keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT amat rapat dengan hamba-Nya pada bulan Ramadan. Buktinya pahala puasa diberikan oleh Allah SWT secara langsung kepada hamba-Nya. Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ibadah puasa itu khusus dilakukan semata-mata untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya (dengan pahala yang hanya Aku mengetahui besar dan banyaknya).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)



Ramadan raih keampunan Ilahi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bersatu cari rakan lain kerana tak yakin dengan kekuatan PAS



Buffet Ramadhan Kuala Lumpur Selangor 2022 (TERKINI)

Resepi ayam menangis meraung, kecur air liur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker