2 senjata ini dapat ubah takdir anda

2 senjata ini dapat ubah takdir anda

Benar, takdir sememangnya boleh diubah bersandarkan kepada hadis Baginda s.a.w.

“Tidak ada yang mampu menolak takdir Allah kecuali doa, dan tiada ditambah umur kecuali kebaikan” (HR Turmizi)

Dalam hadis yang lain juga Baginda s.a.w. bersabda,

“Sesiapa sahaja yang ingin dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah menyambung silaturrahim” (HR Bukhari)

Dari kedua hadis yang disebutkan di atas sudah jelas bahawa amalan-amalan tertentu mampu mengubah takdir seseorang. Doa dan silaturahim merupakan sebab dan asbab untuk mendatangkan manfaat dan menolak kemudaratan.

Menurut Ali Muhammad ash-Shallabi dalam karangannya al-Iman Bilqadr, doa termasuk ketentuan Allah yang sudah ditetapkan. Ilmu Allah meliputi segala sesuatu dan dia mentakdirkan segala sesuatu ada ukurannya.

Tidak mungkin ada sesuatu yang keluar dari ketentuan Nya. Oleh kerana itu doa sendiri termasuk dalam ketentuan Nya. Jika doa ditakdirkan sebagai sebab bagi sesuatu, maka seseorang harus berdoa dan melakukan sebab yang Allah telah menjadikannya sebagai sebab.

Doa adalah sebab yang mendatangkan manfaat sebagaimana ia juga sebab menolak bala bencana. Jika doanya lebih kuat dari bala bencananya, ia akan menolak bencana tersebut.

Dan, jika sebab bencananya lebih kuat ia tidak akan boleh menolak bencana itu, tetapi hanya mampu meringankan dan melemahkannya. Tidak ada sesuatu pun yang lebih bermanfaat dan lebih unggul dalam mendapatkan apa yang diinginkan selain daripada doa.

Justeru itu, menurut Mohd Shahril Abd. Samat Imam Masjid Jamek al-Khadijiah Pantai Dalam, kekuatan doa merupakan senjata yang paling hebat dan luar biasa sifatnya hinggakan mampu mengubah takdir yang telah ditetapkan Allah. Jika kita kembali kepada sejarah yang lalu, banyak kisah-kisah para nabi yang menjadi hujah ampuh membuktikan betapa kuatnya pengaruh doa.

Mereka para nabi diberikannya ujian yang pelbagai, akan tetapi dengan doa-doa yang dipanjatkan, serta perkenan dari Allah maka segala ujian itu dapat diatasi.

Sedangkan jika mengikut logik akal, sebagai seorang nabi yang juga merupakan kekasih Allah, sudah barang tentulah mereka tidak perlu berdoa memohon pertolongan, kerana pastinya Allah akan membantu. Sebaliknya, mereka tetap juga berdoa mengharapkan bantuan Allah agar nasib buruk yang menimpa dapat diatasi.

Doa Para Nabi

Kisah bagaimana nabi Ibrahim a.s. yang dicampakkan dalam unggun api yang marak menyala membuktikan betapa besarnya pengaruh doa dalam menentukan takdir. Dalam kisah ini Baginda a.s. menyebut kalimah “Hasbunallah wa ni’mal wakil” (cukuplah Allah menjadi penolong untuk kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung) ketika dicampakkan ke dalam api. Dengan izin Allah, api itu menjadi dingin maka terselamatlah nabi Ibrahim a.s. dari bakaran api yang menyala.

“Kami berfirman, hai! api, dinginlah engkau dan berilah keselamatan pada Ibrahim” surah al-Anbiya: 69.

Diriwayatkan juga Rasulullah s.a.w. ada menyebut kalimah ini ketika dalam peperangan Badar hingga Allah memberikan kemenangan yang besar kepada Baginda seperti yang disebutkan dalam surah Ali ‘Imran: 173

Berdoa mampu mengubah takdir
“Iaitu orang (yang mentaati Allah dan rasul) ada orang yang mengatakan kepada mereka “Sesungguhnya kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan pasukan tentera untuk memerangi kamu kerana itu takutlah kepada mereka” maka perkataan itu menambahkan keimanan mereka lalu mereka berkata, “cukuplah Allah (menjadi penolong) untuk kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung”

Begitu juga dengan kisah tentang nabi Yunus a.s. yang ditelan ikan Nun. Dalam surah al-Anbiya ayat 87 dan 88 ada menyatakan

“(Ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus) ketika ia pergi dalam keadaan marah lalu ia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitkannya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap, “Bahawa tidak ada tuhan selain Engkau, maha suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.”

Kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa jika tidak kerana doa, nescaya nabi Yunus a.s. tidak akan selamat dari kesulitan yang besar dan tetap berada dalam perut ikan nun. Hal ini kerana terdapat ayat lain yang jelas menyatakan perihal tersebut iaitu firman Allah dalam surah as-Saaffaat: 143 dan 144

“Maka kalau sekiranya ia tidak termasuk orang yang banyak berzikir (bertasbih) kepada Allah. Nescaya ia akan tetap tinggal di dalam perut (ikan) itu sampai hari berbangkit.”

Istilah “kalau sekiranya ia tidak” pada ayat ini jelas menunjukkan bahawa doa adalah sebab keselamatannya. Seandainya nabi Yunus a.s. tidak berdoa, nescaya dia tidak akan selamat dan tetap berada dalam perut ikan itu sampai kiamat.

Maka itu untuk mengatakan tentang kekuatan doa ini, ia perlu digauli dengan keyakinan dan pengharapan yang tinggi.

Surah al-Mukmin ayat 60 yang juga dikuatkan dengan hadis dari Imam Ahmad dan Ashabus Sunan meriwayatkan, dari Nu’man ibn Basyir r.a. ia berkata Rasul s.a.w. bersabda,

“Sesungguhnya doa itu adalah ibadah, lalu Baginda s.a.w. membaca ayat, “berdoalah kepadaku nescaya Aku akan memakbulkan doanya. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri yang tidak mahu berdoa kepada ku akan masuk dalam neraka dalam kedaaan hina dina,” (Hr Tirmizi)

Menyambung Silaturrahim

Selain doa, menjaga dan menyambung silaturrahim dengan amalan kebaikan juga merupakan senjata yang mampu mengubah takdir. Itu kerana seseorang yang berbuat baik sesama manusia bererti diajuga telah menyambung silaturrahim.

Lalu kenapa silaturrahim ini dianggap sebagai senjata bagi mengubah takdir, itu kerana ia ada hubungkait dengan doa juga. Seseorang yang berbuat kebaikan sesama manusia dan memberi manfaat kepada manusia lain sudah pasti akan didoakan dengan doa yang baik oleh orang yang mendapat manfaat tersebut dengan seikhlas hati.

Dan seandainya kebaikan yang dilakukannya itu diketahui pula oleh masyarakat, sudah pasti masyarakat turut mendoakan kebaikan untuknya. Analogi mudah yang seringkali kita perhatikan dewasa ini melalui kuasa media sosial adalah seseorang yang membantu seseorang yang lain dalam kesusahan dan kemudian tersebar pula video kebaikan yang dilakukannya.

Komen-komen yang ditinggalkan oleh warga maya tidak lain adalah titipan doa kepada orang yang membantu tersebut. Jadi boleh dibayangkan jika ribuan komen dan yang melihat video tersebut mendoakan kebaikan untuk orang tersebut, sudah pasti ia memberi kesan yang baik kepada takdir orang tersebut.

Inilah sebab mengapa berlaku ihsan dan menjaga hubungan silaturrahim ini memberi asbab kepada perubahan takdir seseorang. Oleh yang demikian, gunalah dua senjata ini semaksima mungkin dalam hidup, insya Allah pastinya takdir anda akan berubah kepada yang lebih baik. Wallahu a’lam utv

2 senjata ini dapat ubah takdir anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Proton Preve bakal diganti model baru

2 senjata ini dapat ubah takdir anda

Kereta Terpanjang Di Dunia…Lengkap Helipad, Kolam Renang Dan Boleh Main Golf Sekali! [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker